SIARAN MEDIA KPPK KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KOKO SABAH MELALUI PROGRAM TANAMAN BAHARU (TB)
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menyempurnakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 dengan mengadakan lawatan kerja ke Kelompok Tani Koko di Kampung Lokub, Kiulu, Tamparuli, Sabah.
2. Di Kiulu, bilangan pekebun koko sedia ada adalah seramai 40 orang dengan jumlah keluasan tanah sebanyak 30 hektar. Kebanyakan pekebun adalah merupakan peserta Program Tanaman Baharu (TB) Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan pengeluaran tertinggi adalah sebanyak 2,300 kilogram pada tahun 2019. Pengeluaran biji koko kering pada tahun 2020 dan 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19 adalah sekitar 1,000 kg setahun. Adalah dijangkakan pada tahun 2022, pengeluaran mereka akan terus meningkat. Setakat Januari hingga Jun tahun ini, pengeluaran biji koko dari kelompok ini telah mencecah 1,000kg.
3. Seramai 14 peserta baharu dari Kiulu telah menyertai Program TB 2022 dengan setiap seorang mengusahakan satu (1) hektar kawasan tanaman baharu koko. Dengan menyertai program ini, peserta diberikan khidmat pembersihan kawasan, 1,000 anak pokok koko dan pokok pelindung iaitu pokok pisang serta input baja. Satu mini pengering biji koko berkapasiti 500 kilogram juga telah dibina di Kampung Lokub yang kini beroperasi dalam fasa percubaan. Mesin ini dapat memproses biji koko kering secara optimum dengan membantu menghasilkan biji koko kering berkualiti.
4. Kementerian yakin dengan kerjasama berterusan antara Lembaga Koko Malaysia dan pemain industri koko di Sabah akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri ini dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran tempatan memandangkan sektor ini mempunyai potensi untuk dikembangkan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 03 SEPTEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA TINDAKAN PERLINDUNGAN SEMPADAN OLEH AMERIKA SYARIKAT KE ATAS SIME DARBY PLANTATION ADALAH TERBURU-BURU DAN TIDAK BERASAS
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang memantau rapi tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap Sime Darby Plantation (SDP) atas alasan isu buruh paksa, baru-baru ini.
2. KPPK dimaklumkan bahawa CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap Sime Darby Plantation daripada Perintah Pelepasan Penahanan ‘Withhold Release Order’ (WRO) kepada Penemuan (Finding). Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di Amerika Syarikat namun tidak boleh didagangkan atau diproses. Walau bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh Sime Darby Plantation, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.
3. Saya berpandangan yang tindakan CBP ini adalah terburu-buru dan tidak berasas memandangkan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada Amerika Syarikat dalam masa yang terdekat. Kementerian juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi berkaitan di Amerika Syarikat, agar penyelesaian segera dapat dicapai.
4. Bagi tujuan ini KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Selain itu, Kementerian juga akan memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di Amerika Syarikat dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global. Untuk rekod, Kementerian menghargai kelonggaran yang diberikan oleh CBP kepada SDP untuk menghasilkan laporan audit bebas bagi menyangkal dakwaan tersebut.
5. Saya dengan tegas ingin mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik dan antarabangsa yang telah ditetapkan.
6. Saya yakin dengan usaha berterusan pihak Kementerian dan semua agensi berkaitan, isu ini akan dapat diselesaikan segera. Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan yang lain.
7. Selain itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara kita.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 31 JAN 2022
KENYATAAN MEDIA PEMBANGUNAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA DIPERKASA MELALUI KERJASAMA ERAT ANTARA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA NEGERI SARAWAK ______________________________________________________________
1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah mengadakan lawatan ke Ladang Hutan Samarakan di Bintulu, Sarawak anjuran Jabatan Hutan Sarawak. Lawatan ini turut disertai oleh Kaunselor (Pertanian) Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, wakil Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Program ini bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini pembangunan ladang hutan serta Pengurusan Hutan Mampan (SFM) di Malaysia terutamanya di Sarawak. Di samping itu, ia juga bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta pemegang taruh industri perkayuan di Sarawak.
2. Sarawak mempunyai unit pengurusan ladang hutan (FPMU) terbanyak dan terbesar di Malaysia. Keseluruhannya, 1.178 juta hektar kawasan hutan di Sarawak telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang merangkumi 6 FPMU dan 11 unit pengurusan hutan asli (FMU). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Sarawak yang menetapkan agar pemegang lesen kayu pada jangka masa panjang mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang tahun ini. KPPK melalui Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus mempromosi dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi MTCS yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).
3. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi Negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.
4. Kerajaan telah dan sedang mengambil inisiatif serta tindakan bagi menggalakkan kemampanan yang menyeluruh di sepanjang rantaian nilai perkayuan (value chain). Antaranya termasuk penyediaan pinjaman sebanyak RM500 juta lagi menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjamin bekalan bahan mentah industri perkayuan agar berterusan pada masa hadapan.
5. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan Negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan Negara serta kemakmuran bersama.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 1 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA MOU BERSAMA PEMAIN INDUSTRI KAYU KAYAN PAKISTAN LANGKAH STRATEGIK KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI TINGKATKAN EKSPORT MALAYSIA _________________________________________________________
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) terus berusaha meluaskan pasaran dan pembekalan produk kayu-kayan Malaysia ke pasaran luar negara.
2. Menerusi lawatan kerja rasmi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama-sama delegasi KPPK ke Pakistan, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada 30 Mac 2022 antara MTC dan pemain utama industri kayu, All Pakistan Timber Traders Association (APTTA).
3. Perjanjian persefahaman ini diyakini merupakan antara langkah strategik KPPK dalam usaha meningkatkan eksport produk kayu-kayan Malaysia, bertepatan dengan sasaran Kementerian pada tahun 2022 bermula Januari hingga Jun ini yang menyasarkan eksport bagi sektor kayu-kayan adalah sebanyak RM12 bilion.
4. Bahkan, pemain-pemain industri berkenaan turut didedahkan mengenai peluang yang boleh terus diperkukuhkan dalam sektor agrikomoditi seperti sawit, getah, lada, koko dan kenaf memandangkan Malaysia dan Pakistan telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sekaligus membantu dalam membina kemampanan ekonomi kedua-dua negara.
5. KPPK komited untuk memastikan industri perkayuan dan komoditi negara akan terus berkembang maju dan pulih selepas dilanda pandemik Covid-19.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 1 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA SAMBUTAN ULANG TAHUN MAJLIS KAYU-KAYAN MALAYSIA (MTC) YANG KE-30 DAN PENGUMUMAN PEMENANG ANUGERAH INDUSTRI PERKAYUAN MALAYSIA 2022
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) yang ke-30 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Datuk Ravi Muthayah, Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) Puan Hajah Norrida Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif MTC Tuan Muhtar bin Suhaili serta agensi berkaitan dan wakil daripada industri perkayuan.
2. Selama tiga dekad penubuhan MTC, cabaran demi cabaran telah ditempuhi dan pelbagai kejayaan telah diraih oleh agensi ini. MTC memainkan peranan yang penting dalam usaha meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Negara. Malahan, MTC telah banyak membantu industri perkayuan meneroka pasaran-pasaran baru dan dalam masa yang sama mengambil langkah yang responsif terhadap persekitaran global.
3. YB Timbalan Menteri turut berkesempatan merasmikan pelancaran buku Standing Tall – A Malaysian Timber Industry Journey terbitan MTC yang memaparkan evolusi perjalanan, perjuangan dan kemajuan industri perkayuan Malaysia yang telah berusia lebih seabad.
4. Kemuncak majlis ini adalah sesi penyampaian Anugerah Industri Perkayuan Malaysia 2022 atau Malaysian Timber Industry Awards 2022 yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh MTC sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan di atas sumbangan pemain industri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam membangunkan sektor perkayuan.
5. Sebanyak lima anugerah telah disampaikan iaitu Anugerah Kemampanan dan Alam Sekitar, Anugerah Digitalisasi, Anugerah Kecemerlangan Operasi, Anugerah Produk Kayu Inovatif dan Anugerah Personaliti Industri. Anugerah ini menjadi salah satu suntikan semangat buat pemain industri untuk terus lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Platform sebegini menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai pelbagai bakat yang mampu memacu industri perkayuan ke tahap yang lebih tinggi.
6. Pembangunan Industri Perkayuan akan turut diberi fokus dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 ke arah mempertingkat daya tahan dan daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini memerlukan sokongan dan penyertaan daripada industri dan pihak berkepentingannya di sepanjang rantaian nilai dengan keperluan bekalan bahan mentah yang mencukupi, teknologi canggih, produk baharu dan pekerja mahir. Salah satu langkah utama yang perlu diambil untuk mencapai sasaran ini adalah dengan mengoptimumkan proses pembuatan dan rantaian bekalan termasuk merevolusikan perniagaan secara keseluruhan agar terus berkembang maju ke arah Industri 4.0. Kementerian dan MTC akan terus proaktif dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan kesemua pemegang taruh dalam usaha untuk memperkasakan industri perkayuan melalui adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi yang kompetitif dan cekap.
7. Pasaran kayu-kayan mensasarkan untuk mencatat jumlah eksport yang tinggi pada tahun 2022 dan berjaya mencapai sasaran eksport sebanyak RM24 bilion bagi tahun ini dengan pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi produk kayukayan yang berkualiti dari Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPPK) PUTRAJAYA 10 Januari 2022