SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PERATURAN-PERATURAN
LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA
(PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU) 2011


1. Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2011 oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mula dilaksanakan sepertimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2022 lalu.


2. Penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini akan melibatkan lima (5) jenis lesen sebagaimana berikut;

BIL. JENIS LESEN
a. Lesen Mengawet Tembakau
b. Lesen Membeli Tembakau Diawet
c. Lesen Mengilang Tembakau atau Keluaran Tembakau
d. Lesen Mengadun Tembakau
e. Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau


3. Pada tahun 2022 penguatkuasaan pelesenan melibatkan lesen mengawet tembakau, lesen membeli tembakau diawet, lesen mengilang tembakau atau keluaran tembakau dan lesen mengadun tembakau telah dilaksanakan.


4. Sementara Penguatkuasaan pelesenan bagi Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau akan dilaksanakan melalui 3 fasa iaitu:


i. Fasa 1 - Pelaksanaan kempen kesedaran dan hebahan mulai 1 Julai 2022;
ii. Fasa 2 - Pelesenan pengedaran tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran fi mulai 1 Januari 2023;
iii. Fasa 3 - Penguatkuasaan sepenuhnya dengan bayaran fi mulai 1 Januari 2024. Dalam fasa 3, aktiviti pelesenan serta penguatkuasaan sepenuhnya akan melibatkan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.


5. Peraturan ini dikuatkuasakan bagi mengatasi implikasi negatif terhadap industri tembakau dan pengedaran tembakau serta produk tembakau tidak sah selari dengan komitmen Kerajaan yang telah menandatangani protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC) bagi mengawal selia industri tembakau termasuk rokok tidak sah.


6. Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang menyalahi serta bertentangan dengan kawalan industri tembakau yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, ketirisan pungutan cukai berikutan aktiviti pengedaran tembakau dan produk tembakau tidak sah dianggarkan sebanyak RM5 billion setahun. Pelaksanaan kempen hebahan ini meliputi taklimat dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan meliputi wakil industri, wakil pengawet, wakil pengedar dan Kementerian serta Agensi penguatkuasaan yang berkaitan secara berterusan.


7. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini juga akan memperkasakan lagi kawal selia industri tembakau negara melalui kerjasama diantara LKTN dengan Agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain.


8. Bagi memastikan penguatkuasaan peraturan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar, LKTN telah menyediakan kemudahan kaunter pelesenan di semua pejabat utama dan wilayah. Selain itu, kios dan kaunter bergerak juga disediakan di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai. Pelbagai kemudahan logistik, stor dan penyimpanan turut dipertingkatkan untuk memudahkan aktiviti pelaksanaan penguatkuasaan.


Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
18 Julai 2022

JATA LATES

ALATAN AUTOMASI DALAM SEKTOR PERLADANGAN SEBAGAI
PENYELESAIAN JANGKA PANJANG KURANGKAN
KEBERGANTUNGAN TERHADAP PEKERJA ASING


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit. Kementerian sedar kekurangan pekerja ini akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5% hingga 10%, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).


2. Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sekaligus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.


3. Ketika ini, Kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.


4. Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju untuk meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara. KPPK yakin bahawa sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian Kementerian.


5. Di masa hadapan, pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh. KPPK juga berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


6. Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak. KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.


7. Penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.


8. KPPK menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi. KPPK juga percaya bahawa pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen "Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan" yang sedang dijalankan.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
18 JUN 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
PROGRAM TRANSFORMASI KILANG (FTP) BANTU SYARIKAT
PERKAYUAN TEMPATAN MENDEPANI PERSAINGAN SENGIT DAN
MENCABAR DALAM INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA


1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Isella Sofa Design Sdn. Bhd. (Isella Sofa) Semenyih, Selangor, sebuah syarikat yang telah berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam industri pembuatan sofa dan telah menyertai Program Transformasi Kilang (FTP)  anjuran Malaysian Timber Council (MTC) pada tahun 2021.


2. FTP adalah sebuah program yang dilaksanakan secara bersama oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), SIRIM STS Sdn. Bhd. dan MTC. Program ini bertujuan untuk menyokong dan membantu industri perkayuan khususnya syarikat-syarikat terlibat dalam menjalankan penilaian dan kajian diagnostik kilang bagi mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui aplikasi alat dan teknik Green 5S dan Pengurusan Lean. Ia seterusnya meningkatkan keupayaan pembuatan industri dan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam Industri Perkayuan Negara selaras dengan halatuju pembangunan industri perkayuan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) dan juga perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (I.R. 4.0) di Malaysia.

3. Pada permulaan FTP, sebanyak 14 buah syarikat perkayuan telah berjaya dipilih untuk menyertai program ini dan kebanyakannya adalah daripada industri perabot. Lawatan secara khusus ke Isella Sofa adalah bagi menyaksikan kejayaan syarikat tersebut dalam melaksanakan transformasi kilang di bawah modul Lean Manufacturing serta pelbagai penambahbaikan dalam sektor pembuatannya. Melalui program FTP ini, Isella Sofa telah berjaya mengurangkan bilangan pekerja kilang dan pada masa yang sama masih terus meningkatkan pendapatan tahunannya. Ini secara langsung telah membuktikan keberkesanan pelaksanaan modul program di syarikat tersebut.


