SIARAN MEDIA 2021

si

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI LADA TERUS KUKUH MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN EKONOMI LUAR BANDAR

1. Sektor agrikomoditi lada adalah subsektor agrikomoditi yang berpotensi besar dan mesti terus dibangunkan bagi memberi manfaat khususnya kepada pekebun kecil meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.


2. Lawatan kerja sehari oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) hari ini adalah bertujuan untuk memastikan dasar dan hala tuju subsektor ini terus berada pada landasannya iaitu sebagai penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi luar bandar membabitkan seramai 36,689 pekebun kecil dengan 7,718 hektar keluasan tanaman di seluruh negara terutamanya di Sarawak.


3. Kerjasama serantau harus diteroka berikutan senario industri lada di peringkat global memperlihatkan trend positif berdasarkan harga lada di pasaran semasa serta permintaan dan penawaran yang berpotensi besar untuk berkembang maju.


4. Pada masa yang sama, MPB juga mengorak langkah dengan mewujudkan aktiviti kawal selia pasaran yang bertujuan untuk memastikan perniagaan lada dijalankan mengikut undang-undang serta memastikan jaminan terhadap kualiti produknya yang dieksport mematuhi gred yang dipersetujui untuk memelihara prestij dan reputasi lada Malaysia agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.


5. Selain itu, penubuhan anak syarikat Saraspice Sdn. Bhd. yang bakal beroperasi sepenuhnya Oktober 2021 dapat memperkukuhkan lagi kedudukan sektor industri lada di pelbagai peringkat dengan menjadi pembekal unggul lada Sarawak yang berkualiti tinggi dan lestari kepada pelanggan di seluruh dunia serta lebih berdaya saing dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.


6. Justeru dengan pelbagai perkembangan positif ini termasuk trend kenaikan harga lada dunia sejak tahun lalu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap ia akan terus berkembang kukuh di Malaysia.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching
8 September2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SYARIKAT INDUSTRI PERKAYUAN BERJAYA JIMAT RM89.6 JUTA MELALUI PELAKSANAAN FACTORY TRANSFORMATION PROGRAMME SEJAK 2014

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), SIRIM STS Sdn. Bhd. dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bagi pelaksanaan Factory Transformation Programme (FTP). MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani; Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS Sdn Bhd, Raja Yahya Raja Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili.

2. Jalinan persefahaman ini bertujuan memperkasakan pembangunan industri perkayuan di Malaysia melalui penggunaan teknologi automasi dan inovasi berkaitan Industri 4.0, dengan penyediaan insentif bagi menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi.

3. FTP bertujuan untuk menyokong dan membantu industri itu khususnya syarikat-syarikat terlibat menjalankan penilaian serta kajian diagnostik kilang untuk mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui aplikasi alat dan teknik Green 5S dan pengurusan Lean. Tempoh pelaksanaan projek adalah selama setahun dan sejumlah RM1.4 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

4. Penganjuran program Pengurusan Lean dan Green 5S oleh MTIB sejak tahun 2014 telah memberi manfaat kepada 171 buah syarikat dan sejumlah RM89.6 juta penjimatan telah dihasilkan. Pada tahun 2021, MTIB akan meneruskan aktiviti ini dan akan menerbitkan satu buku rujukan yang berjudul ‘Aplikasi Lean dalam Industri Perkayuan’.

5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MTIB selaku peneraju utama bagi program-program automasi, mekanisasi, digitalisasi dalam industri perkayuan negara, berperanan sebagai penyelaras keseluruhan pelaksanaan FTP. Para peserta program ini terdiri daripada syarikat-syarikat perkayuan yang dipilih berdasarkan kepada konsep first come, first serve basis serta memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Sebanyak 14 buah syarikat telah terpilih untuk menyertai program ini dan kebanyakannya adalah dari sektor industri perabot.

6. Kementerian dan MTIB akan terus proaktif dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan industri perkayuan melalui adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi yang kompetitif dan cekap.

KEMENTERIAN PERUSAHAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 April 2021

 

Jata

MPOC DAN BURSA KOMODITI IZMIR METERAI MEMORANDUM
PERSEFAHAMAN PERTINGKATKAN PROMOSI DAN MAKLUMAT
SAWIT MALAYSIA DI TURKI

KENYATAAN MEDIA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menyaksikan pemeteraian
memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Komoditi Izmir di Izmir, Turki.


2. Melalui memorandum persefahaman ini, Bursa Komoditi Izmir yang diasaskan pada tahun 1891 melalui cabang pendidikannya, Akademi Bursa Izmir (IBA) akan menjalinkan kerjasama dengan MPOC dalam bidang pendidikan, promosi dan penggunaan minyak sawit Malaysia serta Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).


3. MPOC dan IBA sepakat untuk berkolaborasi melalui pelbagai projek merangkumi perkongsian maklumat perniagaan dan teknikal,
peningkatan kesedaran, pensijilan dan aktiviti promosi bersama. Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik yang mampu meningkatkan pembangunan industri sawit Malaysia dan penguasaan pasaran.


4. Selain itu, IBA bersetuju untuk menyelaraskan biasiswa kepada wakil, pelajar dan ahli akademik untuk latihan di bawah kajian lapangan IBA dan Malaysia. IBA juga akan membantu MPOC untuk melaksanakan kempen penerangan kepada rakyat Turki berjumlah 80 juta orang mengenai faedah pemakanan dan kesihatan minyak sawit Malaysia selain meningkatkan pemahaman serta menjelaskan kelebihan khasiatnya.


