SIARAN MEDIA 2021

si

Jata

KENYATAAN MEDIA
BAJET 2022: INISIATIF SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS
DIPERKUKUH DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato ’Sri Zafrul Abdul Aziz, di atas pembentangan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera ’di Dewan Rakyat hari ini.


2. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepercayaan dengan peruntukan yang telah diberikan bagi memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen Kementerian tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara untuk memulihkan kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan terutamanya membina semula kehidupan pasca Covid19.


3. Secara keseluruhan, sebanyak RM671 juta iaitu RM417.5 juta untuk perbelanjaan mengurus kementerian dan RM254 juta perbelanjaan pembangunan diperuntukkan kepada KPPK di bawah Bajet 2022. Walaupun jumlah ini menurun sebanyak 7.95 peratus berbanding peruntukan tahun 2021, namun Kementerian percaya bahawa ia menunjukkan keyakinan Kerajaan ke atas harga komoditi yang lebih stabil sepanjang tahun 2022.


4. Bajet 2022 memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut:

(i) melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara untuk
menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil bagi memproses getah sekerap ke getah krip;


(ii) meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil B40 dengan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan;


(iii) memperuntukkan RM35 juta bagi Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil;


(iv) RM20 juta untuk usaha menangani kempen antiminyak sawit di peringkat antarabangsa; dan


(v) menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit daripada RM2,500 kepada RM3,000 (Semenanjung) dan RM3,000 kepada RM3,500 (Sabah dan Sarawak). Kadar levi Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada tiga (3) peratus seperti kadar di Semenanjung.


5. Tahun 2022 bakal penuh dengan cabaran, namun KPPK akan terus gigih mendepaninya demi membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
30 Oktober 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA
PEROLEHAN EKSPORT COKLAT NEGARA MENINGKAT
KEPADA RM650 JUTA JANUARI-OGOS 2022


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Nilai, Negeri Sembilan, bertujuan meninjau pembangunan aktiviti penyelidikan hiliran koko yang dijalankan di pusat itu. Terdahulu, beliau turut melawat kilang pembuatan coklat dan konfeksi, Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd di Sri Kembangan, Selangor.


2. Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Nilai adalah pusat bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) hiliran serta bioteknologi, perkhidmatan analisis biji dan produk koko, pembangunan usahawan coklat buatan tangan. Selain itu, pusat inovasi tersebut turut mengeluarkan blok coklat dan produk coklat berjenama Chocolate Royale selain menempatkan unit pelesenan dan kawalan kualiti koko.


3. Antara penyelidikan hiliran koko yang sedang dilaksanakan oleh LKM adalah penghasilan produk ais krim lemak, kajian perisa, bahan wangian, tablet minuman, kajian mengenai keselamatan produk dan produk penjagaan diri. Pada tahun ini, produk kosmetik berasaskan koko (compact powder, BB Cushion dan Liquid Foundation) telah berjaya ke tahap prakomersial. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Makmal Khidmat Analisis LKM juga telah diakreditasi berdasarkan standard ISO/IEC 17025:2017.


4. Sementara lawatan YB Menteri ke Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd adalah untuk melihat proses pembuatan produk akhir koko dan coklat. Syarikat ini adalah antara pengilang coklat dan konfeksi terbesar negara. Pembuatan coklat menyumbang kepada sektor hiliran industri koko bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, perolehan eksport coklat juga telah meningkat sebanyak 11 peratus iaitu RM649.9 juta berbanding RM585.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.


5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus berusaha bagi memastikan subsektor koko dan industri coklat negara terus berkembang dengan pesat selain perancangan menjadikan negara ini hab coklat bakal menjadi kenyataan.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Nilai, Negeri Sembilan
30 Oktober 2021

 Jata

KENYATAAN MEDIA

WTO TUBUH PANEL TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS KESATUAN EROPAH BERIKUTAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Body (DSB) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersidang pada 28 Mei 2021.

2. DSB dalam mesyuaratnya telah bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).

3. Terdahulu, permohonan pertama bagi penubuhan panel ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021. Namun begitu, permohonan tersebut tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO.

4. Permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO. Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac 2021 lalu.

5. Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari 2021. Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.

6. Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit. Malaysia melalui KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara.

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
31 Mei 2021

 Jata

PEJABAT MENTERI


KENYATAAN MEDIA
PEMAKLUMAN PELANTIKAN PENGERUSI MPOB DAN LGM

1. Adalah dimaklumkan bahawa YB Dato' Ahmad Nazlan Idris telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 15 April 2021 menggantikan YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang telah meletakkan jawatan.

2. Bagaimanapun berikutan kenyataan media YB Dato' Ahmad Nazlan yang menolak jawatan pelantikan sebagai Pengerusi MPOB, calon baharu bagi jawatan tersebut akan ditentukan semula oleh YB Menteri. Justeru, bagi melancarkan pentadbiran dan pengurusan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB untuk terus mengelola Lembaga itu.

3. Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa perkhidmatan YB Dato’ Ahmad Nazlan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah ditamatkan pada 14 April 2021 dan YM Raja Dato Idris Raja Kamaruddin dilantik menjadi Pengerusi LGM berkuat kuasa pada 15 April 2021.

4. Sebagai tokoh korporat, antara mandat utama yang diamanahkan oleh Menteri kepada YM Raja Dato Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun yang lalu dan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.

5. Selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, diharapkan pelantikan beliau bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan oleh YB Menteri kepada semua Pengurusan Tertinggi KPPK serta agensi dibawahnya.

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
5 JUN 2021

   Jata

KENYATAAN MEDIA

KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021 SASARKAN

3,000 PENCARI KERJA

  1. Dalam usaha menarik lebih ramai rakyat negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan yang baik, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan menganjurkan Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 secara maya dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 9 dan 10 Mac 2021. Karnival kerjaya ini menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dalam kalangan warga tempatan dan komuniti Orang Asli dengan menawarkan sebanyak lebih dari 1,000 kekosongan jawatan di sektor perladangan dan industri komoditi.
  1. Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 ini akan dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan pada 9 Mac 2021 (Selasa) jam 9 pagi yang boleh ditonton melalui pautan https://bit.ly/3rguSgY manakala pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my. Selain sesi temuduga secara maya, sesi taklimat berhubung Penjana Kerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’ akan turut diadakan.
  1. Semua pihak terutamanya golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia adalah dijemput untuk menyertai karnival kerjaya ini bagi merebut peluang pekerjaan di sektor agrikomoditi serta dapat merealisasikan usaha Kerajaan dalam menangani isu pengangguran di negara ini.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Putrajaya
5 Mac 2021