SIARAN MEDIA 2021

si

Jata

KENYATAAN MEDIA


PENDAPATAN INDUSTRI SAWIT KEKAL PENYUMBANG
UTAMA EKONOMI NEGARA, MENSEJAHTERAKAN
KEHIDUPAN PEKEBUN KECIL


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memaklumkan bahawa industri sawit negara mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak
sayuran dan lelemak dunia. Pada tahun 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan minyak sawit mentah (MSM) atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.


2. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.


3. KPPK percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu.


4. Kenaikan harga MSM telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit. Pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun 2020 di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar. Manakala, di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar.

5. Bagi tempoh lima bulan pertama 2021, berikutan peningkatan harga MSM, hasil kutipan duti eksport MSM adalah dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM111 juta. Oleh itu, bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan. Contohnya syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi.


6. Di samping itu, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanyaRM165 juta bagi tahun 2020. la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021.


7. Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat. Secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak.


8. KPPK percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
18 Ogos 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA
RMK-12: PAHANG BERPOTENSI DIKENALI SEBAGAI
JELAPANG KENAF MALAYSIA


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini mengadakan lawatan kerja ke kawasan tanaman kenaf di Pekan, Pahang dan Pusat Industri Kenaf (PIK), Tebu Hitam, Rompin, Pahang.


2. Sebagai usaha menyokong pembangunan industri kenaf, Kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada kumpulan sasar. Antaranya adalah insentif tanaman, bantuan sokongan bahan mentah, fasiliti, teknologi pemprosesan, khidmat nasihat dan sebagainya. Pada masa ini, tanaman kenaf di Pahang adalah seluas 641 hektar melibatkan 509 penanam. Negeri ini juga merupakan pengeluar utama bahan mentah kenaf di Malaysia dengan anggaran pengeluaran pada tahun 2021 sebanyak 6,000 tan kenaf kering bernilai RM3 juta semusim.


3. Di samping itu, Pusat Industri Kenaf (PIK) di Tebu Hitam merupakan pusat yang diwujudkan bagi menjalankan aktiviti pemprosesan kenaf bagi industri ini. PIK mampu mengeluarkan sebanyak 350 tan fiber setahun dengan nilai RM0.7 juta. Pusat Pemprosesan ini juga boleh menyokong pembangunan tanaman kenaf sehingga 700 hektar di kawasan sekitar dan merupakan pusat bekalan bahan mentah separa siap untuk keperluan industri di Pahang.


4. LKTN Negeri Pahang sedang mengembangkan pembangunan ladang kluster dan komersial berskala besar untuk menyokong keperluan bahan mentah bagi industri sedia ada seperti industri pulpa dan kertas, bahan penyerap bunyi, papan serpai dan makanan ternakan. Pembangunan industri ini akan melibatkan pembangunan industri huluan dengan sasaran tanaman seluas 2,500 hektar menjelang tahun 2025.


5. Antara produk berasaskan kenaf yang telah dibangunkan adalah bahan penyerap bunyi akustik oleh sebuah syarikat di Pahang. Produk ini mendapat pengiktirafan dan mematuhi syarat-syarat serta ketetapan oleh SIRIM Berhad, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Beberapa projek JKR iaitu sekolah, dewan orang ramai dan masjid sudah menggunakan bahan binaan ini. Produk ini berpotensi untuk memenuhi permintaan dalam industri pembinaan tempatan dianggarkan bernilai RM10 juta setahun. Produk ini juga berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara antaranya ASEAN dan Timur Tengah. Usaha pemain industri di Pahang ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada industri kenaf sejajar dengan hasrat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk menjadikan Pahang sebagai negeri “Jelapang Kenaf Malaysia” dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12

.
6. KPPK akan terus memberi perhatian dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri kenaf diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan industri ini dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Rompin, Pahang
18 Oktober 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


PENGAWALAN INTENSIF PENYAKIT LURUHAN DAUN
PESTALOTIOPSIS PADA POKOK GETAH


1. Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengesan penyakit luruhan daun pestalotiopsis pada pokok getah Malaysia pada tahun 2017. Pokok getah yang diserang penyakit ini akan mengalami luruhan daun yang ketara dan tidak mengikut musim selain tompok-tompok berwarna cokelat pada daun. Kesan penyakit juga menyebabkan pengeluaran lateks berkurangan.

