SIARAN MEDIA 2021

si

 Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI PEMBUATAN COKLAT TARIKAN TERBAHARU SEKTOR PELANCONGAN MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan (KAPUCBT), Melaka anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM). Kursus yang akan diadakan pada 7-8 April 2021, melibatkan penyertaan seramai 24 peserta.

2. Kursus ini adalah salah satu aktiviti di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat yang telah diperkenalkan oleh LKM. Tujuan program berkenaan adalah untuk melahirkan usahawan coklat tempatan melalui latihan kemahiran pembuatan coklat, pemberian insentif peralatan dan mesin, khidmat nasihat pembangunan perniagaan serta sokongan promosi produk usahawan.

3. Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Ia merangkumi komponen pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, pembangunan usahawan baru, menaik taraf usahawan sedia ada, khidmat nasihat teknikal, pemantauan prestasi usahawan-usahawan dan pelbagai komponen lain.

4. Pada tahun 2020, usahawan baru coklat dan konfeksi koko di bawah bimbingan LKM telah berjaya menjana pendapatan pengusaha sebanyak RM5.81 juta. Walaupun jumlah ini tidak begitu besar tetapi ia sudah cukup memberi inspirasi dan semangat kepada usahawan baharu yang pastinya akan terus memajukan industri coklat tempatan. Bagi negeri Melaka, seramai enam usahawan coklat buatan tangan telah berjaya dibangunkan.

5. Melaka mempunyai potensi untuk tanaman koko bagi menghasilkan ‘Malacca Single Origin Beans’ iaitu bagi penghasilan coklat dengan perisa yang unik. Industri penanaman koko di Melaka pada masa ini meliputi kawasan seluas 11 hektar yang diusahakan oleh petani di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin. Antara pengusaha yang berjaya mengeluarkan biji koko ‘Single Origin of Malacca’ dengan harga premium adalah Ting Agro Enterprise. Pada tahun 2020, pengeluaran biji koko kering dari pengusaha ini mencecah 1,300 kg setiap hektar.

6. Sempena majlis perasmian, turut dilancarkan Kiosk Coklat Havlava di Hotel LaCrista yang akan beroperasi sebagai pusat sehenti produk koko bagi mempromosikan produk-produk berasaskan koko seperti coklat, konfeksi koko, minuman koko dan aiskrim koko. Inisiatif ini akan menjadi salah satu destinasi dan tumpuan pelancong ke Melaka.

7. Selain itu, Kempen Minum Koko juga diperkenalkan oleh YB Menteri. Ini kerana minuman koko mempunyai khasiat tersendiri dengan antioksida atau antipenuaan yang tinggi selain berkualiti dengan kandungan flavanoids yang baik untuk peredaran darah.

8. Menjadi hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melahirkan lebih ramai usahawan industri hiliran koko ini khususnya dalam pembuatan penghasilan coklat yang sekali gus dapat merancakkan lagi industri pelancongan tempatan seperti di Melaka ini yang merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Melaka
6 April 2021

06062021 01

06062021 02

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI AGRIKOMODITI DI PERINGKAT HULUAN
DAN HILIRAN SEKTOR LADA TERUS DIPERKASA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melakukan lawatan kerja ke Johor bagi meninjau kemajuan industri lada peringkat huluan serta hiliran di FELDA Inas Utara, Kulai dan di Taman Universiti Skudai, Johor Darul Takzim.

2. Di FELDA Inas Utara, beliau menyampaikan bantuan Skim Tanaman Baharu Lada (STBL) kepada 23 penerima yang merupakan pekebun Komuniti Lada FELDA Inas. Terdahulu YB Menteri menyerahkan dua mesin pemprosesan lada di bawah Skim Pembiayaan Pembangunaan Pemasaran Lembaga Lada Malaysia (MPB) kepada syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn Bhd dan Herba Bagus Sdn Bhd yang merupakan usahawan hiliran bimbingan MPB.

3. Beliau turut melancarkan produk terbaharu keluaran syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn. Bhd iaitu Black Pepper Seasoning Mix di kilang milik syarikat berkenaan di Taman Universiti Skudai, Johor Program Lawatan ke Kebun Lada dan Usahawan Hiliran Lada di Johor itu.

4. Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40.7 juta bagi pemberian bantuan STBL di seluruh negara. Daripada jumlah berkenaan, seramai 270 penerima dari Semenanjung telah memperoleh manfaat daripada skim bantuan tersebut dengan jumlah keluasan tanaman 42.5 hektar.

5. MPB juga telah mengagihkan sejumlah 34 unit mesin kepada 15 usahawan di seluruh negara bernilai RM275,100 sepanjang tempoh RMK-11. Selain itu, seramai 160 usahawan telah menyertai dan mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Usahawan yang dilaksanakan oleh MPB selari dengan usaha Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan lada pada masa hadapan.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan MPB berperanan merencana program-program pembangunan industri huluan serta hiliran lada. Ia dilaksanakan melalui penyaluran insentif-insentif bukan sahaja bertujuan membantu para pekebun kecil lada, tetapi juga untuk memperkasakan industri komoditi itu secara keseluruhannya agar setiap golongan sasaran akan menikmati manfaat daripada program tersebut.

