AFGHANISTAN BUKA LALUAN IMPORT MINYAK SAWIT MALAYSIA, BAKAL JADI ‘GERBANG EMAS’ PASARAN ASIA TENGAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali pada 8 April 2021 menerima kunjungan hormat daripada Duta Republik Islam Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr. Mohib Rahman Spingar. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir. Mengiringi Dr Mohib ialah Ketua Kanselor, Abdul Mueen Shahid dan Penasihat Kedutaan, Naseem Khanam.
2. Dalam kunjungan hormat tersebut, Afghanistan dan Malaysia menyambut baik cadangan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia selain kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka potensi dalam usaha mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia secara langsung ke Afghanistan yang pada masa ini sebanyak 75,000 tan setahun kepada 150,000 tan setahun.
3. Persefahaman itu sekali gus membuka lembaran baharu kepada sawit Malaysia untuk dipasarkan ke Asia Tengah dengan Afghanistan sebagai laluan pintu masuk atau 'gerbang emas' ke negara-negara lain di rantau berkenaan seperti Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan sehingga ke Kazakhstan serta lain-lain negara melalui Pelabuhan Chabahar di Iran seperti yang dihasratkan oleh YB Menteri iaitu untuk meneroka pasaran baharu sawit ke rantau berkenaan.
4. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi untuk menjadi Afghanistan sebagai pintu masuk eksport agrikomoditi Malaysia yang lain iaitu seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut tidak lama lagi.
5. KPPK percaya persefahaman ini dicapai kerana dunia yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia yang premium dan sekaligus menunjukkan tindakan Sri Lanka yang menyekat import bahan mentah komoditi itu baru-baru ini tidak akan menjejaskan pasaran sawit negara malah akan membuka lebih banyak pasaran baharu di rantau yang lain.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 10 April 2021
KPPK, KERAJAAN NEGERI SABAH SEPAKAT PERKASAKAN INDUSTRI AGRIKOMODITI PERINGKAT HULUAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali 5 April 2021 lalu melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di pejabat beliau di Kota Kinabalu, Sabah. Kunjungan tersebut adalah rangka kerja bagi memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
2. Di dalam perbincangan yang berlangsung lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mencapai beberapa kesepakatan bagi memaju dan memperkasakan sektor agrikomoditi di Sabah khususnya di peringkat huluan. Kerjasama yang bakal dijalinkan ini melibatkan empat sektor agrikomoditi iaitu buluh, koko, getah dan sawit.
3. Dalam sektor buluh, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Peranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ialah memadankan dengan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi itu nanti.
4. KPPK dan Kerajaan Kegeri juga berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pengeluar koko yang unggul. Justeru, suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak bagi meningkatkan dan saiz ladang koko. Usaha ini dijangka dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka lebih-plebih lagi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.
5. Persetujuan konsensus turut dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip. Ini bersesuaian dengaan Sabah yang mempunyai ramai pekebun getah.
6. Persefahaman yang dipersetujui seterusnya adalah dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). Beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo. Ia bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti-aktiviti baharu yang berterusan.
7. KPPK berharap kerjasama erat yang dijalinkan dengan Kerajaan Negeri Sabah ini, bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 10 April 2021
KEBENARAN OPERASI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI SEPANJANG PKP, DARURAT JAMINAN PEMULIHAN EKONOMI SERTA BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari 2021, akan memantau seterusnya memastikan semua aktiviti sektor perladangan dan komoditi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
2. KPPK juga menyambut baik perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan pandemik COVID-19.
3. Kerajaan juga telah membenarkan lima sektor ekonomi perlu termasuk perladangan dan komoditi beroperasi dalam tempoh PKP tersebut. Ia merangkumi semua aktiviti pengeluaran agrikomoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan termasuk sektor perabot, koko, lada, kenaf dan biodiesel serta rantaiannya bagi ladang dan pekebun kecil, dagangan, input pertanian, kilang pemprosesan di samping pensijilan. Aktiviti-aktiviti ini juga dibenarkan untuk terus beroperasi dalam tempoh darurat.
