MPB PERKENAL APLIKASI LADAGO BANTU PEKEBUN KECIL PANTAU PENYAKIT, TINGKAT PENGELUARAN LADA ¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin hari ini melancarkan aplikasi LadaGO dan Permohonan Bantuan Secara Dalam Talian (PBSO) oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) sempena Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 di Betong, Sarawak. 2. Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 melibatkan penyertaan semua Agensi serta Majlis di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi subsektor sawit, getah, koko dan lada yang dijadualkan diadakan di seluruh negara. 3. Aplikasi LadaGO merupakan satu inisiatif untuk membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada. Ia akan menjadi saluran pengesanan awal masalah berkenaan bagi memastikan pengeluaran agrikomoditi itu yang mampan di samping mampu menjimatkan kos dan masa dalam perihal berkaitan pengurusan penyakit. 4. Aplikasi LadaGO ini dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Sarawak. Aplikasi ini juga telah merangkul anugerah Outstanding Innovation Award dan Gold Award sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021 pada 25 hingga 29 Oktober lalu. 5. Sistem PBSO yang dibangunkan oleh MPB akan diintegrasikan bersama sistem pangkalan data e-Pekebun MPB bertujuan untuk meningkatkan capaian perkhidmatan kepada individu yang ingin membuat permohonan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) secara dalam talian serta menyemak status permohonan pada bila-bila masa. 6. Pada program jelajah kali ini, seramai 10 pekebun lada mewakili 10 rumah panjang menerima bantuan STLB dan STLM. Kesemua penerima ini merupakan pekebun dari Dewan Undangan Negeri Layar, Betong. 7. KPPK akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan agrikomoditi dipertingkatkan. Ini penting agar ia terus berdaya saing dan mapan disamping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara selaras aspirasi Keluarga Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Betong, Sarawak 28 November 2021
KUTIPAN KADAR SES BAHARU SAWIT BERKUATKUASA 1 MAC 2021 TINGKATKAN KECEKAPAN PENGELUARAN SAWIT
1. Sejak penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2000, kadar kutipan ses adalah sebanyak RM15 bagi setiap tan minyak sawit mentah (MSM) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO). Bagaimanapun, kadar ses tersebut telah diturunkan kepada RM13 mulai 1 Mac 2009. Menyedari keperluan semasa bagi menjaga kepentingan dan mendepani cabaran industri sawit negara, Kementerian dan MPOB telah meneliti semula kadar ses yang dikenakan pada tahun 2019.
2. Dalam hal ini, Kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar kutipan ses oleh MPOB sebanyak RM3 iaitu daripada RM13 kepada RM16 pada tahun 2019 demi kepentingan industri tersebut walaupun harga MSM adalah rendah ketika itu. Namun, pelaksanaannya dilakukan secara berfasa dengan kenaikan RM1 mulai 1 Januari 2020 yang disalurkan kepada Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation – MPOGCF) bagi aktiviti konservasi sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.
3. Berikutan kenaikan harga MSM yang semakin tinggi ketika ini, pelaksanaan kadar baru yang telah dipersetujui terdahulu dilihat sesuai dilaksanakan. Kenaikan ini berkuatkuasa 1 Mac 2021 dan dikenakan kepada pengeluar CPO dan CPKO iaitu pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit dan Kilang Pelumat Isirung Sawit. Ia adalah selari dengan prestasi harga minyak sawit yang meningkat melepasi paras RM3,000 setiap tan dan diunjurkan terus mengukuh di pasaran.
4. Peningkatan ses sebanyak RM2 setiap tan pada 1 Mac ini akan disalurkan bagi menyokong penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit atau Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP). Sebanyak RM30 juta daripada kutipan ini akan digunakan sebagai pelengkap oleh industri kepada peruntukan RM30 juta yang disediakan oleh Kerajaan melalui geran padanan seperti diumumkan semasa Belanjawan 2021. Mekanisasi dan automasi di sektor perladangan akan diberi tumpuan khusus yang turut selari dengan cadangan pihak industri.
5. Penubuhan MARCOP melibatkan kerjasama MPOB dan pihak industri bertujuan meningkatkan teknologi dan penggunaan kejenteraan ladang bagi mengoptimumkan kecekapan operasi serta penuaian buah sawit di samping mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan adalah prihatin akan isu berkaitan kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini.
6. Hasil kutipan ses juga disalurkan bagi pembiayaan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang diwujudkan bagi mengatasi cabaran secara bersama isu-isu minyak sawit di peringkat antarabangsa seperti kempen antiminyak sawit serta diskriminasi oleh Kesatuan Eropah ke atas biobahan api berasaskan sawit.
7. Selain itu, tambahan ses ini akan digunakan bagi pembiayaan penghasilan teknologi baru melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, aktiviti galakan pasaran oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) termasuk aktiviti yang memberi tumpuan dan sokongan kepada pekebun kecil bagi peningkatan daya saing global serta kelestarian industri sawit negara.
8. KPPK berharap dengan keputusan terkini oleh Kerajaan mampu meningkatkan kecekapan bagi menambah hasil pengeluaran sawit negara dan kesinambungan industri berkenaan.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 3 Mac 2021
10,000 PEKERJA INDUSTRI PERKAYUAN DAN PERABOT DIVAKSINASI DI BAWAH PROGRAM VAKSINASI SEKTOR AGRIKOMODITI (VACOMS) DI PPVIN MTC@OLAK LEMPIT
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang telah memulakan operasinya pada 28 Julai 2021.
2. PPVIN MTC@Olak Lempit merupakan PPVIN kedua yang beroperasi selepas PPVIN Ladang Tennamaram dibuka pada 26 Julai 2021. Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksinasi di PPVIN MTC@Olak Lempit.
3. Operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang mempunyai kekangan tersendiri. Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, buat masa ini vaksinasi secara ‘walk in’ bagi bukan warganegara hanya akan dibuat di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja bermula 9 Ogos hingga 22 Ogos 2021 dan mereka tidak dibenarkan untuk hadir di mana-mana PPV Awam.
4. Dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
5. Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut. Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF.
6. Pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak. Caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100.
7. KPPK menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Banting 3 Ogos 2021
KEBENARAN PENGOPERASIAN SEKTOR PERHUTANAN DAN PERKAYUAN KEKALKAN BEKALAN BAHAN MENTAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan amat menghargai keputusan Kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media kelmarin.
2. Kebenaran ini akan memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara. Ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini. Sebagai makluman, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot. Selain itu, kebenaran ini juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
3. Memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, KPPK ingin merakamkan ucapan penghargaan di atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut. Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.
4. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran ini ditarik balik. Selain itu, pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi. Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha Kerajaan mengurangkan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.
5. Harapan KPPK ialah sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara. Perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 30 Januari 2021
KENYATAAN MEDIA PENGHASILAN FIBER BULUH PEMANGKIN PROGRAM PERTANIAN KOMUNITI BULUH 2021-2025
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Dato’ Dr. Mohd Khairudin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh
2. Buluh merupakan tumbuhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Inisiatif para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) di bawah FTK telah menghasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat (fiber). Kepelbagaian aplikasi produk daripada serat mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.
3. Melalui kerjasama UTHM dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji dalam penentuan keboleh pemprosesan serat daripadanya. Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar.
4. Memandangkan kepada potensi tanaman komoditi ini yang tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas. Sehubungan itu juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh. Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025.
5. Penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah (crude fiber). Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.
6. Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan. Penganjuran Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industribuluh negara khususnya Kementerian.
7. Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti berkenaan bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir 1 hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan,geotextile dan produk tekstil.
8. Kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Pagoh, Johor 30 Mac 2021