SIARAN MEDIA 2021

si

Jata

KENYATAAN MEDIA
KPPK YAKIN UNJURAN PENDAPATAN KOKO RM6.5 BILION
TAHUN INI MAMPU DICAPAI


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke tapak lokasi cadangan pembangunan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor. Di samping itu beliau mengadakan pertemuan dengan pengisar dan pengilang coklat selain taklimat berkaitan projek pembangunan industri koko oleh PTP dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).


2. Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, pendapatan eksport telah mencecah RM4.5 bilion, justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)  yakin unjuran pendapatan keseluruhan bagi tahun 2021 sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai.


3. Perkembangan ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam pasaran eksport dan produk-produk koko yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.2 peratus sejak tahun 2014. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa.


4. Pada tahun lepas juga, Malaysia adalah negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia yang menyumbang sebanyak 7 peratus jumlah pengisaran dunia. Dalam tempoh 5 tahun hingga 2020, nilai eksport coklat telah meningkat sebanyak 98.7 peratus, peningkatan juga membabitkan serbuk koko dan lemak koko, masing-masing sebanyak 31.4 peratus dan 16 peratus.


5. Kementerian menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam perancangan untuk membangunkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP. Kedua-dua pelabuhan tersebut telah tersedia infrastruktur, tenaga kerja dan jaringan domestik yang sangat baik.


6. KPPK berharap dengan lawatan yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi kerjasama di antara Kementerian, agensi kerajaan tempatan dan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko khususnya di Johor.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Gelang Patah, Johor
10 Oktober 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

 

 

PROGRAM VAKSINASI BARISAN HADAPAN EKONOMI SEKTOR AGRIKOMODITI SASAR MATLAMAT KOMUNITI KELOMPOK


 

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Julai 2021 yang telah meluluskan sektor perladangan dan komoditi sebagai sektor ekonomi keempat yang terlibat dalam program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

2. Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi, kelulusan yang telah diberikan oleh CITF adalah merupakan perkhabaran yang sangat ditunggu-tunggu oleh industri sektor itu.

3. Dua lokasi PPVIN dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya akhir bulan ini untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memfokuskan kepada sektor perladangan sawit di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor dan juga di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) di Olak Lempit, Banting, Selangor.

4. Nama khas untuk PICK di bawah sektor agrikomoditi yang akan dilaksanakan ini ialah Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi atau Vaccination Programme for the Agricommodity Sector (VACOMS).

5. KPPK juga amat menghargai penglibatan langsung pemain industri daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bersama Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) bagi pengoperasian PPVIN di Ladang Tennamaram yang mensasarkan 6,400 pekerja dan penglibatan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi pengoperasian PPVIN di FIDEC, Olak Lempit yang mensasarkan 7,800 pekerja.

6. Kementerian amat mengharapkan lebih banyak PPVIN sektor agrikomoditi akan dapat dibuka oleh pihak industri serta persatuan bagi membantu Kerajaan menjayakan PICK dalam tempoh yang telah disasarkan bagi mencapai imuniti kelompok untuk menjayakan matlamat Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Walau bagaimanapun, pembukaan PPVIN yang seterusnya adalah tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan CITF.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
2 Julai 2021

Jata

PEJABAT MENTERI


KENYATAAN MEDIA


PEGAWAI KEMENTERIAN DAN AGENSI DIARAH BERI
KERJASAMA KEPADA PIHAK BERKUASA


1. Berikutan fitnah yang tular bertujuan menjejaskan nama baik dan reputasi saya serta Agensi di bawah Kementerian saya, kenyataan media menjelaskan fakta dan laporan polis telah dibuat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan LGM Properties Corporation(LGMPC). Pada masa yang sama barisan peguam telah mengeluarkan notis tuntutan guaman kepada pihak terbabit.

2. Sehubungan itu, saya mengarahkan LGM dan LGPMC dan pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi agar mengalu-alukan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sewajarnya.


3. Arahan itu selaras dengan nilai integriti dan ketelusan yang selalu saya tekankan kepada semua pegawai di Kementerian dan Agensi di bawahnya.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
2 Jun 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


SUBSIDI MINYAK MASAK KURANGKAN IMPAK NEGATIF TURUN
NAIK HARGA MINYAK SAWIT DI PASARAN DUNIA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM). Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kilogram (kg). Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.

2. Dalam masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.

3. Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020. Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019. Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan
penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.

4. Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini. Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh Kerajaan.

5. Walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah. Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan. Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kg pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Januari 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


KPKK YAKIN STRATEGI PEMULIHAN EKONOMI PEMERKASA SINERGI MELONJAKKAN SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) semalam.

2. Melalui Inisiatif Kesembilan PEMERKASA menerusi Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi ini, peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta. Semasa Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.

3. Selain itu Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi selepas ini oleh KPPK bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

4. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen tidak berbelah bahagi oleh kementerian bagi memastikan sentiasa bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara.

5. Dengan adanya dana tambahan ini, KPPK yakin sasaran eksport sawit pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM75 bilion mampu dicapai berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan. Ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara. Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019.

6. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat

 

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Mac 2021