SIARAN MEDIA 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN TAWAR DUA INSENTIF KEPADA SEKTOR SAWIT BAGI
MENJAMIN KEMAMPANAN SUMBER PENDAPATAN PEKEBUN KECIL
________________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon insentif bagi membantu menambah pendapatan dan mengembangkan perniagaan.


2. Kementerian telah membuka permohonan untuk dua insentif, iaitu Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank - MPOB). Di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.


3. Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah. Ini selaras dengan polisi kerajaan mengenai pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit, dengan had penanaman tidak melebihi 6.5 juta hektar. Penanaman berselang ini juga boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran sawit. KPPK yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara.


4. Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dari mana-mana pejabat TUNAS MPOB seluruh negara. Permohonan ini dibuka kepada mereka yang memiliki 6.5 hektar ladang kelapa sawit atau kurang.


5. Di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank - MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka. Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah dua peratus. Pinjaman bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.


6. Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan Kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
10 JUN 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
AKADEMI HEVEA MALAYSIA
CAWANGAN LANGKAWI BANGUNAN MENARA PERTAMA DI
MALAYSIA MENGGUNAKAN GALAS GETAH SEISMIK


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan pusat latihan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, Langkawi, Kedah.


2. Pembinaan AHML adalah sebagai pusat dan sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah huluan dan hiliran bagi penggiat industri getah, penjawat awam dan penyelidik dan merupakan antara usaha LGM bagi melaksanakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan aktivitI huluan, pemprosesan dan hiliran untuk kemajuan getah negara.


3. AHML juga merupakan bangunan menara pertama di Malaysia menggunakan galas getah seismik yang direka khas oleh LGM. Penggunaan galas getah seismik dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.


4. Kementerian yakin bahawa potensi getah huluan dan hiliran boleh dipertingkatkan lagi dan seterusnya menyumbang kepada rasa pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Langkawi, Kedah
12 April 2022



SIARAN MEDIA

TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI BAHARU, YB
DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING MULAKAN TUGAS SECARA
RASMI PADA 12 DISEMBER 2022


1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching memulakan tugas secara rasmi dengan menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.

 

2. Ketibaan YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching di blok utama Bangunan KPK disambut oleh Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Hanim Abdollah dan SUB Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (BKPP), Encik Sri Ram Letchimanan.

 

3. YB Datuk Hajah Siti Aminah secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan pada 10 Disember 2022 di Istana Negara.

 

4. Beliau berasal dari Sabah dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.177 Beaufort. Sebelum ini YB Datuk Hajah Siti Aminah, 60 tahun, merupakan mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah. Selain itu, YB Datuk Hajah Siti Aminah juga merupakan Ketua Wanita United Sabah Islamic Association dan Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Bisaya Sabah.

 

5. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Siti Aminah sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
12 DISEMBER 2022

 JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA SOKONG PEMODENAN SEKTOR PERLADANGAN
KEMBOJA


1. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada tahun ini menjangkau usia 65 tahun dan negara jiran serantau tersebut menawarkan peluang bagi penggiat sektor hiliran produk minyak sawit yang mahu meneroka pasaran di luar negara.


2. Dengan populasi 17 juta penduduk, Kemboja adalah negara pengimport pelbagai produk agritani Malaysia yang utama, khususnya minyak sawit, malahan nilai dagangan antara kedua-dua
negara sentiasa meningkat saban tahun. Pada tahun 2021, Kemboja mengimport lebih tujuh (7) juta tan minyak sawit kita berbanding hanya lebih satu (1) juta tan pada tahun sebelumnya.

3. Dalam hal ini, selain menjadikan Kemboja sebagai destinasi import pelbagai produk berkaitan minyak sawit keluaran negara kita, penggiat-penggiat industri di Malaysia memiliki ruang untuk merintis usaha bagi menjayakan pemindahan teknologi, bakat dan kemahiran yang dapat membantu sektor pertanian serta perladangan Kemboja mencapai potensi sepenuhnya.


4. Dalam aspek produk-produk getah Kemboja, Malaysia sudah menjadi pusat rujukan yang diiktiraf. Hal yang sama dapat dijangkakan kepada produk-produk hiliran minyak sawit dengan
penyertaan lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur dalam pembangunan sektor minyak sawit Kemboja.


