KERAJAAN GIAT KEMPEN TINGKATKAN EKSPORT PRODUK BULUH KE MERATA DUNIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan perasmian sambutan Hari Buluh Dunia 2021 (WBD 2021), yang ke-10 di Malaysia. Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang September dan sambutan pada kali ini diadakan secara maya mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.
2. Sempena sambutan tersebut, Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara 2021-2030, kesinambungan pelan 2011-2020 turut dilancarkan. Pelan tindakan ini berperanan untuk memperkasakan hala tuju Malaysia sebagai negara pengeluar buluh dan produk berasaskan buluh untuk dieksport ke China, Indonesia, Thailand dan serata dunia.
3. Selain itu, turut diadakan program sepanjang bulan ini sejak 1 September iaitu Pertandingan Mewarna bagi pelajar sekolah rendah dan Program Larian Maya sejauh 5 kilometer. Sempena Hari Malaysia pada 16 September pula, program penanaman 100 buluh secara serentak diadakan di seluruh negara. Ia disiarkan secara langsung menerusi media sosial WBD2021. Forum Pelestarian Industri Buluh Malaysia 2021 dan dua siri webinar berkaitan Penggunaan Buluh dalam Industri Binaan dan Perladangan Buluh juga akan diadakan untuk menarik minat lebih ramai orang awam mengenai potensi tanaman buluh di Malaysia.
4. Buluh merupakan sumber bukan kayu penting yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Di Malaysia, terdapat lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripadanya yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung dengan keluasan 229,123 hektar, Sarawak (45 peratus) dan Sabah (24 peratus). Nilai eksport produk buluh pada tahun 2020 adalah RM8.28 juta. Walaubagaimanapun, jumlah yang direkodkan ini terlalu kecil berbanding saiz pasaran buluh dunia.
5. Pada masa kini, terdapat 577 pengusaha dalam industri berasaskan buluh merangkumi papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Kebanyakannya merupakan industri kecil dan sederhana yang terletak berhampiran dengan kawasan yang mempunyai banyak sumber buluh.
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan meneruskan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi memastikan bekalan sumber buluh berterusan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), program Bamboo Community Farming juga telah bermula sejak awal tahun ini sehingga 2025.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 20 September 2021
EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN TAHUN 2021 DISASARKAN BERNILAI RM23 BILION
1. Prestasi eksport sektor perkayuan bagi tahun 2020 telah menunjukkan pencapaian yang baik meskipun pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Nilai eksport yang direkodkan adalah RM22.02 bilion dengan mencatatkan penurunan sebanyak 2 peratus berbanding RM22.5 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.
2. Prestasi berkenaan menunjukkan fasa pemulihan positif jika dibandingkan dengan industri lain yang mencatatkan penurunan sangat ketara akibat cabaran bekalan bahan mentah dan permintaan pasaran kesan pandemik COVID-19. Nilai eksport perkayuan mulai meningkat secara bulanan mulai Mei hingga Disember 2020 iaitu semasa fasa pemulihan. Syarikat-syarikat pengeluar produk kayu terutamanya perabot kayu, tanggam, papan lapis dan kayu kumai kembali rancak beroperasi untuk memenuhi tempahan pasaran eksport.
3. Prestasi eksport produk bernilai tambah tinggi seperti perabot, tanggam dan kayu kumai mencatatkan peningkatan 11 peratus dengan jumlah eksport RM12.3 bilion berbanding RM11.1 bilion pada tahun 2019. Daripada jumlah eksport ini, perabot kayu masih kekal sebagai produk utama dengan peningkatan eksport yang ketara sebanyak 16 peratus kepada RM10.6 bilion berbanding RM9 bilion pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, kayu tanggam dan kayu kumai mencatatkan sedikit penurunan masing-masing sebanyak 6 peratus dan 21 peratus kepada RM972 juta dan RM688 juta berbanding RM1 bilion dan RM872.1 juta tahun 2019. Manakala, bagi produk utama seperti kayu gergaji mencatat penurunan eksport sebanyak 29 peratus kepada RM2.4 bilion berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya.
4. Selain itu, eksport papan lapis bagi tahun 2020 mencatat penurunan sebanyak 17 peratus kepada RM2.8 bilion berbanding RM3.8 bilion pada tahun 2019. Ia disebabkan oleh penurunan eksport ke Jepun yang merupakan pembeli utama papan lapis negara kerana penguncupan industri pembinaan serta persaingan daripada negara pengeluar yang lain seperti Indonesia dan China.
5. Pasaran utama bagi sektor perkayuan yang menunjukkan peningkatan ialah Amerika Syarikat (AS) dan China. Kedua-dua pasaran ini menyumbang sebanyak 44 peratus dari eksport keseluruhan Malaysia. AS mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus kepada RM7.4 bilion berbanding RM5 bilion bagi tahun 2019. Peningkatan ini dipengaruhi oleh rangsangan Kerajaan AS kepada ekonominya untuk industri pembinaan semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan dalam e-dagang yang membawa kepada pertambahan permintaan negara itu terhadap produk kayu Malaysia. Manakala, China mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.8 bilion tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Secara keseluruhan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus berusaha bagi memastikan industri perkayuan kekal kompetitif di pasaran global dan domestik. Pada masa yang sama, KPPK akan sentiasa memantau pihak industri untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kementerian berkeyakinan prestasi eksport mampu mencapai RM23 bilion pada 2021 terutamanya dengan adanya vaksin yang dijangkakan dapat meredakan pandemik COVID-19. Dengan pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di AS dan China serta kadar permintaan dari negara-negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang tahun 2021.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Februari 2021
PAKEJ BANTUAN PERMAI: SEKTOR AGRIKOMODITI KOMITED BANTU KUKUHKAN EKONOMI NEGARA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Sebagai kementerian yang terlibat secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara dan eksport sebagai aktiviti utamanya, KPPK akan terus berperanan dalam usaha memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi sumber aset yang menyumbang kepada kemajuan negara.