4. Modul program di bawah FTP dirangka berdasarkan piawaian yang dibangunkan oleh SIRIM STS Sdn. Bhd. Jenis modul yang dicadangkan kepada syarikat akan bergantung kepada keperluan syarikat yang akan dikenal pasti oleh SIRIM. Setiap modul akan mengambil masa maksimum 6 bulan untuk disiapkan. Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian akan diaudit dan syarikat-syarikat yang berjaya akan dibenarkan untuk menggunakan tanda pensijilan SIRIM yang diiktiraf (tertakluk kepada audit tahunan) dalam dokumen, peralatan, dan pengiklanan mereka.


5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MTIB selaku peneraju utama bersama-sama MTC akan terus memberikan penekanan kepada program-program automasi, mekanisasi serta digitalisasi dalam Industri Perkayuan Negara. Kerjasama strategik pelbagai agensi dan pihak berkepentingan adalah penting untuk memperkasakan industri perkayuan melalui pelaksanaan FTP dan adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi agar industri ini terus berdaya saing.

6. KPPK juga berharap pemain industri perkayuan yang lain turut mengambil peluang untuk menyertai program ini dan dapat memberikan komitmen yang jitu serta memanfaatkan sepenuhnya penyertaan dalam program ini. Penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti ini semestinya dapat memperkasakan industri perkayuan dalam mendepani persekitaran persaingan yang semakin sengit dan mencabar kini.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 Julai 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PEKEBUN KECIL GETAH SERTAI PROGRAM INSENTIF
PENGELUARAN LATEKS (IPL) TERIMA BANTUAN ‘ONE-OFF’
DALAM BENTUK INPUT PERTANIAN DAN INSENTIF TUNAI
RM1/KG BAGI KANDUNGAN GETAH KERING (KGK)


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia: Majlis Pelancaran Insentif Pengeluaran Lateks di premis MHJ Enterprise, Lot 3500, Kg Renab, Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan hari ini.


2. Pada program ini YB Datuk Hajah Zuraida telah menyerahkan alat mengukur kandungan getah kering bagi lateks kepada pelesen-pelesen getah dan input pertanian kepada pekebun kecil getah yang merupakan peserta dalam program insentif ini. Sebelum itu, sesi taklimat berkenaan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan aktiviti-aktiviti khidmat LGM telah disampaikan kepada semua peserta.


3. Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL ini akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). Para peserta juga akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00/kg bagi 100% kandungan getah kering (KGK).


4. Koperasi / Pelesen runcit getah yang menyertai program ini akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG) dan alat mengukur Kandungan Getah Kering (KGK) RRIMETER tertakluk kepada syarat yang dipersetujui.


5. Penggunaan RRIMETER dapat membantu pekebun kecil dan industri bagi mendapatkan ketepatan dalam menentukan KGK yang akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan. Secara tidak langsung, RRIMETER dapat mengawal dan membendung sebarang aktiviti manipulasi dan ketirisan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


6. Pendekatan Program IPL merupakan usaha LGM untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap(cuplump).


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 Mac 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK MENERUSKAN USAHA MEMPERKASAKAN USAHAWAN
COKLAT DAN PENGUSAHA KOKO DI SARAWAK


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 Padawan di Dewan Teng Bukap, Sarawak. Sempena program ini, beliau telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran Lembaga Koko Malaysia(LKM).


2. Program kali ini memberi fokus kepada komuniti wanita bagi menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan di Padawan dan di Teng Bukap khususnya untuk terlibat dalam bidang keusahawanan serta pengeluaran produk koko dan coklat.


3. Seramai 150 orang peserta menghadiri kursus ini dan telah diberi pendedahan awal mengenai potensi industri hiliran koko. Menerusi kursus tersebut juga, para peserta didedahkan mengenai teknik-teknik pembuatan coklat Single Origin. Peluang turut dibuka kepada para penanam koko di Sarawak yang berminat untuk menjadi pembekal biji koko Single Origin.


4. Pada masa ini, permintaan kepada produk coklat Single Origin semakin meningkat dan menunjukkan trend yang positif. Mengambil kira perkembangan ini, LKM melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad telah mula mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut. Sebanyak lima (5) produk coklat Single Origin Sarawak telah diperkenalkan antaranya produk coklat Single Origin Puncak Borneo, yang dihasilkan pekebun koko dari Padawan. Manakala (4) lagi produk adalah dari kawasan tanaman koko Julau, Asajaya, Serian dan Sarikei.


5. Kementerian melalui LKM giat melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk membangunkan usahawan coklat tempatan melalui latihan kemahiran pembuatan coklat, pemberian insentif peralatan dan mesin, khidmat nasihat pembangunan perniagaan serta pemasaran yang lebih efektif. Program ini dirangka bagi menghasilkan produk koko dan coklat yang berdaya saing di pasaran tempatan dan luar negara.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 MAC 2022