SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PUSAT MINI PEMPROSESAN KOKO DAN JALAN LADANG KAMPUNG
KETIMBONG ANTARA USAHA KEMENTERIAN MEMPERKASA SEKTOR KOKO
PASCA COVID-19


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Rumah Panjang Unga, Kampung Ketimbong, Sebuyau, Simunjan, Samarahan, Sarawak. Beliau juga telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang Kampung Ketimbong.


2. Pusat Mini Pemprosesan Koko Kampung Ketimbong telah mula dibina pada April 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2021, dilengkapi dengan kotak pemeraman dengan kapasiti 100 kilogram biji koko basah dan pelantar pengering biji koko. Pusat pemprosesan ini dibina bagi menyediakan kemudahan kepada petani koko di sekitar Sebuyau, Sarawak untuk memproses biji koko yang lebih berkualiti dan berpotensi untuk dijual dengan harga yang tinggi.


3. Jalan Ladang Kampung Ketimbong yang telah siap sepenuhnya pada November 2020 dibangunkan melalui dua (2) fasa. Fasa pertama adalah pada tahun 2018 melibatkan sepanjang 0.75 kilometer manakala fasa kedua pada tahun 2020 dengan tambahan panjang jalan sebanyak 1 kilometer.


4. Pembinaan Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang ini bakal mempermudah pengendalian aktiviti huluan koko serta memberi faedah kepada pekebun koko di bawah Kelompok Kampung Ketimbong, Sebuyau. Kelompok ini dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) melalui Program Tanaman Baru Tahun 2018 (TB18) dan pada tahun 2019 (TB19).


5. Jumlah terkini keluasan tanaman adalah seluas 14.13 hektar dan diusahakan oleh 16 orang pekebun. Peserta program yang terlibat menerima insentif seperti baja, peralatan kecil pertanian serta khidmat latihan dan nasihat.


6. Kementerian yakin dengan pembukaan semula sempadan dan kelonggaran pergerakan bermula awal April lalu, pengeluaran industri koko disasar akan meningkat sekali ganda dan bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 April 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PROJEK TARGET DILANCARKAN DI PROGRAM JELAJAH
AGRIKOMODITI KELUARGA MALAYSIA DI KEDAH BAKAL
MENINGKATKAN DAYA SAING PEKEBUN KECIL


1. Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan sekali gus melancarkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) pada 13 Mac 2022 di Padang Terap, Kedah.


2. Dengan pembukaan pusat pemprosesan getah krip, Kementerian yakin ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Komitmen pihak NGO tempatan turut membantu merapatkan jurang ekonomi antara sektor huluan dan hiliran industri getah negara. Getah krip yang boleh dijual pada nilai harga yang lebih tinggi merupakan satu alternatif baharu buat pekebun-pekebun kecil getah dalam mempelbagaikan sumber pendapatan. Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil pengeluaran lateks atau getah beku mangkuk (cuplump) semata-mata. Getah krip mengandungi kandungan getah yang lebih tinggi dan disebabkan itu mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding cuplump.


3. Manakala projek TARGET merupakan usaha Kementerian untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah. Koperasi dan peniaga getah bakal mendapat manfaat dengan menyertai program ini. Pendekatan projek TARGET adalah untuk memendekkan rantaian perniagaan getah, pengurangan ketirisan dan meningkatkan ketelusan dalam urusniaga getah serta mengukuhkan kesatuan pekebun kecil melalui koperasi. Di samping itu, dapat meningkatkan amalan pertanian baik dan memberi peluang sektor pekebun kecil meningkatkan nilai tambah produk mereka melalui penyertaan dalam bidang pemprosesan getah.


4. Koperasi dan peniaga getah yang layak akan dibantu dengan sokongan teknikal dan pembiayaan tertentu. Kementerian sememangnya prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan para pekebun kecil getah terutama sekali dalam mendepani jurang ekonomi yang dihadapi dan sentiasa memikirkan cara untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membaik pulih taraf kehidupan mereka.


