SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
BANTUAN PASCA COVID-19 TERUS DIPERKASA KEPADA GOLONGAN
ASNAF, IBU TUNGGAL, WARGA EMAS, SURAU DAN WARGA EMAS

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada keluarga asnaf, ibu-ibu tunggal, warga emas, 17 buah surau serta dua buah masjid di sekitar Ampang dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.


2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili serta Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.


3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui penyerahan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan dan membantu mereka dalam melakukan persiapan menjelang bulan Syawal yang bakal tiba.


4. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan rumahrumah ibadat ini, selepas lebih dua tahun tidak dapat melakukan program dan aktiviti ketika tempoh fasa pandemik susulan penularan wabak Covid-19.


5. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi, sebaliknya akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 202.


6. Kementerian menerusi agensi di bawahnya akan terus menyantuni masyarakat dari pelbagai kelompok dalam usaha untuk mendengar pandangan dan keluhan berhubung sektor agrikomoditi negara. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam membangunkan ekonomi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PERKASA USAHA KERAJAAN DALAM FASA PEMULIHAN
EKONOMI NEGARA PASCA COVID-19

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya, Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas. Selain itu, 17 buah surau serta dua (2) buah masjid di sekitar Ampang turut menerima bantuan dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.


2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili dan Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.


3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga tersebut. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua (2) buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan selepas lebih dua tahun penularan wabak Covid-19.


4. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.


5. Kementerian menerusi agensi dan majlis dibawahnya akan terus mendekati masyarakat terutamanya yang melibatkan pekebun kecil. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam fasa pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
PUSAT KEUSAHAWANAN COKLAT TANJUNG PIAI ANTARA USAHA
KEMENTERIAN LAHIRKAN USAHAWAN TEMPATAN BERDAYA
SAING DALAM RANTAIAN INDUSTRI KOKO


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng telah merasmikan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai pada 24 Julai 2022 di Pekan Nanas, Johor. Pusat ini merupakan yang pertama dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).


2. Sempena pembukaan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai, beliau turut merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Johor anjuran LKM yang diadakan pada 24 hingga 25 Julai 2022 di pusat ini. Seramai 30 orang peserta menghadiri kursus siri kedua yang dianjurkan di negeri Johor ini. Kursus siri pertama telah berjaya diadakan di Kukup Golf Resort, Pekan Penerok pada 6 Mac 2022 yang lalu.


3. Pusat ini akan mengendalikan kursus dan latihan pembuatan coklat kepada masyarakat tempatan. Dalam usaha ke arah melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing di pelbagai peringkat dan aktiviti rantaian industri koko, para peserta kursus akan diberikan pendedahan kepada kemahiran pembuatan coklat buatan tangan, asas-asas keusahawanan serta diberikan bantuan pemasaran dan penjualan hasil produk di premis yang sama sebagai khidmat sokongan permulaan (kick-start) untuk menjadi seorang usahawan coklat.


4. Penubuhan pusat ini juga bertujuan untuk mempromosikan produkproduk coklat keluaran usahawan tempatan khususnya di negeri Johor. Penubuhan pusat ini akan dapat mempelbagaikan produk koko dan coklat buatan tangan serta meningkatkan pendedahan dan permintaan kepada produk-produk coklat tempatan.


5. Pada peringkat awal pelaksanaan, pusat ini dijadual akan membimbing seramai 300 bakal usahawan. Pusat ini berupaya untuk mencipta peluang bagi menjana pendapatan kepada golongan berstatus B40 di kawasan ini yang berminat untuk menceburi industri pembuatan coklat buatan tangan.


6. Bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan, LKM telah melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan-usahawan PKS untuk menceburi industri koko serta mengeluarkan produk-produk berasaskan koko terutamanya coklat.


