SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMAMPANAN HASIL AGRIKOMODITI NEGARA TERJAMIN
DENGAN DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030 (DAKN 2030)


1. Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020-2021 menyaksikan situasi di luar jangkaan apabila pertumbuhan pesat
keluaran agrikomoditi negara menunjukkan peningkatan keseluruhan sebanyak 64 peratus berbanding tempoh prapandemik 2018-2019.


2. Walaupun negara berhadapan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia kekal kukuh, malah mencatatkan pertumbuhan pesat sepanjang
tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 kepada RM128.5 bilion (2019) dan meningkat kepada RM151.3 bilion (2020) serta RM209.6 bilion (2021).


3. Untuk mengekalkan potensi dan pertumbuhan industri agrikomoditi Malaysia, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) telah dilancarkan pada bulan Mac 2020 untuk terus
memacu perkembangan sektor agrikomoditi negara di landasan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran. Hal ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam era pasca COVID-19.


4. Intipati DAKN 2030 adalah bertunjangkan lima teras utama, iaitu
(i) kemampanan;

(ii) produktiviti;

(iii) ciptaan bernilai tambah;

(iv)pembangunan pasaran; dan

(v) keterangkuman.


5. Berikut adalah enam produk agrikomoditi yang memperoleh manfaat secara langsung daripada pelaksanaan DAKN 2030;
(i) Minyak sawit: Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan stok simpanan melalui pengecualian duti eksport untuk minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) kepada syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria permohonan. Hasilnya, harga minyak sawit mentah (CPO) kembali stabil dan pada masa
yang sama harganya menunjukkan trend peningkatan dari tempoh Jun 2020 sehingga kini. Selaras dengan usaha ini, Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dilaksanakan untuk memperkukuh kemampanan dan kualiti minyak sawit negara serta menerusi usaha mempererat kerjasama strategik dengan Indonesia melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).


(ii) Getah: Terdapat perancangan untuk memperluaskan penggunaan getah di Malaysia sebagai bahan bagi pembinaan jalan raya, selain pengeluaran produk-produk baharu berasaskan
getah yang ada nilai tambah seperti alat penahan getaran/gempa seismic bearing, sarung tangan dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia seperti Thailand dan Indonesia di bawah rangka kerja Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk memperkukuh dan memperkuatkan harga pasaran getah dunia.


(iii) Kayu-kayan: Malaysia akan terus memperluaskan penyertaan dalam pameran-pameran pembinaan, perabot dan kayu-kayan antarabangsa bagi mempromosi dan mendorong permintaan untuk produk kayu-kayan negara dan meningkatkan rantaian hubungan serta peluang perniagaan di negara-negara berkaitan. Pada masa yang sama, negara juga merancang meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) bagi menggalakkan industri perkayuan memperluas akses dalam pasaran digital melalui penyertaan dalam pameran secara maya, selain menggalakkan usaha pemasaran
melalui platform-platform digital, antaranya seperti AliBaba dan MineBizs.


(iv) Koko: DAKN 2030 melaksanakan Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik (KSPD) bagi membantu pekebunpekebun koko memasarkan hasil kebun mereka dengan tawaran
harga pembelian yang munasabah, seterusnya mengurangkan peranan orang tengah yang biasanya menawarkan harga tidak berdaya saing. Sebagai tambahan, usaha-usaha akan
dilaksanakan bagi aktiviti-aktiviti promosi secara virtual, malah pihak industri juga sudah menyertai beberapa program pameran secara maya ini melalui sesi webminar, pembentangan secara
zoom, sesi chat secara langsung (live chat) dan platform pemadanan bisnes secara dalam talian.


(v) Lada: Antara usaha yang dilihat berpotensi adalah menjual secara terus hasil lada negara dan produk berkaitan dengannya ke pasaran khusus atau ‘niche market‘ bagi meningkatkan daya saing industri lada negara. Ini melibatkan pengeluaran produk-produk lada dengan nilai tambah seperti lada yang disteril (steriled pepper) atau Mikrokleen dan serbuk lada
untuk pasaran yang mengambil berat aspek keselamatan dan kualiti makanan, selain produk-produk khusus peringkat ladang (‘farmlevel specialty’) seperti lada putih berkrim (LPK). Sehingga kini, Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah berjaya menembusi pasaran produk lada bernilai tambah dan pasaran khusus lada, antaranya di Jepun, Sweden, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Sepanyol dan Polinesia.