5. Dalam majlis berasingan, YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia dan seterusnya Penyerahan Penyertaan Projek TARGET di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Naka, Kuala Nerang, Kedah. YB Menteri turut menyaksikan penyerahan borang permohonan Koperasi Pekebun Kecil Padang Terap, Koperasi FELCRA Bukit Tampoi dan Koperasi FELCRA Belimbing Tualak bagi menyertai program TARGET.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 MAC 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
INDUSTRI GETAH SEBAGAI ANTARA PENYUMBANG PERCEPAT
PEMULIHAN EKONOMI NEGARA PASCA PANDEMIK COVID-19


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn. Bhd. di Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini.


2. Malaysia merupakan antara pengeksport getah dan produk getah utama dunia dan peningkatan nilai eksport getah negara menjangkau RM71 bilion pada tahun 2021,menunjukkan peningkatan sebanyak 46.3% berbanding tahun sebelumnya. Industri getah negara mempunyai potensi untuk berkembang pada tahun ini berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama, sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik mulai 1 April 2022.


3. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian menerusi Malaysian Rubber Council (MRC) bagi membantu pemain industri getah, antaranya penyediaan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah dan mengukuhkan syarikat untuk memastikan kehadiran mereka di peringkat antarabangsa. Pakej Rangsangan COVID-19 diperkenalkan pada 2020 bagi menyokong dan memudahkan industri produk getah meneruskan aktiviti promosi pasaran di bawah senario norma baharu. Kementerian juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram bagi membantu para pekebun kecil.


4. Sejajar dengan itu, Kementerian dengan kerjasama MRC juga memperkenalkan Industry Linkage Fund (ILF) untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti/institusi penyelidikan dalam projek R&D yang akan menyumbang kepada pembangunan industri getah di Malaysia. Kementerian yakin bahawa industri getah merupakan antara penyumbang pemulihan ekonomi negara dan komited dalam usaha meningkatkan nilai tambah getah pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
14 April 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MENTERI KPPK SAKSI PENYERAHAN BANTUAN TUALA WANITA DAN
TEPUNG GANDUM BAGI GOLONGAN B40 SEKTOR AGRIKOMODITI
___________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menerima sumbangan tuala wanita bernilai sebanyak RM144,100.00 daripada Best Eternity Recycle Technology bagi Program Period Poverty yang diterajui oleh Girl2Leader. Selain itu, KPPK turut menerima sumbangan satu (1) tan tepung daripada Lotus FKM Berhad untuk program di bawah kelolaan Yayasan Komuniti Negara.


2. Sumbangan yang diserahkan oleh wakil syarikat Best Eternity Recycle Technology, Encik Ng Kim Fan Rex dan Lotus FKM, Cik Lee Wai Fun kepada Girl2Leader dan Yayasan Komuniti Negara telah disaksikan oleh Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Penaung Yayasan Komuniti Negara.


3. YB Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan oleh pihak industri kerana ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para penerimanya, terutamanya golongan wanita B40 yang sering YB Menteri temui semasa Program Jelajah Agrikomoditi bersama-sama pekebun kecil.


4. Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan dan ini bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh sebilangan wanita di negara ini. Menyedari akan permasalahan itu, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama Persatuan Girl2Leader mengambil inisiatif memulakan
Program Period Poverty.


5. Sumbangan satu (1) tan tepung gandum akan diagihkan kepada lebih 500 keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban terutamanya ketika di bulan Ramadan.


6. Kementerian akan terus mendekati masyarakat pelbagai lapisan, khususnya golongan pekebun kecil dan memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB) BAKAL MEMPERKUKUH SEKTOR AGRIKOMODITI LADA




1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini telah meluangkan masa meninjau Projek Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) bertempat di Semenggok, Kuching.
2. Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan MPB adalah bertujuan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada, membangunkan plot – plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.
3. Penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan MPB menjalankan pelbagai jenis R&D berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan varieti lada baru.

4. Antara kemudahan yang dibina di stesen ini merangkumi empat (4) unit greenhouse berkeluasan 168m2 setiap unit. Greenhouse tersebut akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada; satu (1) unit bangsal tumbuhan berkeluasan 150m2 akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada. Selain itu, kemudahan asas lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan ICT turut dibina.
5. Dua (2) plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia serta Plot Ujian Ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D turut dibangunkan. Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.
6. Justeru, melalui penubuhan stesen seumpama ini pemerkasaan R&D lada dapat diperkukuh dengan meningkatkan penemuan R&D dan inovasi baru bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri lada yang mampan.
7. Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 FEBRUARI 2022