SIARAN MEDIA KPPK TERUS SOKONG INDUSTRI BAGI MENJAMIN KEMAMPANAN SEKTOR SAWIT MALAYSIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan FGV Kernel Products Sdn. Bhd. Berhad di Pasir Gudang, Johor.
2. FGV Holdings Berhad merupakan antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia. Bahagian hiliran di FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan fast moving consumer goods (FMCG).
3. Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang telah memulakan operasi pada tahun 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga (3) operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna. Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluaran DOPSB ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang. FGV Kernel Products Sdn. Bhd. (FGVKPSB) pula telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perniagaan terasnya melibatkan pemprosesan isirung sawit (PK) untuk menghasilkan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) dan Palm Kernel Expeller (PKE).
4. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara telah meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun 2021 berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.
5. Kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 28 September 2022
KENYATAAN MEDIA MAJLIS IFTAR KASIH RAMADAN BERSAMA ASNAF DAN WARGA EMAS
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menghadiri Majlis Iftar Kasih Ramadan bersama asnaf dan warga emas anjuran oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang hari ini.
2. Majlis ini merupakan inisiatif IMPAC untuk menyantuni golongan sasar iaitu asnaf dan warga emas dalam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta memberikan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
3. YB Menteri bersama Pengerusi IMPAC, YBhg Datuk Zunaidah Idris menyampaikan sumbangan baju raya kepada 51 anak-anak asnaf dan bantuan duit raya kepada 54 warga emas dan asnaf sebelum berbuka puasa pada majlis ini.
4. Kementerian dan IMPAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia, Mamee Malaysia, Percetakan Zainol Kassim, Al Najwa Production Sdn Bhd serta individu-individu yang memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada asnaf, warga emas dan tetamu jemputan.
5. Program seumpama ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan dari semasa ke semasa.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 29 APRIL 2022
SIARAN MEDIA PESTA LADA 2022 SEBAGAI USAHA KEMENTERIAN TINGKAT PROMOSI PRODUK LADA TEMPATAN
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Willie Anak Mongin pada 29 Oktober 2022 (Sabtu) telah merasmikan Pesta Lada 2022 di Pusat Beli Belah Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.
2. Acara yang diadakan bermula 28 hingga 30 Oktober 2022 ini bersempena dengan sambutan ke-50 tahun International Pepper Community (IPC) ini turut dapat memperluaskan penggunaan lada sebagai bahan industri untuk meningkatkan pertumbuhan industri hiliran lada negara, memperkenalkan kepelbagaian penggunaan lada dalam masakan dan makanan serta menjana pendapatan sosioekonomi setempat.
3. Menerusi penganjuran Pesta Lada 2022, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd. Memorandum berkaitan projek IOT Application In The Production Of White Peppercorns.
4. Memorandum berkenaan memfokuskan kerjasama pembangunan sistem penghasilan lada putih yang lebih sistematik serta memfokuskan kepada pemantauan kualiti air rendaman bagi menghasilkan kualiti lada putih bermutu tinggi.
5. Pada masa sama, MPB turut memeterai persefahaman bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang bersetuju untuk membangunkan Pemetaan Kawasan Tanaman Lada di Malaysia, bagi mendapatkan peta kawasan tanaman lada yang terkini di seluruh Malaysia.
6. Bahkan, MPB turut berkolaborasi bersama Swinburne University of Technology Sarawak (SUTS) dalam tiga projek penyelidikan, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan amalan pengurusan penyakit dan penanaman lada serta mempelbagaikan kegunaan lada dalam industri hiliran lada.
7. Pada majlis sama, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan Lada Tahun 2022 kepada tiga (3) penerima iaitu Zias Catering; Sophia Taha Holdings Sdn Bhd dan Leni Spice Sdn Bhd/ Leni Food Manufacturing Sdn Bhd. Skim ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hiliran lada, kualiti dan mempelbagaikan produk keluarkan lada.
8. Bukan itu sahaja, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan anugerah kepada enam penerima iaitu syarikat MDF Global Sdn. Bhd. (Malaysia) yang menerima anugerah Excellence in Export of Value-Added Pepper Product 2020; Encik Ngerantar Anak Galau yang menerima Best Pepper Farmer 2020; Encik Chai Fook Yau yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Kurang dari 1 Hektar; syarikat Syn Ming Kong Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Export of ValueAdded Pepper Products 2021; syarikat Sophia Taha Holdings Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Manufacturers of Innovative Pepper Products 2021; dan Encik Tuing Anak Panting yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Lebih 1 Hektar. Anugerah IPC 2020 merupakan anugerah tahunan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat-penggiat industri lada seperti pekebun kecil / pengeksport / usahawan terhadap industri lada.