(vi) Kenaf: Perancangan awal adalah untuk memperkenalkan ladang-ladang kluster dengan keluasan antara 20 hingga 50 hektar bagi menggantikan ladang-ladang berskala kecil
kurang ekonomik yang diusahakan oleh pekebun kenaf sedia ada. Sebagai tambahan, tumpuan juga diberikan untuk membangunkan Pusat Penyelidikan, Teknologi Inovasi dan Inkubasi Perusahaan Kecil atau ‘Center for Research, Innovation Technology and Incubation Of Small Enterprises ’ (RINTIS) bagi melahirkan usahawan aktiviti pemprosesan serat premium selain meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenaf di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.


6. Kementerian komited untuk terus membawa sektor agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih baik agar pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan terus mencatatkan prestasi
cemerlang meskipun berdepan cabaran inflasi yang diramal berlaku pada tahun 2023. DAKN 2030 menjadi garis panduan yang jelas bagi memaksimumkan potensi ekonomi kitaran menerusi biojisim agrikomoditi yang diyakini menjadi benteng memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi Malaysia.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
HAB PERDAGANGAN KOKO DI JOHOR BAKAL TINGKAT
KDNK NEGARA
________________________________________________________________

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di Forest City Hotel, Gelang Patah, Johor.


2. Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) mewujudkan Hab Perdagangan Koko di Malaysia telah bermula pada tahun 2019 dan 2021. Kajian ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menilai lanskap semasa sektor hiliran industri koko di Malaysia yang sedang giat beroperasi khususnya di negeri Johor. Kajian telah dilaksanakan secara libat urus dengan kementerian dan agensiagensi terlibat seperti Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).


3. Hab Perdagangan Koko ini diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan. Penubuhan hab diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan Pelabuhan Singapura.


4. Terdapat dua (2) lokasi yang diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di Johor. Kedua-duanya mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir dan mencukupi serta jaringan domestik yang sangat baik.


5. Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah Buku Garisan Panduan Pengimportan Biji Koko Kering ke Malaysia yang diterbitkan oleh LKM turut dilancarkan. Buku ini bakal menjadi panduan utama kepada pihak berkuasa dan pihak industri khususnya dalam pengurusan pengimportan biji koko kering.


6. Selain itu, satu kerjasama melalui ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) telah dimeterai di antara LKM dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ). Kerjasama ini juga diyakini mampu membangunkan ekonomi negara. Bagi tempoh bulan Januari hingga Jun tahun 2022 sahaja, kadar nilai eksport bagi koko dan produk berasaskan koko telah mencecah RM4.4 billion, iaitu meningkat lebih 11 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama tahun 2021.


7. Kerajaan menerusi Kementerian dan LKM akan memastikan sektor hiliran koko terus berdaya saing serta lebih produktif untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030)


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
YAYASAN MARGMA PERKUKUHKAN PROGRAM PENDIDIKAN PASCA
PANDEMIK DEMI MASA DEPAN PELAJAR


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) kepada Pertubuhan Harapan Indah Ampang Selangor di Hotel Grand Barakah, Ampang.


2. Penyerahan sumbangan ini adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) Yayasan MARGMA bagi menyokong pelaksanaan Program Seminar Pendidikan Pasca Pandemik, yang dijalankan khusus untuk Ahli Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) bagi 19 buah sekolah terpilih.


3. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan ibu bapa dan guru dalam mendepani kesan pandemik khususnya kepada sistem pendidikan serta kesihatan mental pelajar. Selain itu, seminar ini juga akan menyentuh topik pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan akan dikendalikan pakar-pakar bertauliah dalam bidang pendidikan dan psikologi.

4. Tema dipilih dalam program ini adalah “Ke Arah Kecemerlangan Sistem Pendidikan dan Kesejahteraan Mental Pelajar”, yang bermatlamat membantu ibu bapa dan guru mendalami pendidikan STEM, seiring dengan keperluan revolusi industri 4.0. Bahkan, program ini juga diyakini dapat membantu ibu bapa dan guru mendalami anjakan corak pengajaran dan pembelajaran terkini.


5. Program ini dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 16 Mei 2022 hingga 31 Oktober 2022, dengan menyasarkan keseluruhan penyertaan adalah seramai 760 orang peserta, yang terdiri daripada ibu bapa dan guru-guru.