5. Persetujuan persefahaman turut dicapai untuk merancakkan lagi Program Kesedaran Perdagangan Minyak Sawit (POTAP) antara kedua-dua pihak untuk memberikan pemahaman yang lebih baik  mengenai industri minyak sawit Malaysia dan faedahnya. Kedua-dua agensi akan memperincikan program berkenaan melalui perjanjian berasingan yang akan diteliti dan ditentukan kemudian.


6. Pada majlis berkenaan, MPOC diwakili Pengurus Pembangunan Pasaran dan Pemasaran Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala Bursa Komoditi Izmir diwakili Presiden Lembaga Eksekutif, Isinsu Kestelli. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Turki TYT Sazali Mustafa Kamal dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli.


7. Malaysia dan Turki menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada tahun 2015. Eksport minyak sawit Malaysia meningkat kepada lebih dari 600,000 tan setiap tahun berbanding sebelum FTA iaitu kurang 100,000 tan setahun. Pada tahun 2020, Turki mengimport 615,872 tan minyak sawit Malaysia iaitu lebih 90 peratus daripada jumlah import minyak sawit Turki.


8. KPPK berharap melalui memorandum ini, manfaat dan kefahaman minyak sawit negara dapat dipertingkatkan ke Turki seterusnya
 menjadi gerbang kepada eksport produk-produk sawit Malaysia ke Eropah.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Izmir, Turki
9 Julai 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PRESTASI PERDAGANGAN SEKTOR AGRIKOMODITI
JANUARI-APRIL 2021 KEKAL POSITIF

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memaklumkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021. Secara keseluruhan, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM88.3 bilion iaitu meningkat sebanyak RM34.2 bilion. Manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM48 bilion.

2. Pendapatan eksport produk agrikomoditi merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh empat bulan tersebut.

3. Produk berasaskan getah merupakan penyumbang terbesar bagi eksport agrikomoditi dengan sumbangan sebanyak 43.9 peratus. Sektor ini terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh lonjakan nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan dua kali ganda iaitu sebanyak 257.6 peratus kepada RM24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion tempoh sama pada tahun 2020.

4. Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12.8 peratus kepada 349,100 tan berbanding 309,400 tan bagi tempoh yang sama pada 2020. Peningkatan ketara eksport produk berasaskan getah adalah didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia.

5. Produk berasaskan sawit yang merupakan 40.6 peratus daripada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion pada tahun ini. Namun, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbeza pada tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama iaitu 7.6 juta tan.

6. Produk berasaskan kayu-kayan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan sebanyak 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi. Sepanjang tempoh Januari hingga April 2021, nilai eksport adalah sebanyak RM8.3 bilion iaitu mencatatkan peningkatan 29.2 peratus.

7. Pendapatan eksport bagi produk koko dan lada masing-masing mencatatkan peningkatan. Pada tahun ini, nilai eksport produk koko adalah RM2.2 bilion dengan peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala, nilai eksport produk lada bagi tempoh berkenaan juga adalah RM42.1 juta iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun 2020.

8. Berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021, Kementerian yakin prestasi perdagangan ini akan kekal positif untuk sepanjang baki tahun 2021. KPPK juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh Kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+ akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri Agrikomoditi negara.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
9 Jun 2021

 

                                                                                                                                           Jata           

KENYATAAN MEDIA

KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021 TAWAR LEBIH 8,600 JAWATAN KOSONG DALAM SEKTOR KOMODITI

1. Lebih 8,600 jawatan kosong daripada 26 majikan sektor perladangan dan industri komoditi ditawarkan pada Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang bermula hari ini. Seramai 3,000 peserta warga tempatan termasuk para siswazah dan komuniti Orang Asli dijangka mengambil bahagian dalam karnival dua hari ini.

2. Karnival anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dirasmikan secara maya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan. Majlis perasmiannya boleh ditonton melalui pautan https://bit.ly/3rguSgY.

3. Bagi pencari kerja, pendaftaran untuk menyertai Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 boleh dilakukan menerusi pautan https://careerfair.perkeso.gov.my. Selain daripada sesi temuduga secara maya, program taklimat tentang PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar Peluang Kerjaya Di Sektor Agrikomoditi turut diadakan.

4. Sejak Januari 2020, Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs telah mengumpul sebanyak 1,027,099 kekosongan jawatan dan dalam tempoh tersebut, sejumlah 187,251 individu telah berjaya mendapat pekerjaan menerusinya.

5. Program PenjanaKerjaya 2.0 yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, menawarkan insentif bulanan sebanyak RM500 hingga RM2,000 di bawah kategori ‘Malaysianization’ kepada pekerja tempatan yang mengisi kekosongan jawatan yang selalunya disandang oleh pekerja asing.

6. Bagi kategori tersebut, majikan layak menerima insentif sebanyak 40 peratus daripada gaji bulanan pekerja, dengan nilai maksimum yang akan diterima adalah RM4,000. Pekerja dan majikan dalam kategori ini akan menerima insentif untuk tempoh enam bulan. Selain itu, pekerja juga layak menerima Bantuan Mobiliti sebanyak RM500 atau RM1,000 secara one-off.

7. Semua pihak terutamanya golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia adalah dijemput untuk menyertai karnival kerjaya ini bagi merebut peluang pekerjaan selain meneroka bidang baharu berikutan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 di sektor agrikomoditi dan seterusnya membantu merealisasikan usaha Kerajaan untuk mengatasi isu pengangguran negara.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI &
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Putrajaya
9 Mac 2021