9. Industri lada negara merupakan salah satu komponen dalam sektor agrikomoditi yang telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2021, eksport komoditi lada telah menyumbang RM153.7 juta dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7.41 ribu tan metrik.
10. Sehingga Ogos 2022, industri lada mencatatkan prestasi membanggakan dengan nilai eksport RM125 juta berbanding RM85.5 juta dalam tempoh sama pada tahun 2021. Destinasi utama eksport lada Malaysia ialah ke negara Jepun, Vietnam, Taiwan, Singapura dan Republik Korea. Usaha untuk meluaskan lagi pasaran eksport lada akan tetap diteruskan ke negara-negara lain seperti di rantau Timur Tengah, Australia dan Eropah. Prestasi ini menunjukkan Malaysia masih dapat mengekalkan momentum dan pertumbuhan yang berdaya saing, tahan dan maju dalam jangka masa panjang.
11. Bagi memastikan usaha ini tercapai, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus seiring dalam melaksanakan pembangunan industri lada berdasarkan lima (5) teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman.
12. Kementerian yakin dengan adanya hala tuju yang jelas serta pelan strategik yang menyeluruh, industri lada negara berpotensi untuk berkembang dan menyumbang kepada pendapatan negara lantaran senario harga lada yang menunjukkan trend peningkatan semenjak tahun lepas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada pemegang taruh lada terhadap sektor komoditi lada di Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 29 OKTOBER 2022
KENYATAAN MEDIA HARGA PASARAN MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MELEMAH SEMENTARA, KPPK FOKUS KEPADA KEMAMPANAN JANGKA PANJANG
1. Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangkakan memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut, susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.
2. Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 satu tan metrik (MT) pada Mac 2022 berikutan konflik Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari, Kenanga Research menjangkakan harga MSM sebagai 'masih baik' pada purata RM4,50O MT pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023.
3. Sektor perladangan sawit juga dibebani kos pengeluaran yang melonjak disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan, namun keseluruhannya, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan ini.
4. Ketika ini, kedua-dua minyak sawit (dengan sekitar 35% penguasaan pasaran) dan minyak kacang soya (sekitar 25% penguasaan pasaran), kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncaknya, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula.
5. Dalam aspek ini, peladang sawit - sama ada syarikat besar atau pekebun kecil - mesti mempunyai keyakinan terhadap tanaman 'emas' ini memandangkan permintaan terhadap minyak makan masih mencatatkan pertumbuhan setara selama berdekad, disokong pula dengan pertambahan populasi penduduk dunia, faktor kemewahan - dan sehingga takat tertentu - perubahan gaya hidup manusia kepada gaya hidup yang lebih moden.
6. Secara purata, penggunaan minyak sawit tumbuh 3% dari tahun ke tahun atau 'yearon-year (y-o-y)’ sepanjang dekad terbaharu, manakala purata penggunaannya sepanjang 30 tahun pula lebih tinggi, iaitu pada 3.6%, menurut laporan Kenanga Research bertarikh 28 September 2022 yang turut mengulangi penarafan 'overweight' terhadap sektor ini.
PROSPEK JANGKA PANJANG YANG UTUH
7. Pandemik COVID-19 sememangnya memberi impak negatif kepada aktiviti ekonomi, terutama sektor hospitaliti, pengangkutan dan pelancongan, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit menyusut kepada sekitar 1% y-oy sejak 2020.
8. Bagaimanapun, laporan pasaran menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3% berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.
9. Walaupun timbul kebimbangan permintaan menguncup atau menurun lebih teruk berikutan ekonomi global yang perlahan dan pada masa sama dunia dibelenggu inflasi, kenaikan kadar faedah serta kerisauan terhadap kegawatan, semua itu dijangka sementara kerana China, iaitu pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar COVID-19 dilaksanakannya selama ini yang turut menjejaskan penggunaan dan permintaan terhadap komoditi berkenaan.