2. Seperti yang diketahui bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini tidak sama dengan PKP 1.0 memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi, dengan kata lain, melalui inisiatif PERMAI, kerajaan sedar bahawa kesan ke atas ekonomi akan lebih dapat dikawal.
3. Sektor agrikomoditi telah menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020. Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.
4. Dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramalkan akan terus memberangsangkan, justeru, sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh Kerajaan sepanjang PKP dan tempoh darurat. Sehubungan dengan itu KPPK mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2021 sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.
5. KPPK juga menyokong sepenuhnya Inisiatif 4 PERMAI iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Kementerian akan memastikan para pemain industri agrikomoditi memperketatkan amalan prosedur operasi standard (SOP), menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID19. Kementerian juga akan memastikan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipatuhi kerana kegagalan mematuhinya boleh menyumbang kepada penyebaran wabak COVID-19.
6. Sebagai usaha kerajaan membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40, KPPK amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri melalui Inisiatif 5 PERMAI iaitu Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat dengan bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari membabitkan seramai 11.1 juta penerima dengan bayaran sebanyak RM2.38 bilion. Bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.
7. KPPK berharap dengan pengumuman pakej bantuan khas PERMAI mampu menjadi stimulus kepada usaha merancakkan ekonomi negara walaupun dalam keadaan yang sukar ketika ini kesan wabak COVID-19.
DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Januari 2021
EKSPORT MINYAK SAWIT MENINGKAT 26.9 PERATUS KEPADA RM17.12 BILION JANUARI HINGGA APRIL 2021
1. Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus iaitu RM17.12 bilion untuk tempoh Januari hingga April 2021 berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020. Faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harganya dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.
2. Dengan prestasi ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai dengan sokongan program-program baharu KPPK iaitu inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi.
3. Program-program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu. Ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara.
4. Industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus. Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun 2020.
5. Cabaran pandemik COVID-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini, bagaimanapun, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 22 Mei 2021
LEMBAGA LADA MALAYSIA PERKENAL INOVASI BAHARU BANTU PEKEBUN KECIL TINGKATKAN PRODUKTIVITI TANAMAN
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin hari ini melancarkan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB). Beliau turut melancarkan dua buku, Manual Tiang Sokongan Lada dan Manual Varieti Lada di Malaysia yang merupakan inisiatif untuk membimbing pekebun-pekebun kecil baharu mengunakan tiang sokongan alternatif pokok lada selain membantu pengusaha mengenal pasti varieti tanaman agrikomoditi itu.
2. Melalui manual berkenaan, pekebun boleh menghasilkan sendiri dua jenis tiang sokongan pokok lada iaitu dari bahan polivinil klorida (PVC) dan bata merah atau secara pembelian seperti yang disyorkan oleh MPB iaitu dari seramik dan komposit pultrusion. Empat jenis tiang sokongan ini mempunyai ciri–ciri berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemilihannya boleh dibuat oleh pekebun kecil mengikut kemampuan kewangan dan kesesuaian kebun masing- masing.
3. Buku Manual Varieti Lada di Malaysia akan membolehkan pengusaha mengenal pasti jenis lada kerana ia amat penting untuk menentukan produktiviti tanaman serta pengeluaran hasil. Kesesuaian sesuatu varieti lada adalah bergantung kepada ciri-ciri morfologi biji lada dan indeks kualiti aroma yang telah dinilai oleh para penyelidik MPB. MPB menggalakkan penanaman varieti ‘Kuching’ bagi lada putih dan ‘Semongok Aman’ bagi lada hitam.
4. Malaysia adalah negara pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, Indonesia, India dan Brazil. Namun, lada Sarawak memiliki permintaan yang tinggi antarabangsa kerana berkualiti premium dan aromanya yang unik. Usaha sedang dipergiatkan untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan tanaman lada melalui kajian bioteknologi, agronomi, pembiakbakaan dan perlindungan tanaman untuk menghasilkan tanaman berhasil tinggi serta lebih tahan penyakit atau perosak.
5. MPB bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Sarawak untuk penjujukan germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok bagi projek-projek penambahbaikan varieti. Produktiviti tanaman lada pada masa kini adalah 6.4 tan setiap hektar dan Kementerian Perusahana Perladangan dan Komoditi (KPPK) mensasarkan produktiviti kepada 6.6 tan setiap hektar menjelang tahun 2030.
6. KPPK berharap lebih banyak penglibatan sektor swasta bagi mempertingkatkan lagi sumbangan industri ini. Penerokaan pasaran baharu seperti di Jepun, Sweden, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Sepanyol dan lain-lain negara mampu meningkatkan pulangan kepada pendapatan negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Puncak Borneo, Sarawak 22 Oktober 2021