SIARAN MEDIA 2021

si

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

MSPO MAMPU TINGKATKAN KUALITI KEMAMPANAN
INDUSTRI SAWIT CHINA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini merasmikan Forum Minyak Sawit Mampan Malaysia-China secara maya yang diadakan di Chongqing, China. Forum bertemakan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) - “Sinergi ke Arah Persekitaran, Sosial dan Ekonomi yang Lebih Baik” adalah bertujuan untuk menggalakkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama dalam penerimaan MSPO di Negara Tembok Besar. Ia adalah medan untuk membincangkan kerjasama pemimpin dan penggiat industri China dalam pembangunan mampan industri sawit yang dihadiri oleh lebih 150 penggiat industri minyak dan lemak negara tersebut.

2. Sokongan dan penerimaan MSPO, membolehkan industri minyak sawit China meningkatkan imej korporat di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan merealisasikan Dasar Hijau Negara China. MSPO akan membantu memaparkan imej positif para pengeluar negara berkenaan menyokong usaha Malaysia meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit serta melengkapkan matlamat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China bagi mencapai pembangunan sosioekonomi di kedua-dua buah negara.

3. Industri agrikomoditi terutamanya minyak sawit, adalah salah satu tonggak utama ekonomi Malaysia. Sektor sawit telah banyak menyumbang kepada pendapatan eksport yang berterusan melalui agrikomoditi mentah dan produk bernilai tambah ke pasaran global. Pada tahun 2020, minyak sawit telah menyumbang sebanyak AS$18.3 bilion (RM73.3 bilion) manakala sehingga Ogos 2021, subsektor ini mencatatkan sebanyak RM63.7 bilion.

4. Kerajaan Malaysia telah memberi mandat kepada MSPO pada tahun 2020 dengan matlamat untuk meningkatkan pembangunan mampan industri sawit negara. Melalui skim pensijilan ini, Malaysia berhasrat untuk membasmi kemiskinan dengan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit dan Orang Asli, menggalakkan perlindungan alam sekitar serta meningkatkan ekonomi. Dengan Dasar Hijau Negara China dan ‘Dual Carbon Goals’ yang diperkenalkan pada awal tahun ini, China menjangkakan permintaan yang lebih besar untuk MSPO dan produk mesra alam pada tahun-tahun akan datang.

5. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah menggiatkan pelbagai usaha sama dengan China seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara MPOB dan Universiti Tsinghua bagi pelaksanaan biodiesel di China serta kerjasama dengan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China untuk mempromosi MSPO.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
18 Oktober 2021