6. Kementerian melalui agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan negara bangkit daripada impak Covid-19 yang telah melanda negara sejak dua tahun lalu.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 APRIL 2022

KENYATAAN MEDIA
PENUKARAN NAMA RASMI DAN AKRONIM KEMENTERIAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI


Selaras dengan pengumuman pembentukan kabinet oleh YAB Perdana Menteri pada 3 Disember 2022, nama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah dijenamakan
kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atau nama bahasa Inggerisnya, Ministry of Plantation and Commodities. Penggunaan akronim bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi ialah KPK.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bertanggungjawab terhadap sektor agrikomoditi dan menyelia keseluruhan rantaian nilai pengeluaran serta penggunaan daripada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Sektor ini telah berkembang melalui peringkat pengeluaran dan pengeksportan bahan mentah kepada penghasilan produk separa
proses, produk yang telah diproses dan produk akhir, seterusnya menjana lebih banyak produk bernilai tambah dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.


Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) merangkumi lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf dan fiber berkaitan), biojisim dan biobahan api merupakan tonggak utama bagi meningkatkan ekonomi kitaran berasaskan agrikomoditi. Sektor agrikomoditi merupakan komponen penting dan antara pemacu ekonomi negara yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa yang sama menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil.


Justeru sebagai usaha memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama, visi, misi dan fungsi Kementerian masih kekal bagi merealisasikan DAKN2030 dan memperluas kepelbagaian sektor agrikomoditi serta menjayakan agenda pembangunan ekonomi nasional.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 DISEMBER 2022

JATA LATES

MENTERI LANCAR SYARIKAT PEMASARAN INTEGRASI KOMODITI DI JEDDAH, ARAB SAUDI BAGI MEMANTAPKAN KEDUDUKAN PASARAN

JEDDAH: Arab Saudi komited untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan, bernilai RM900 juta pada tahun 2021 kepada 500,000 tan dengan anggaran nilai RM1.5 bilion tahun 2022

.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin berkata, pada 2020 eksport komoditi pertanian Malaysia ke Timur Tengah dan Afrika Utara mencatatkan jumlah USD2.37 bilion manakala getah dan produk berkaitan mencatatkan nilai eksport sebanyak USD535 juta.


Begitu juga, kayu dan produk kayu mencatatkan nilai eksport sebanyak USD324.5 juta manakala minyak sawit dan produk minyak sawit mencatatkan USD1.51 bilion.
Bercakap selepas melancarkan secara rasmi Pejabat Wilayah Agrikomoditi di Jeddah, beliau berkata pejabat itu penting untuk memudahkan pembangunan dan kerjasama dalam kalangan komoditi Malaysia dan industri tempatan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), khususnya Arab Saudi

.
"Ini juga akan membawa kepada peluang yang lebih besar dalam meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua negara," katanya.
Pejabat Wilayah Agrikomoditi atau lebih dikenali Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi (CIMC) itu adalah yang pertama seumpamanya di Timur Tengah, menempatkan tiga organisasi berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung, iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC).

 

Pada masa sama, Zuraida turut menghadiri perbincangan dengan wakil daripada industri minyak sawit, getah dan kayu dari Arab Saudi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran Malaysia di rantau ini.


“Produk pertanian Malaysia sudah mantap di pasaran dunia dan kebanyakannya adalah keperluan kehidupan harian seperti minyak masak, kosmetik, sabun, sarung tangan dan perabot rumah serta produk yang biasa digunakan dalam sektor perindustrian seperti biofuel, galas struktur, alat ganti automotif dan panel bangunan.”


"Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dan pengeksport kedua terbesar minyak sawit mentah, produk pertaniannya juga terkenal dengan kualiti tinggi dan boleh didapati di kebanyakan bahagian dunia," katanya.


CIMC akan bertindak sebagai hab komoditi Malaysia untuk memupuk hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang penting untuk penambahbaikan dan penerimaan produk pertanian Malaysia di pasaran global.


"Kementerian percaya, pejabat di Jeddah adalah testimoni kedua-dua negara untuk menyampaikan produk pertanian Malaysia berkualiti tinggi ke Timur Tengah dan Afrika dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan," tambahnya.

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 JANUARI 2022