Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jakarta, Indonesia hari ini. Pada lawatan rasmi ke luar negara yang pertama dilakukan sejak menerajui Kementerian ini, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan tiga (3) anggota Kabinet Indonesia iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto; Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi dan Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah. Perbincangan pada pertemuan tersebut berkisar industri sawit dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara.
Malaysia memaklumkan kesediaan untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja ladang termasuk dari Indonesia. Namun ia bergantung kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang akan dipersetujui dalam masa terdekat. Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) telah siap dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia dan akan menjadi perintis kepada sektor lain. SOP berkenaan dirangka dengan mengambil kira keperluan pematuhan kesihatan dan keselamatan negara.
Bagi Indonesia, penghantaran pekerja ke Malaysia memberikan manfaat kepada kedua-dua negara. Keputusan itu dianggap sebagai situasi menang-menang apabila bagi rakyat Indonesia, mereka akan mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan sementara Malaysia pula dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja yang mengakibatkan kerugian besar kepada industri sawit.
Selain itu, YB Menteri turut melawat loji biodiesel di Jakarta untuk memahami dengan lebih dekat kaedah yang digunakan Indonesia dalam pelaksanaan program bahan berkenaan. Negara itu berjaya melaksanakan Program Biodiesel B30 dan Malaysia pula pada masa ini sedang melaksanakan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri melibatkan penggunaan kira-kira 1.3 juta tan biodiesel sawit setahun yang boleh menyumbang kepada permintaan minyak sawit mentah (MSM) dan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 3.88 juta tan CO2eq setahun. Peningkatan permintaan dalaman MSM juga adalah alat untuk mengimbangi harga pasaran dunia minyak sawit.
Malaysia dan Indonesia turut menzahirkan kebimbangan berikutan kempen antiminyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Oceania. Dalam hal ini, kedua-dua negara menerusi Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan berusaha untuk menggembleng usaha memerangi kempen berkenaan. Kempen itu tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri minyak sawit sebenar. Kempen itu juga adalah bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengamalkan amalan perdagangan bebas.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan industri sawit akan berusaha sehabis baik bagi melindungi industri sawit negara bagi memastikan industri ini terus berkembang dan memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara dan rakyat.
MAJIKAN INDUSTRI AGRIKOMODITI PERLU PASTIKAN SOP DIIKUTI DENGAN LEBIH TEGAS BAGI MEMBENDUNG PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DI TEMPAT KERJA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 pada masa ini terutamanya yang berpunca dari kluster di tempat kerja. Berikutan itu, para pemain industri agrikomoditi diingatkan supaya memastikan pelaksanaan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak itu di ladang dan kilang.
2. KPPK turut mengambil maklum laporan media semalam berkaitan keputusan Kerajaan Negeri Sabah tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu berikutan penularan wabak COVID-19, sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari. Prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan dan 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam. Kementerian mengalu-alukan langkah kerajaan negeri ini.
3. Sehubungan itu, majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Antaranya seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang serta memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dipatuhi pada setiap masa. Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula. 4. Selain itu, para majikan diingatkan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446). Pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari 2021 iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Pematuhan terhadap Akta 446 adalah amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.
5. Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor agrikomoditi perlulah merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK dari semasa ke semasa. SOP Sektor Agrikomoditi yang telah dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari 2021 boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
6. KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh majikan akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 26 Januari 2021
LEMBAGA KOKO MALAYSIA PERGIAT USAHA PENGKOMERSIALAN HASIL PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN KOKO
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Bengkel Tahunan Saintis LKM (MASW) 2021. Bengkel tersebut merupakan satu usaha kolaborasi strategik di antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
2. MASW 2021 bertemakan Transforming R&D Culture Towards MarketDriven Research bertujuan meningkatkan keupayaan penyelidik LKM di samping menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) LKM. Bengkel yang bermula 26 hingga 28 Julai 2021 itu dihadiri oleh 72 pegawai penyelidik LKM secara maya.
3. Projek R&D LKM bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) dan sehingga kini sebanyak 105 projek dengan peruntukan berjumlah RM75.3 juta telah dijalankan. Sebanyak 17 projek R&D bernilai RM42.7 juta telah dilaksanakan serta 630 penerbitan berimpak tinggi dan laporan teknikal telah berjaya dihasilkan sepanjang tempoh RMK-11. Manakala, sembilan projek R&D bernilai RM14.1 juta sedang dilaksanakan di bawah RMKe-12.
4. LKM telah menerima 60 pengiktirafan di dalam dan luar negara bagi inovasi serta teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti R&D. Selain itu, 38 inovasi dan teknologi yang dihasilkan di bawah RMKe-11 telah memperoleh Hak Harta Intelek (IPR).
