PEROLEHAN EKSPORT PRODUK AGRIKOMODITI MELONJAK 65 PERATUS KEPADA RM105 BILION PADA SUKU KEDUA 2021
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan perolehan eksport agrikomoditi dan produk agrikomoditi bagi suku kedua tahun 2021 melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding nilai dalam tempoh yang sama pada tahun 2020 iaitu hanya RM64 bilion.
2. Sehingga Jun tahun ini, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion. Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM33 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 5 peratus kepada 11.5 juta tan.
3. Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan sehinggalah kepada Program Pemulihan Negara (PPN) secara berjadual sepanjang enam bulan ini telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan agrikomoditi itu.
4. Malaysia masih berhadapan masalah kekurangan pekerja di ladang sawit. Bagaimanapun, berikutan prestasi yang memberansangkan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai.
5. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 42 peratus kepada keseluruhan nilai eksport barangan agrikomoditi berkenaan, telah meningkat mendadak sebanyak 150 peratus kepada RM44 bilion daripada RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020. Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020.
6. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 11 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi. Nilai eksportnya meningkat 21 peratus kepada RM12 bilion dibandingkan RM10 bilion pada tempoh sama 2020.
7. Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 7 peratus kepada RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM3.1 bilion. Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020.
8. Berdasarkan prestasi berkenaan, KPPK yakin prestasi eksport agrikomoditi akan mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik berbanding tahun 2020.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Serdang 15 Ogos 2021
KENYATAAN MEDIA 2,500 HEKTAR LADANG KENAF KOMERSIAL LEMBAH KENAF KORIDOR UTARA DIBANGUNKAN MELALUI PERKONGSIAN AWAM SWASTA (PPP)
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke Ladang Kenaf Chuping, Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) di Perlis dan Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah.
2. Sempena lawatan kerja ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kenaf Venture Global Sdn Bhd (KVG) dan SIRIM Berhad juga telah dimeterai yang merupakan kerjasama strategik bagi pembangunan kilang perintis kenaf di CVIA. KVG adalah syarikat yang sedang giat mengembangkan perusahaan kenaf, melibatkan pembangunan ladang seluas 1,000 hektar di Perlis dengan sasaran pelaburan RM50 juta sehingga tahun 2025.
3. Turut diadakan ialah Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian kepada pengusaha ladang kluster biji benih kenaf di Kedah melibatkan keluasan 150 hektar selama 5 tahun. Hasil dari inisiatif ini, unjuran pengeluaran biji benih adalah sebanyak 45,000 kilogram dengan pendapatan sebanyak RM1.13 juta setahun. 4. Pembangunan wilayah ini sebagai hub pengeluaran kenaf adalah inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) dengan unjuran pelaburan swasta sebanyak RM100 juta bagi tempoh 2021-2030 melalui inisiatif pembangunan Lembah Kenaf Koridor Utara (NCKV). Ia menyasarkan pembangunan ladang kenaf komersial seluas 2,500 hektar di Perlis, Kedah dan Perak. Pembangunan pelbagai industri hiliran seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), pulpa untuk pembungkusan mesra alam, biokomposit dan makanan ternakan diwujudkan bagi menyokong limpahan bahan mentah kenaf.
5. Dalam usaha memastikan pengeluaran kenaf terjamin dan berkualiti tinggi, LKTN juga telah membangunkan dua pusat pemprosesan biji benih kenaf di Berseri, Perlis dan Jitra, Kedah. Pusat Benih di Jitra mempunyai kapasiti pemprosesan benih sehingga empat (4) tan sehari. Fasiliti ini juga turut menyokong pembangunan tanaman kenaf bagi pengeluaran benih sehingga 1,000 hektar di kawasan sekitar melibatkan pekebun-pekebun kecil di Kedah dan Perlis. Kementerian berharap agar inisiatif ini akan dapat membantu perkembangan industri kenaf serantau dan antarabangsa.
6. Kementerian juga melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri kenaf dipertingkat. Ini penting agar industri ini terus berdaya saing dan mapan di samping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Jitra, Kedah 16 Oktober 2021
MALAYSIA DAN IRAN TEROKA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN TINGKATKAN DAGANGAN MINYAK SAWIT MALAYSIA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum mengenai hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia sehingga 1 juta tan setiap tahun. Sehubungan itu, semasa pertemuan antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan delegasi Iran yang diketuai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai 2021, Malaysia dan Iran bersetuju untuk meneroka memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan meningkatkan eksport sawit Malaysia ke negara berkenaan tidak lama lagi.