10.Umum sedia maklum, produk makanan serta bahan api adalah barangan keperluan asas yang mendapat permintaan utama dan ia adalah bahan yang pasti habis digunakan. Selain itu, Indonesia - pengeluar minyak sawit dan biodiesel terbesar - sudah melaksanakan semula ujian penggunaan biodiesel B40 sejak penghujung Julai lalu selepas tertangguh selama lima bulan. Indonesia ketika ini menggunakan biodiesel B30 campuran (blend) dengan perancangan selepas ini adalah menggunakan B40 campuran (mix), sama ada dalam tahun ini atau 2023.
11.Sesuatu yang sangat menggalakkan adalah sektor perladangan Malaysia kini sudah berkembang dengan penggiat-penggiat industri sudah menerima pakai prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam operasi harian mereka.
12.Sebagai bukti, kira-kira 16 juta MT minyak sawit Malaysia sudah mendapat penarafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi beberapa standard tinggi ESG bagi hasil ladang yang dikeluarkan di seluruh dunia.
13.Sebagaimana hasil kajian Kenanga Research, kumpulan-kumpulan perladangan yang diurus tadbir dengan baik turut mengambil inisiatif sendiri dan tidak berdiam diri, dengan berusaha mendapatkan hasil minyak sawit yang lebih tinggi mencecah sehingga 6 MT per hektar atau kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil tanaman minyak makan yang lain.
14.Dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.
15.Sebagai tambahan, KPPK juga sudah melancarkan kempen 'Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak 'emas' negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 3 OKTOBER 2022
SIARAN MEDIA KERAJAAN KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KECIL MELALUI KOPERASI PENANAMAN SAWIT MAMPAN (KPSM) DAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO)
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Kimanis Berhad, Sabah hari ini.
2. Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan sebagai langkah strategik Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menjamin keterlibatan pekebun kecil dalam model ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengendalian koperasi serta industri kecil dan sederhana. KPSM menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar (BTS) berkelompok dan pembelian input secara pukal selain boleh terbabit dalam perniagaan lain untuk memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian diagih sebagai dividen kepada ahli.
3. Kerajaan melalui KPPK telah memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 bagi sebuah koperasi sebagai modal untuk menampung kos penyediaan tapak, pembinaan platfom dan pembelian jambatan timbang oleh KPSM.
4. Kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi setiap koperasi untuk meningkatkan keupayaan KPSM terutama dalam pembelian secara bayaran tunai BTS yang dibekalkan oleh pekebun kecil. Sehingga Februari 2022, sebanyak 16 buah KPSM telah menikmati kemudahan ini. Skim Pembelian Jentera dalam bentuk geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta turut disediakan bagi membolehkan KPSM membeli jentera sendiri bagi kelancaran operasi.
5. Sehingga Julai 2022, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. Sebanyak 66 buah buah pusat timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya dan telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 149,241 tan. Di Sabah, sebanyak 25 buah KPSM telah menjalankan urus niaga BTS berjumlah 222,389.32 tan, sekali gus memberi manfaat kepada 2,415 orang pekebun kecil yang menjadi ahli.
6. KPSM Kimanis Berhad telah ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dengan keahlian berjumlah 56 orang setakat Julai 2022. Pusat Timbang KPSM Kimanis yang baru siap telah memulakan jualan BTS pada Jun 2022. Penubuhan KPSM di negara ini telah bermula sejak tahun 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana pelbagai bantuan oleh Kerajaan telah disalurkan bagi meningkatkan aktiviti dan sumbangan koperasi untuk pembangunan pekebun kecil sawit.
7. Kerajaan komited membantu pekebun kecil mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pengeluaran minyak sawit secara lestari dan peningkatan produktiviti BTS. Selain itu terdapat bantuan dalam bentuk yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO dan penyediaan peralatan perlindungan keselamatan diri (PPE). Sehingga Julai 2022, keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilkan MSPO adalah 637,564.89 hektar dengan penglibatan seramai 180,072 orang pekebun kecil.
8. Di Sabah, 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) telah dipersijilkan MSPO, melibatkan 26,464 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 167,660 hektar. Bagi SPOC S5 yang merangkumi kawasan Kimanis, Papar dan Penampang, seramai 138 orang pekebun kecil telah memperoleh sijil MSPO dengan keluasan berjumlah 1,330 hektar.
9. KPPK sentiasa berusaha mempergiat pembangunan pekebun kecil tanaman sawit di negara ini, justeru pelaksanaan MSPO merupakan inisiatif tepat bagi mempertingkat mutu pengurusan penanaman kelapa sawit menerusi amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan stardard minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 03 SEPTEMBER 2022