5. Selaras dengan hala tuju LKM sebagai agensi unggul dalam R&D berkaitan koko, penyelidikan berasaskan permintaan pasaran telah diberi tumpuan mulai tahun 2014. Dalam hal ini, 63 teknologi dan produk dibangunkan bagi menghasilkan klon koko baharu, teknologi pengurusan kebun, kawalan penyakit dan pemprosesan komdofiti itu serta penghasilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko. Selain itu, sebanyak 17 produk dan teknologi seperti produk kecantikan dan penjagaan diri telah dikomersialkan dengan kadar pengkomersialan 27 peratus.
6. Kolaborasi di antara LKM dan rakan strategik MTDC yang terjalin sejak tahun 2019 di bawah program Innovation to Market (I2M) akan diteruskan agar usaha pengkomersialan produk R&D LKM dapat direalisasikan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap usaha pengkomersialan ini juga dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan dalam mengeluarkan produk berasaskan koko yang lebih berkualiti dan mempunyai potensi pasaran yang besar.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 26 Julai 2021
KPPK KOMITED MEMPERKASAKAN AGENDA USAHAWAN BUMIPUTERA INDUSTRI PERKAYUAN DAN PERABOT
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini melawat kilang Nza Wood Trading Sdn. Bhd. di Merlimau, Melaka bagi meninjau potensi syarikat perkayuan berkenaan. Syarikat milik Bumiputera ini sudah beroperasi hampir 10 tahun dengan memasarkan dan mengeksport kayu-kayan bermutu tinggi ke pasaran antarabangsa.
2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sentiasa menyokong kepada usaha untuk meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera termasuk dalam industri perkayuan dan perabot. Melalui Rancangan Malaysia Ke-12, seramai 700 usahawan baharu disasarkan untuk dibangunkan yang merangkumi 600 usahawan Bumiputera menjelang tahun 2025.
3. Sektor perkayuan merupakan industri yang penting dan amat signifikan kepada pembangunan ekonomi negara. Pada tahun 2020, industri ini mencatatkan prestasi yang baik dengan nilai industri secara keseluruhan berjumlah RM41.02 bilion. Daripada jumlah ini, nilai eksport industri perkayuan adalah sebanyak RM22.02 bilion. Sementara nilai pasaran domestik pula berjumlah RM19 bilion. Lebih daripada 50 peratus atau RM12.28 bilion dari eksport kayu-kayan dan produk berasaskan kayu disumbangkan oleh tiga produk hiliran utama iaitu perabot (RM10.63 bilion), builder’s joinery and carpentry (RM971.75 juta) serta mouldings (RM687.89 juta).
4. Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diangkat sebagai misi Nasional dan Kerajaan melalui KPPK sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing secara kompetitif di pasaran domestik dan global. Pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan antaranya Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu Industri Kecil dan Sederhana (SME) Bumiputera, Program Sokongan Bahan Mentah, Program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) dan Pameran Wood and Lifestyle Fair.
5. KPPK berharap lebih ramai lagi usahawan Bumiputera menceburi bidang perkayuan dan perabot di negara ini. Justeru, kerajaan akan terus menyediakan peluang dan ruang bagi membantu usahawan-usahawan baharu khususnya usahawan Bumiputera yang berpotensi di seluruh negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Merlimau, Melaka 26 Mac 2021
KIRA-KIRA 4,000 PENCARI KERJA WARGA TEMPATAN ‘SERBU’ KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021, TEMPOH TEMUDUGA DILANJUTKAN SEBULAN
1. Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara maya baru-baru ini berjaya menarik hampir 4,000 pencari kerja warga tempatan bagi di sektor perladangan dan industri komoditi. Sebanyak 8,694 kekosongan jawatan daripada lebih 26 majikan di sektor berkenaan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berminat.
2. Karnival kerjaya yang julung-julung kali dianjurkan membabitkan sektor perladangan dan komoditi itu diadakan selama dua hari mulai 9 Mac lalu dengan pelbagai pengisian bagi menarik lebih ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 memperoleh pekerjaan. Ia dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan.
3. Antara pengisian lain karnival berkenaan ialah sesi taklimat berhubung PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’. Acara kemuncaknya adalah sesi temuduga secara dalam talian yang diadakan pada hari kedua karnival.
4. Hasil daripada sesi temuduga secara dalam talian tersebut, sehingga kini seramai 76 peserta berjaya ditawarkan pekerjaan di syarikat perladangan terkenal di negara ini. Seramai 44 calon bakal bekerja di Sime Darby Plantation, Felcra Berhad (19 orang), TH Plantation Berhad (9) dan masing-masing dua dengan BOH Plantation Berhad dan United Malacca Berhad.
5. KPPK mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi karnival kerjaya ini. Bagi yang tidak berjaya diharapkan akan terus memohon melalui portal MyFutureJobs yang terus menawarkan banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor termasuklah di sektor agrikomoditi. Penganjuran karnival seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan bagi memastikan lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam pekerjaan dalam sektor agrikomoditi.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 26 Mac 2021