KENYATAAN MEDIA PEMATUHAN SOP SEKTOR AGRIKOMODITI YANG LEBIH TEGAS MELIBATKAN MAJIKAN DAN PEKERJA SEPANJANG PKP 3.0
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan mendadak kes baharu jangkitan COVID19 pada masa ini. Justeru, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat berkuatkuasa hari ini adalah langkah paling wajar dalam usaha memutuskan rantaian wabak dan melandaikan keluk pandemik yang semakin membimbangkan.
2. Berikutan itu, para pemain industri agrikomoditi membabitkan ladang, kilang dan premis operasi termasuk pekebun kecil diingatkan supaya semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi tanpa sebarang kompromi.
3. Semua sektor di bawah industri agrikomoditi seperti sawit, getah, kayu danperabot, koko, lada, kenaf serta biodiesel dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 60 peratus sahaja. Sehubungan itu, semua pemain industri dan majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP baharu yang telah ditetapkan. Pemantauan yang lebih kerap oleh majikan kepada pematuhan oleh pekerja hendaklah dilaksanakan. Antaranya penggunaan aplikasi MySejahtera dan penyediaan kemudahan sanitasi tangan di tempat yang bersesuaian.
4. Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pemilik premis dalam memastikan hanya pekerja serta pelanggan yang tidak berisiko memasuki kawasan premis iaitu dengan suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan tidak mempunyai gejala batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas. Sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.
5. Selain daripada itu, pemilik premis yang tersenarai di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) hendaklah mengambil tindakan intervensi dengan melaksanakan sanitasi premis dan meningkatkan kawalan dan pemantauan pelanggan serta melaksanakan penutupan premis jika diarahkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah selepas penilaian risiko dijalankan.
6. Majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang dikemaskini oleh KPPK pada 25 Mei 2021. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-88803498, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui emel: hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
7. KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 26 Mei 2021
JELAJAH AGRIKOMODITI #KELUARGA MALAYSIA BERI MANFAAT MENANG-MENANG UNTUK KPPK DAN PEKEBUN KECIL GETAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Dewan Budiman, Kg Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu. Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia merupakan program anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai medium untuk berkongsi maklumat dan aktiviti Kementerian dengan masyarakat setempat.
2. Pada program ini, para pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis. Selain itu, YB Meteri turut berdialog dengan pekebun kecil selain berkongsi maklumat projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.
3. Pada majlis berkenaan, pekebun kecil terbabit menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC. Sumbangan itu termasuk alat peranti tablet bersama pelan data Internet kepada keluarga terpilih.
4. YB Menteri berpeluang melawat Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kg Kepah Hulu Terengganu. Projek JLPK ini memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas jalan ladang. Pembinaan ini dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
5. KPPK berharap program dialog seperti ini akan diteruskan dan menjadi medan kepada pekebun kecil getah menyampaikan maklumat secara langsung kepada Kerajaan seterusnya Kementerian dapat bertindak serta merancang dengan lebih baik untuk masa hadapan yang lebih terjamin kepada golongan berkenaan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Hulu Terengganu, Terengganu 27 November 2021
HAMPIR 500,000 HEKTAR KEBUN SAWIT MILIK PEKEBUN KECIL DI SELURUH NEGARA TELAH MEMPEROLEH PERSIJILAN MSPO
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Marang, Terengganu. Program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada pekebun kecil sawit mengenai kepentingan dan keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria MSPO.
2. Pensijilan MSPO adalah antara langkah bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat hidupan liar. Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit.
3. Usaha bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil bagi Pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan. Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya melaksanakan pensijilan MSPO di kebun masing-masing. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 162 SPOC di bawah seliaan MPOB telah berjaya memperoleh MSPO membabitkan 126,496 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 499,195.97 hektar.
4. Kerajaan menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada tahun 2019 bagi membiayai kos pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).
5. Kerajaan melalui KPPK juga telah mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM adalah untuk menyatukan pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu di Semenanjung (24), Sabah (27) dan Sarawak (18) dengan keahlian berjumlah 7,043 pekebun kecil.
6. Antara aktiviti ekonomi di bawah KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan pusat timbang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 60 pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan BTS sehingga 217,675.97 tan. Di Terengganu, sebanyak tiga KPSM ditubuhkan iaitu KPSM Daerah Besut Berhad, KPSM Daerah Hulu Terengganu Berhad dan KPSM Kuala Nerus Berhad. Jumlah keahlian untuk KPSM di negeri ini adalah 130 ahli.
7. Secara amnya pekebun kecil mendapat manfaat dari kewujudan KPSM apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara dengan tawaran harga KPSM. Selain itu, penggunaan mesin pemotong buah sawit atau Cantas bagi penuaian buah sawit terbukti berupaya meningkatkan produktiviti tuaian sebanyak dua kali ganda, daripada 1.8 tan kepada 3.2 tan BTS bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian menggunakan galah secara manual.