2. Pada pertemuan berkenaan, Yazdan yang juga Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran menyatakan kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun dan memaklumkan hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Malaysia menguasai 78 peratus pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020.
3. Pada tahun lalu, Iran mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta. Bagaimanapun, jumlah eksport minyak sawit negara ke Iran meningkat lebih 400 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 iaitu sebanyak 238,683 tan bernilai RM970 juta berbanding 50,889 tan dengan nilai RM131.5 juta sahaja dalam tempoh sama pada tahun 2020.
4. Kerajaan Iran memaklumkan bahawa kapasiti penapisan minyak sawit negara itu kini meningkat dua kali ganda manakala industri pembungkusan mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberansangkan ketika ini. Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara rantau itu yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun.
5. Iran yang kini berhadapan dengan sekatan ekonomi, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perdagangan dengan negaranegara terpilih. Misi utama GTC ialah untuk membekalkan bahan makanan kepada rakyat negara berkenaan.
6. KPPK berharap MOU berkenaan dapat dimeterai antara kedua-dua negara melalui agensi yang berkaitan dalam usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia di samping dapat memainkan peranan utama membantu rakyat negara itu memperoleh bekalan makanan dalam situasi sukar pandemik COVID-19 dan sekatan ekonomi.
DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 17 Julai 2021
KENYATAAN MEDIA KERAJAAN SEDIA PELBAGAI PROGRAM MAJUKAN SEKTOR GETAH DI PERINGKAT HULUAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyantuni 150 pekebun kecil di Kampung Charok Kelian, Baling, Kedah pada sesi dialog sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Kedah dan Perlis bermula semalam.
2. Kedah adalah antara negeri penanaman getah terbesar di Malaysia berkeluasan 93,000 hektar yang diusahakan oleh 68,370 pekebun kecil. Di Baling sahaja, keluasan tanaman getah adalah lebih 16,716 hektar dengan bilangan pekebun kecil seramai 12,694 orang.
3. Pada majlis itu, mereka turut dimaklumkan mengenai projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang getah yang boleh dimanfaatkan, selain berbincang mengenai isu-isu semasa dalam industri getah dan penyampaian bantuan kepada peserta. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, YB Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor dan Ahli Parlimen Baling, YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
4. Antara projek yang dikongsikan bersama para pekebun kecil adalah Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) yang merupakan projek pembangunan Pusat Pemprosesan Getah Krip Berkelompok di seluruh negara dan bakal diperkenalkan kepada industri huluan getah. Projek ini secara keseluruhannya akan dapat menjayakan transformasi sektor pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok dan perkongsian keuntungan secara bersama pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan.
5. Selain meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, projek ini akan dapat meningkatkan pendapatan golongan itu dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. Para pekebun kecil juga digalakkan memperbaharui kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang merupakan kad pendaftaran pekebun kecil selewatnya sebelum 31 Disember 2021. Melalui kad ini, pekebun kecil yang berkelayakan dapat menerima bantuan dan insentif yang diberikan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
6. KPPK berharap para pekebun kecil getah di Kedah dapat meningkatkatkan kualiti dan pendapatan mereka dengan terlibat serta menyokong programprogram yang dilaksanakan Kerajaan melalui LGM.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Baling, Kedah 17 Oktober 2021
KPPK RINTIS PROGRAM VAKSINASI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI JAYAKAN PPN
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mendokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi termasuk kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi di pelbagai sektor. Ini bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini seperti yang dirancang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri selari dengan hasrat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
2. Dalam usaha ini, KPPK akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit sebagai permulaan. Cadangan pelaksanaan projek rintis ini akan diadakan di Selangor, dengan anggaran pekerja seramai 5,000 orang dan telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF). Tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
3. Melalui program vaksinasi di bawah projek rintis ini, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan. Namun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor/jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan.
4. Penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan Agrikomoditi secara berkumpulan. Dalam hal ini, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta persatuan dalam membantu Kerajaan melalui Kementerian bagi menjayakan program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kelak.
5. KPPK akan memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung pelaksanaan program ini melalui siaran media dan juga laman web kementerian di www.mpic.gov.my. Kementerian berharap melalui program dengan kerjasama pihak swasta ini, sasaran imuniti kelompok PPN dapat dicapai dengan lebih cepat.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 18 Jun 2021