SIARAN MEDIA KPPK SEDIA PELBAGAI INSENTIF BANTUAN DAN PERGIAT AKTIVITI MSPO SEBAGAI USAHA BANTU PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga telah menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.
3. Sehingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah tersebut, 44,824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118,092 hektar telah memperoleh MSPO iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.
4. Kerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.
5. KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82,612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.
6. Sehingga Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor sebanyak lima (5) KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.
7. Kementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).
8. Dengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 14 Mei 2022
KENYATAAN MEDIA MINYAK SAWIT MALAYSIA TEMBUSI PASARAN BAHARU DENGAN PENERIMAAN GLOBAL YANG LEBIH BESAR
1. Minyak sawit Malaysia telah dapat menembusi pasaran global baharu dan ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”.
2. Sekurang-kurangnya tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia - Estonia, Republik Czech dan Hungary - telah mula membeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
3. Melihat kepada perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil, setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.
4. Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech bernilai 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary bernilai 853 tan bernilai RM6.73 juta.
5. Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru. Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.
6. Kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat.
7. KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.
8. Ini akan dilakukan melalui: i. Memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau Asia Tengah; ii. Meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran dan; iii. Meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala.
9. Maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.
10. KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekaligus menunjukkan kejayaan kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”. Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.
11. Penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga Kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan. Usaha ini tidak akan terhenti di sini, KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit kukuh dan kekal berdaya saing.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 14 SEPTEMBER 2022
SIARAN MEDIA IMPAC BAKAL LAHIRKAN 95 RIBU GRADUAN MENJELANG 2025
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, hari ini menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.
Majlis ini dianjurkan bersama oleh IMPAC dan enam (6) agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Sesi kali ini melibatkan 584 graduan meliputi 360 graduan daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala selebihnya adalah dariprogram latihan kemahiran kelolaan IMPAC dan agensi pelaksana.
Sehingga September 2022, IMPAC telah melahirkan seramai 80,290 pelatih melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi Kementerian atau pada purata 7,300 pelatih setiap tahun. IMPAC menjangkakan seramai 95,000 peserta akan dapat dilatih menjelang tahun 2025.
IMPAC melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC)juga telah dikenalpasti oleh SkillsMalaysia sebagai COE (Centre of Excellence) bagi bidang Cabinetmaking oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Joinery dan Carpentry oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melatih peserta negara yang membawa cabaran ke setiap pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) dan juga WorldSkills Competition (WSC) bagi merealisasikan pingat untuk negara dalam pertandingan yang disertai.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pembatalan Pertandingan Worldskills Competition Shanghai 2022 akibat pandemik COVID-19, seorang peserta negara dalam bidang ‘cabinet making’, Muhamad Ali Azamuddin bin Allias masih mampu memberi cabaran sengit kepada para peserta dari negara-negara lain di Pertandingan Worldskills Competition-Special Edition Switzerland yang telah dilangsungkan Oktober tahun ini.
Pada tahun 2022, IMPAC juga telah membangunkan 6 Kajian Pembangunan Bahan Pengajaran Bertulis bagi sektor sawit, getah, perkayuan, koko dan kenaf. Pembangunan bahan pengajaran ini akan menjadi bahan utama dalam pross pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tercapai dan mengikut standard yang ditetapkan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAC, Datuk Zunaidah Idris dan Ketua Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Puan Nazatul Niza Nordin.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 DISEMBER 2022
KENYATAAN MEDIA PENUBUHAN JAWATANKUASA DAKWAAN BURUH PAKSA LANGKAH WAJAR SELESAI ISU MINYAK SAWIT DAN GETAH
Washington, D.C -15 Mei 2022. Saya amat mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dengan Kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa. Ini adalah langkah wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah.
Dalam semangat Keluarga Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk menubuhkan jawatankuasa kerja ini semasa lawatan beliau ke AS yang sedang berlangsung. Semasa lawatan kerja saya ke AS yang dijadualkan bermula dari 11 Mei hingga 16 Mei 2022, Kementerian akan lakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa di sini demi mencari penyelesaian segera. Saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan saya yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan berkepentingan lain, tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS. Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit telah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk hapuskan buruh paksa dan buruh kanak- kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour).
Di samping itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum). Konvensyen-konvensyen ini menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing. Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkahlangkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan). Malaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada tahun 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam. Pada 19 November 2021, Kerajaan Malaysia juga telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia.
Kerajaan melalui Kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak. Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama KPPK dalam usaha menentang kempen anti-sawit dan terus mempromosi kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
KENYATAAN MEDIA USAHA PERCEPAT PENGAMBILAN PEKERJA WARGANEGARA INDONESIA PERLU DISELARASKAN GUNA PLATFORM DIGITAL SEPENUHNYA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.
2. Isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak dan meruncing sehingga menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.
3. Kementerian pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan oleh Republik Indonesia atas keputusan membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia yang telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 lalu, selepas menarik balik sekatan sebelum itu, yang dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu berkaitan hak-hak pekerja warganegaranya.
4. Bagi mempermudahkan proses pengambilan pekerja asing, KPPK sedar bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap. Sehubungan itu, pihak kementerian berharap proses berkenaan diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tanpa melibatkan penggunaan tenaga manusia.
5. Untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka.
6. Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat menggelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.
7. Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Bahkan, terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara.
8. Kementerian yakin usaha-usaha murni yang digerakkan ketika ini dapat membantu menggerakkan kempen ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit ’atau ‘The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil’ yang antara lain bertujuan meneroka dan menembusi pasaran-pasaran baharu serta meningkatkan eksport minyak sawit negara kita.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 OGOS 2022