5. Ketika ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar yang membawa masuk pelaburan ke Kemboja, selepas China dan Korea Selatan dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) mencecah AS$3.53 bilion dalam tempoh 1994 hingga 2020. Sehingga kini, pelaburan dari negara kita di Kemboja, kebanyakannya bertumpu kepada sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan. Pada tahun 2021, nilai dagangan dua hala di antara Kemboja dan Malaysia adalah sebanyak AS$503.004 juta, iaitu peningkatan sebanyak 13.03 peratus daripada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Kastam dan Eksais Kemboja (GDCE).


6. Nilai eksport Kemboja ke Malaysia pula sebanyak AS$101.32 juta, meningkat sebanyak 2.2 peratus, manakala nilai import adalah berjumlah AS401.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 16.1 peratus. Secara keseluruhannya, defisit dagangan di antara kedua-dua negara pada tahun lalu meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada AS$300.37 juta. Eksport utama Kemboja ke Malaysia adalah beras, buah tandan sawit (FFB), lada, getah, fabrik, komponen-komponen elektrik dan produk-produk industri serta pertanian, manakala
import utama pula termasuk barangan kenderaan, makanan dan minuman (F&B) serta produk-produk elektronik.


7. Melalui pemulihan ekonomi menggalakkan daripada kedua-dua negara yang pasca pandemik COVID-19, usaha membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran-pasaran baharu melalui kempen-kempen jelajah antarabangsa bagi memperkukuh pasarannya semakin terserlah. Pengalaman Malaysia selama lebih 70 tahun dalam sektor pengeluaran minyak sawit boleh menjadi rujukan dan membantu Kemboja mencapai kejayaan sama dalam tempoh lima tahun melalui pemindahan teknologi, ilmu, bakat dan kemahiran.


8. Yakinlah bahawa kempen anti minyak sawit yang digerakkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tidak menjejaskan pengeluaran atau eksport hasil ladang Malaysia. Tuduhan kononnya perladangan sawit Malaysia menggunakan buruh paksa dan menjejaskan alam sekitar juga adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya, 35 peratus daripada minyak sawit keluaran negara kita memperoleh pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tiada negara lain di dunia yang mempunyai pensijilan seumpamanya untuk minyak sawit mereka.


9. Bagi membantu penggiat-penggiat industri hiliran minyak sawit Malaysia yang berhasrat memperkukuh keberadaan mereka di pasaran luar negara, saya suka untuk memaklumkan bahawa
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menggerakkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit bagi meningkatkan kesedaran mengenai kualiti tinggi minyak sawit kita dalam memerangi maklumatmaklumat salah yang dilemparkan terhadap minyak ‘emas’ negara.


10. Kementerian sentiasa komited dalam memperkasa agenda sektor Agrikomoditi dari masa ke semasa, terutamanya sektor sawit supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
CARETAKER KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI
12 OKTOBER 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MELALUI AGENSI
PERKASA BANTUAN PASCA PANDEMIK COVID-19 KEPADA GOLONGAN ASNAF


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Getah Malaysia (MRC) meraikan seramai 300 orang daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal , warga emas dan ahli kariah masjid dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang, hari ini.


2. Hadir sama adalah Pengerusi Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sallehuddin Othman; Tuan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Yang Berusaha Tuan Mohd Fauzi; Pengerusi MRC, YB Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, En. Nor Hizwan Ahmad.


3. Majlis ini disempurnakan Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000.00 daripada MRC kepada Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, dan dua buah lagi surau di bawah pentadbiran masjid tersebut iaitu Surau Ihsaniah, Ampang Jaya dan Surau Ubudiah, Jalan 4M, Ampang Jaya.


4. Menerusi sumbangan ini, Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang akan menerima pembahagian sumbangan sebanyak RM10,000.00 manakala Surau Insaniah dan Surau Ubudiah masing masing akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00. Program yang julung kali diadakan oleh Kementerian akan diteruskan di beberapa lokasi lain selepas ini, sebagai antara langkah membantu golongan terkesan.


5. Menurut YB Datuk Hajah Zuraida, Ramadan kali ini lebih meriah apabila negara kini memasuk fasa peralihan endemik selepas lebih dua tahun menjalani fasa pandemik. Bahkan, tentunya pelbagai persiapan menyambut Syawal sedang dilakukan, namun disebalik kemeriahan itu masih terdapat segelintir pihak yang kurang bernasib baik, terjejas akibat Covid-19 dan wajar diberi perhatian.


6. Agensi dan majlis di bawah KPPK serta pemain industri dialu-alukan untuk turut mengambil peluang bersempena di bulan mulia ini bagi bersama menjalankan tanggungjawab sosial korporat memastikan kemakmuran bersama.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
13 APRIL 2022