2. Sehingga akhir Disember 2020, seluas 18,812.98 hektar telah diserang dengan penyakit ini, meliputi hampir semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Sabah. Penyakit ini turut menyerang pokok getah di negara-negara pengeluar getah lain seperti Indonesia (387,000 hektar), Thailand (122,530 hektar), Sri Lanka (20,000 hektar) dan India (300 hektar).

3. Sebuah Jawatankuasa Pestalotiopsis peringkat kebangsaan telah ditubuhkan tahun lepas untuk menyelaras tindakan secara menyeluruh bagi kawalan penyakit serta membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan penyakit tersebut. Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPPK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Pertanian, LGM, RISDA, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian Sarawak, MARDI, Jabatan Kimia Malaysia, Persatuan Kebangsaan  Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), FELDA, FELCRA, Sime Darby Plantation dan Applied Agricultural Resources (AAR) Sdn Bhd.

4. LGM telah mengambil langkah proaktif untuk memulakan usahausaha bagi mengawal penyakit ini daripada merebak. Antaranya, seperti membuat rawatan semburan racun kulat kepada daun pokok getah yang dijangkiti dan memberikan khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi mengawal dan menghapuskan jangkitan ini.

5. Racun kulat dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati berkemampuan untuk merencatkan pertumbuhan kulat Pestalotiopsis. Bahan aktif propiconazole (racun sistemik) yang berada di pasaran boleh merencatkan pertumbuhan kulat dengan ketara.

6. Kementerian melalui LGM dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus berusaha bagi mengawal penularan penyakit ini. Para pekebun boleh menghubungi pejabat LGM terdekat atau mengajukan sebarang pertanyaan kepada general [AT] lgm [DOT] gov [DOT] my.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
19 Januari 2021

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SESI KONSULTASI MALAYSIA-KESATUAN EROPAH (EU): KERAJAAN KOMITED TERHADAP PROSES PERUNDANGAN KE ATAS EU DEMI PERTAHANKAN INDUSTRI SAWIT NEGARA

1. Malaysia pada 17 Mac 2021, telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama Kesatuan Eropah (EU) berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara. Pelaksanaan sesi ini adalah susulan daripada permohonan Kerajaan Malaysia untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah dibuat pada 15 Januari 2021.

2. Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara (AG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain berkaitan. Sesi konsultasi ini diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali. Sesi tersebut turut dihadiri oleh wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

3. Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia.

4. Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi diadakan. Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.

5. Komitmen terhadap proses perundangan terhadap EU berhubung isu antiminyak sawit akan terus menjadi keutamaan KPPK dalam memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
19 Mac 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA
PEROLEHAN EKSPORT PRODUK AGRIKOMODITI TERUS CATAT
LONJAKAN RM155 BILION PADA SUKU KETIGA 2021


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memaklumkan perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun 2021 melonjak sebanyak 49 peratus kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Faktor peningkatan ini adalah berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah sehingga yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan dan pertambahan lebih 100 peratus eksport sarung tangan getah.


2. Sehingga September lalu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion. Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM52 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus.


3. Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Bagaimanapun isu berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan direalisasikan mulai awal bulan depan.


4. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 38 peratus kepada keseluruhan nilai eksport berkenaan, telah meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111 peratus kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu. Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat kenaikan sebanyak 118 peratus kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020.


5. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 10.3 peratus. Nilai eksport sektor ini telah meningkat 1.15 peratus kepada RM16 bilion dibandingkan RM15.7 bilion pada tempoh sama 2020.


6. Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 10 peratus kepada RM5.1 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.6 bilion. Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 18 peratus kepada RM100 juta berbanding RM85 juta pada tempoh sama 2020.


7. Berdasarkan prestasi yang direkodkan, KPPK yakin dapat mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik menjelang suku keempat 2021 berbanding tahun 2020. Kementerian juga yakin sasaran nilai eksport sebanyak RM180 bilion tahun ini mampu dicapai.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
19 November 2021