KENYATAAN MEDIA SISA ISIRUNG SAWIT SEBAGAI MAKANAN HAIWAN MEMBANTU MENGAWAL HARGA DAN MENSTABILKAN BEKALAN AYAM DALAM NEGARA _____________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang. Antara punca harga ayam naik adalah disebabkan harga makanan ayam yang tinggi. Telah dilaporkan bahawa harga makanan ayam telah meningkat daripada RM500 setan kepada RM1,900 setan dalam beberapa kes.
2. Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam. Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
3. Ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak. Kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirong sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini. KPPK juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan. Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.
4. Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kerajaan Negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.
5. Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC.
6. Dengan semangat Keluarga Malaysia, KPPK akan terus komited untuk memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport. Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara.
SIARAN MEDIA SESI LIBAT URUS BERSAMA SARAWAK TIMBER ASSOCIATION (STA) BERKAITAN KERUGIAN TERKUMPUL PERNIAGAAN MELEBIHI 10 TAHUN
1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Sarawak Timber Association (STA) bagi membincangkan isu berkaitan kerugian terkumpul perniagaan yang tidak dibenarkan untuk dibawa ke hadapan bagi tempoh melebihi 10 tahun.
2. STA melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan berhubung kegusaran industri akan keputusan Kerajaan hanya membenarkan kerugian perniagaan terkumpul yang dibenarkan untuk digunakan sebagai elemen pengurangan cukai pendapatan korporat sehingga tempoh 10 tahun sahaja. Sehubungan dengan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan daripada pihak industri perkayuan Sarawak yang diwakili oleh STA yang dibincangkan bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Perindustrian Kayu Negara (MTIB) dan Malaysian Timber Council (MTC).
3. MoF telah meneliti semula dasar dan memanjangkan tempoh sekatan tersebut daripada 7 tahun kepada 10 tahun dalam pengumuman Bajet 2022 bagi semua industri. Pada masa yang sama, MoF juga telah mengumumkan bahawa kajian terperinci akan dijalankan bagi sektor/industri yang bersifat menunggu hasil jangka panjang (longgestation period) seperti perladangan hutan, pembalakan, pertanian, komoditi serta projek infrastruktur berskala besar seperti stesen jana kuasa dan lebuh raya.
4. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.
5. Kementerian melalui MTIB, MTC dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sentiasa komited untuk memberikan khidmat nasihat dalam industri perkayuan negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah bekerjasama dengan MTCC untuk mempromosikan dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).
6. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan negara serta kemakmuran bersama.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 4 OGOS 2022
KENYATAAN MEDIA MALAYSIA SEDIA BANTU INDIA PENUHI KEPERLUAN MINYAK SAWIT ________________________________________________________________________________
1. MALAYSIA bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia. Dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia Indonesia, telah memperkenalkan beberapa dasar tentang eksport komoditi tersebut yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.
2. India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan 8 juta tan sahaja pada suku pertama 2022. Seperti yang dinyatakan oleh presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agricommodity Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten. Ini sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.
3. Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lepas. Kepercayaan India terhadap Malaysia – pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia – sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022 baru-baru ini.
4. Secara umumnya, MOU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan setakat tanaman emas berkenaan.
5. Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara. Pada masa ini, IVPA telah menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55% daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi tersebut kebelakangan ini.
6. Malah, IVPA telah meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi untuk enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20% daripada separuh pertama 2022. Optimisme India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap tanaman emas negara. Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.
7. Dalam hal ini, KPPK akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit".
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 04 OGOS 2022
SIARAN MEDIA YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH YUSOF MEMULAKAN TUGAS SEBAGAI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI _________________________________________________________
1. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Presint 2, Putrajaya pada jam 8.30 pagi, hari ini.
2. Sesi mengimbas kad perakam waktu beliau telah disaksikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Encik Mad Zaidi bin Mohd Karli; Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA), Encik Pubadi Govindasamy dan Ketua Komunikasi Korporat, Puan Nor Ratna Sridewi binti Mokhtar.
3. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian. Dalam ucapannya, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyeru agar semua pihak terutamanya penjawat awam memainkan peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara. Sekaligus, merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
4. Memandangkan krisis ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan menjadi cabaran kepada negara, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menekankan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi ini memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
5. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 Disember 2022 lalu semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bagi barisan Kabinet negara yang baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
6. Beliau berasal dari Sarawak dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.194 Petrajaya selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya semasa Kabinet terdahulu.
7. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 05 DISEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA PENINGKATAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM) DI PARAS TERTINGGI MEMBERI KEUNTUNGAN BUAT PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA
1. Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut di paras RM5,750 setiap tan pada 3 dan 4 Februari 2022 pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara memandangkan ia merupakan harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara.
2. Peningkatan ini adalah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.
3. KPPK akan terus berusaha memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.
4. Baru-baru ini juga, menerusi lawatan saya dan delegasi KPPK ke Arab Saudi, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat antaranya Savola Group, yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi.
5. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama termasuk pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia. Saya yakin industri sawit negara akan terus berkembang maju dengan usaha berterusan Kementerian ini.
6. Walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia, KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.
7. Sekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 5 FEBRUARI 2022