7. Justeru, dalam usaha memperkasakan industri lada, semua pekebun kecil lada di seluruh Malaysia diseru untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan melalui MPB. Potensi industri agrikomoditi lada perlu diteroka dengan menceburi sektor hiliran lada sebagai aktiviti perniagaan baru.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kulai, Johor
7 Februari 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SKIM LATIHAN AGRIKOMODITI MAHIR (SLAM) SEKTOR PERKAYUAN BANTU SELESAI ISU TENAGA
KERJA INDUSTRI PERABOT

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) bagi pelaksanaan Program Skim Latihan Agrikomoditi Mahir (SLAM) Sektor Perkayuan yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan modal insan sektor perkayuan negara.

2. Industri agrikomoditi khususnya operasi kilang sektor perabot banyak bergantung kepada pekerja asing. Sektor ini berdepan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan tenaga kerja sejak dunia dilanda pandemik COVID-19. Justeru, Kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan sektor perabot terhadap pekerja asing.

3. SLAM dilaksanakan secara usahasama antara MTIB dan MFC iaitu melalui program latihan kemahiran yang menfokuskan kepada industri di lapangan. Jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ini. Sasaran program ini ialah bagi melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia tempatan yang berkemahiran menerusi modul yang dibangunkan secara rekaan khusus mengikut keperluan pihak industri. Bermula tahun 2021, seramai 500 belia tempatan yang berkemahiran akan dilahirkan menjelang tahun 2023 dan sejumlah RM750,000 akan diperuntukkan bagi keseluruhan program ini.

4. Modul latihan ini dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan yang melibatkan 30 peratus latihan secara teori dan 70 peratus latihan secara On Job Training (OJT) di kilang-kilang. Pelatih disediakan insentif latihan meliputi makan minum, penginapan, pengangkutan dan insuran secara percuma termasuk elaun bernilai RM500 sebulan.

5. Program SLAM Sektor Perkayuan ini diharap mampu menarik minat golongan belia dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran di seluruh negara untuk bekerja dalam sektor perkayuan. Manfaat kerjasama di antara MTIB dan MFC ialah dari segi pembangunan modal insan tempatan berkemahiran dalam industri perabot. MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) juga mempunyai kemudahan yang lengkap bertaraf Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memberi latihan dalam bidang perkayuan dan pembuatan perabot. Pelbagai latihan kemahiran berasaskan kayu dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan pembangunan modal insan yang sekali gus menyokong pertumbuhan sektor industri perkayuan di Malaysia.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus giat melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan bagi membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja industri perkayuan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baru kepada belia-belia tempatan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
7 Jun 2021
Putrajaya

 

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI CATAT PENDAPATAN EKSPORT RM68 BILION PADA JANUARI-APRIL 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Webinar Kenaf Siri 1/2021 bertajuk Hala Tuju Industri Kenaf. Program ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

2. Webinar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kumpulan sasar yang terlibat berkaitan perkembangan semasa industri kenaf, hala tuju industri selaras dengan dasar-dasar sedia ada seperti Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK), Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dan lain-lain lagi.

3. Selain itu, program-program pembangunan kenaf yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia di samping inisiatif berterusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi memperkasa sektor ini melalui Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 juga turut dikongsikan dalam webinar ini.

4. Sektor agrikomoditi mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari sehingga April 2021. Nilai eksport komoditi turut mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan dengan peningkatan sebanyak 66.5 peratus berbanding 40.9 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

5. Dalam usaha menyokong pembangunan industri kenaf, Kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif kepada kumpulan sasar yang terlibat. Antaranya ialah insentif tanaman, bantuan sokongan bahan mentah, fasiliti dan teknologi pemprosesan, khidmat nasihat dan sebagainya.

6. Dianggarkan seramai 500 peserta menyertai webinar ini dari pelbagai sektor seperti agensi awam dan swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, persatuan, pemain industri serta usahawan kenaf. LKTN juga merancang untuk mengadakan dua sesi webinar dalam masa terdekat dengan memberi tumpuan kepada penemuan hasil penyelidikan dan inovasi oleh institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan serta usahawan kenaf yang terlibat dalam pembangunan produk kenaf.

7. Selaras dengan matlamat Kementerian ini untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu, usaha konsisten akan terus dilaksanakan agar permintaan produk berasaskan kenaf yang mempunyai nilai tambah tinggi dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri termasuklah pembinaan, biokomposit, dan lain-lain lagi.

8. Kementerian melalui LKTN akan terus memastikan program-program yang berkaitan dengan pembangunan industri dan modal insan seperti webinar ini terus diadakan secara berterusan. Ia penting agar aspirasi Kerajaan dalam memastikan industri kenaf terus berkembang pesat walaupun dalam situasi mencabar penularan pandemik COVID-19 dapat diteruskan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
8 Julai 2021