8. KPPK berharap usaha dapat dipertingkatkan dengan lebih ramai pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan MSPO pada masa akan datang, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Marang, Terengganu 27 November 2021
KENYATAAN MEDIA MYKOMODITI 2021 JULANG SUMBANGAN AGRIKOMODITI KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021 (MyKomoditi 2021) di Putrajaya. Penganjuran program ini adalah julung-julung kali oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menghargai sumbangan sektor agrikomoditi dalam pembangunan negara.
2. MyKomoditi 2021 bermula pada 25 Oktober hingga 29 Oktober 2021 melibatkan penyertaan semua agensi serta majlis di bawah KPPK yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.
3. Antara kemuncak perasmian ialah pelancaran kenderaan baharu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) iaitu sebuah bas yang mempunyai komponen diperbuat daripada gentian kenaf. Selain itu, sempena program ini juga, tiga pelancaran produk dan projek turut dilakukan iaitu produk Single-Origin Coklat Berkhasiat oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), My Sawit Day oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan TimbeReality oleh Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).
4. Pada tahun 2020, sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM152 bilion. Sehingga bulan Ogos 2021 sahaja, nilai eksport untuk sektor agrikomoditi telah pun mencapai RM137.4 bilion. Di bawah subsektor sawit sahaja, nilai eksport sawit telah menyumbang sebanyak RM72.8 billion kepada negara pada tahun 2020 dan sehingga Ogos 2021 sahaja, subsektor ini telah mencatatkan sebanyak RM63.7 billion.
5. Kementerian merancang penganjuran MyKomoditi 2021 ini diteruskan sebagai acara tahunan melibatkan setiap negeri. Sektor agrikomoditi berupaya menyumbang dengan lebih banyak lagi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab agrikomoditi utama dunia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 27 Oktober 2021
PROJEK PEMANTAUAN DAN PELAPORAN TRANSAKSI BUAH TANDAN SEGAR JEJAK PENJUALAN SAWIT CURI
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini melancarkan Projek Rintis Pemantauan dan Pelaporan Transaksi Buah Tandan Segar (BTS) di Tanjung Piai, Johor. Projek berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dalam industri sawit bagi pekebun kecil persendirian dan peniaga buah sawit untuk perkembangan industri sawit negara.
2. Sistem itu dibangunkan bagi menggalakkan pekebun kecil persendirian mengamalkan penyimpanan rekod penyelenggaraan kebun dan rekod hasil secara konsisten serta tepat. Bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan selaras dengan kemajuan teknologi masa kini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang membangunkan sistem secara dalam talian untuk projek berkenaan.
3. Buat masa ini, tiada sebarang sistem yang spesifik untuk merekod hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian. Justeru, sukar untuk MPOB memberikan perkhidmatan pengembangan yang efektif tanpa makkumat data hasil, kos pengeluaran serta keuntungan yang diperoleh. Sistem baru ini ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dalam urus niaga transaksi buah tandan segar dan pada masa yang sama mampu mengumpulkan rekod pendapatan pekebun kecil persendirian termasuk fungsi untuk memantau penjualan buah sawit curi, penjualan tanpa lesen, penggunaan lesen individu lain tanpa kebenaran, peniaga buah yang kurang jujur dan isu-isu lain.
4. Di samping itu, data hasil merupakan satu kriteria penting yang dinilai di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dengan pembangunan sistem seperti ini, aspek kebolehjejakan (traceability) dalam skim pensijilan MSPO juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan telus. Data hasil BTS yang menyeluruh dan tepat membolehkan ejen pengembangan membandingkan hasil sawit dan mengenal pasti sebarang perbezaan yang ketara yang diperoleh daripada pekebun kecil persendirian. Melalui pembangunan sistem ini, MPOB akan dapat memantau hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian dengan lebih cepat dan tepat. Selain itu, penjualan BTS tanpa lesen juga dapat dikenal pasti yang berupaya mengurangkan masalah penjualan BTS secara tidak sah.
5. Projek rintis ini akan melibatkan seramai 6,045 orang pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit seluas 11,954.21 hektar, 33 peniaga buah sawit (DF) dan sebuah kilang sawit di dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai. MPOB telah mewujudkan tiga Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di kawasan ini dalam usaha untuk mempersijilkan pekebun kecil persendirian dengan Pensijilan MSPO. Sehingga kini, sebanyak 43 SPOC telah dipersijilkan MSPO membabitkan seramai 27,263 pekebun kecil dengan keluasan 69,969.46 hektar di Johor. Di kawasan Tanjung Piai, sebanyak 1,770 pekebun kecil dengan keluasan mencecah 4,100 hektar telah dipersijilkan MSPO.
6. Pekebun kecil persendirian perlu mematuhi peraturan pelesenan MPOB dengan memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang. MPOB akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk pekebun kecil persendirian yang menjalankan aktiviti jual beli BTS tanpa lesen termasuk tindakan mahkamah bagi membendung aktiviti tidak sihat dalam industri ini.
7. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan usaha MPOB ini akan meningkatkan lagi ketelusan dan kecekapan transaksi BTS di seluruh negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Tanjung Piai, Johor Darul Takzim 28 Mac 2021