7. Usahawan coklat bimbingan LKM dibangunkan untuk menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan serta melatih dan mendedahkan mereka dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan dengan teknologi coklat serta pemasaran produk dengan lebih efektif untuk menghasilkan produk yang berdaya saing.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 Julai 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KOLABORASI STRATEGIK LADANG KOKO PINTAR PERTAMA DI
MALAYSIA BAKAL KELUARKAN BIJI KOKO PREMIUM DAN
BERPERISA UNIK


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Setul, Negeri Sembilan, pada 24 Mac 2022. Ladang seluas 100 hektar dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Permaju Industries Berhad (PIB) akan diusahakan dengan kolaborasi strategik bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM).


2. Ladang yang bakal diurus dengan menggunakan teknologi pintar iaitu Cocoa Information Management System (CIMS) yang dibangunkan dari negara Austria. Teknologi ini bakal meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil buah koko selain menjadi ladang contoh penggunaan teknologi pintar yang akan menarik lebih ramai pelabur dan generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko.


3. LKM akan memberikan khidmat nasihat dalam pemilihan dan penyediaan bahan tanaman koko yang berkualiti tinggi, teknologi penanam koko termasuk kawalan penyakit dan perosak, teknologi penanam intergrasi koko dengan tanaman ekonomi lain serta pengurusan kebun ke arah mendapatkan pensijilan MyGAP (Good Agriculture Practices) dan skim sijil MyOrganic.


4. Projek ini akan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutamanya bagi memenuhi sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko berperisa unik. Pengeluaran koko dari ladang ini dijangka akan melebihi 30 tan metrik setahun yang mampu untuk memenuhi permintaan pengeluar coklat premium.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 Mac 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
EKSPO DAN SIDANG KEMUNCAK AGRIKOMODITI ANTARABANGSA MALAYSIA
2022 (MIACES) HAB GLOBAL PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI


1. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri hari ini merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) yang akan bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di MITEC, Kuala Lumpur dan melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih 350 syarikat antarabangsa.


2. MIACES dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan sokongan agensi dan majlis di bawah Kementerian. MIACES 2022 menjadi medium memperkukuhkan rangkaian kerjasama antara pemain agrikomoditi bagi membina rangkaian urus niaga serta meneroka potensi pelaburan dalam sektor agrikomoditi. Ia juga membuka ruang dan potensi bagi pemain industri menembusi pasaran antarabangsa dalam persekitaran perniagaan yang kondusif.


3. Ekspo dan sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga (3) hari ini, menampilkan produk-produk komoditi, perkhidmatan dan teknologi perladangan terkini di bawah satu bumbung. Pelbagai acara lain turut dianjurkan antaranya persidangan, perbincangan meja bulat, mesyuarat business to business (B2B) dan malam anugerah berprestij bagi menghargai sumbangan pemain industri agrikomoditi.


4. MIACES 2022 membantu merapatkan jurang antara pemain industri, mempercepatkan pendigitalan bagi membina ekosistem yang mampan untuk meningkatkan kualiti. Ekspo dan sidang kemuncak ini juga menyaksikan pemainpemain industri di setiap rangkaian agrikomoditi dapat berurus niaga dan bekerjsama dalam satu hab yang sama.


5. Bukan itu sahaja, MIACES 2022 menampilkan Program ‘Hosted Buyer’ yang membantu para usahawan memperluas model perniagaan dan membuka peluang untuk berhubung dengan peneraju dalam sektor agrikomoditi. Platform B2B Virtual MIACES menawarkan sesi 1 on 1 bersama pengeksport, pengedar, pengimport, pelabur, pengilang, peruncit, peniaga, pemborong dan badan serta agensi kerajaan.


6. Seramai 20 penceramah akan terlibat dalam sesi mentor dan bimbingan untuk syarikat pemula dalam industri perladangan dan komoditi, di samping sesi pengambilan/ perekrutan, latihan dan peningkatan kemahiran kepada semua. Penganjuran Special Farmers Day semasa ekspo dan sidang kemuncak ini juga membuka peluang kepada para pekebun mendapatkan maklumat tentang insentif, sokongan dan teknologi terkini dalam industri.


7. Semua pihak dijemput untuk hadir ke MIACES untuk menyokong industri agrikomoditi negara. Bagi maklumat lanjut dan pra-pendaftaran untuk aktiviti, layari myagricommodity.com. Kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 JULAI 2022