4. Keputusan Kerajaan itu adalah amat wajar bagi memastikan sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil agrikomoditi tidak terjejas, menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara serta memastikan rakyat terus mendapat akses barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.
5. Walau bagaimanapun semua peladang, pengilang dan syarikat yang beroperasi sepanjang tempoh PKP dan darurat perlu mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan yang boleh dirujuk di laman web KPPK demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
6. Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi, KPPK berharap semua pihak dalam sektor ini yang dibenarkan beroperasi, dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 14 Januari 2021
KPPK SUMBANG 230 TILAM BERASASKAN KENAF BERNILAI RM40,000 DALAM MISI BANTUAN PRIHATIN BANJIR DI TEMERLOH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini meneruskan Misi Bantuan PrihatinMangsa Banjir Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di kawasan yang antara terjejas teruk iaitu Temerloh. Berdasarkan Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), data sehingga jam 5 petang hari ini menunjukkan, sebanyak 117 keluarga dengan 392 mangsa masih berada di sembilan Pusat Pemindahaan Sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan daripada jumlah 1,775 keluarga dan 6,148 mangsa di seluruh Pahang.
2. Sumbangan pada misi kali ini yang diketuai YB Menteri sendiri, membabitkan sumbangan sebanyak 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf bernilai hampir RM40,000 selain barangan keperluan lain kepada 230 keluarga yang terjejas di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh, Pahang. Tilam kenaf berkenaan adalah sumbangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam usaha mempromosikan barangan kenaf sebagai salah satu produk komoditi yang mempunyai masa hadapan yang baik. Kesemua sumbangan disampaikan oleh YB Menteri pada majlis ringkas di PASTI Darul Ansar, Lanchang. Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh.
3. KPPK dan agensi-agensi di bawahnya termasuk Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), LKTN, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk bantuan kepada mangsa bah besar kali ini yang sebahagian besar mereka, adalah dalam kalangan petani dan pekebun kecil getah serta sawit. Sebanyak empat misi sudah disempurnakan sebelum ini iaitu di Raub, Chenor, Kemaman di Terengganu dan Kluang di Johor sepanjang minggu lalu.
4. Misi kemanusiaan KPPK ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha Kementerian membantu rakyat yang ketika ini ditimpa musibah di negeri-negeri yang terjejas. Kementerian turut merancang untuk melancarkan misi bantuan pasca banjir apabila semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masingmasing sebaik sahaja dibenarkan oleh pihak berkuasa.
5. Marilah sama-sama kita berdoa supaya Allah SWT segera mengakhirkan segala musibah dan bencana yang sedang dihadapi oleh negara kita termasuk pandemik COVID-19 agar segala perancangan untuk meningkatkan dan memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakya dapat dilaksanakan dengan baik.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Temerloh 15 Januari 2021
KERAJAAN MALAYSIA KOMITED PASTIKAN TOP GLOVE SENTIASA MEMATUHI PERATURAN ILO BERKAITAN BURUH PAKSA
1. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian tindakan terkini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.
2. Dakwaan yang dibangkitkan oleh CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove. KPPK dimaklumkan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil oleh pengurusan Top Glove untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.
3. Antara langkah yang diambil oleh syarikat berkenaan ialah mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac 2021 untuk dinilai. Di samping itu, syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan oleh pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera. Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac 2021 mengesahkan, bahawa tidak ada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.
4. KPPK turut dimaklumkan pada tahun lalu, syarikat berkenaan telah membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar zero cost recruitment dan social compliance audit yang dilaksanakan oleh syarikat sejak 2019.
5. Amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia Prihatin termasuk oleh KPPK di semua sektor agrikomoditi kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja, sekali gus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.
6. Komitmen Malaysia itu dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil ILO selama dua tahun bermula pada 2018.
7. KPPK melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan memperingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan bersama.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 2 April 2021