KENYATAAN MEDIA PEJABAT SATELIT MTIB, MTC MUAR BAKAL RANCAKKAN INDUSTRI KAYU DAN PERABOT NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan pembukaan Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Muar, Johor. Pembukaan pejabat ini merupakan antara langkah konstruktif untuk memulihkan dan merancakkan industri perkayuan serta perabot pasca pandemik COVID-19.
2. Antara fungsi utama yang akan diberi tumpuan oleh pejabat satelit tersebut adalah menyelaras isu-isu industri perabot di daerah ini. Ia juga berperanan bagi menggalakkan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam industri perkayuan selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
3. Kerjasama antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kerajaan Negeri Johor akan terus diperkukuh bagi menggalas cabaran keperluan tenaga kerja, pematuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pembangunan Muar Furniture Park (MFP). Selain itu, kerjasama khidmat teknikal dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui pejabat ini mengenai aspek pembangunan reka bentuk produk, kepakaran teknikal dan ujian perabot akan diberi tumpuan.
4. Potensi besar industri perabot dan kayu-kayan khususnya di Muar merupakan salah satu faktor kepada pembukaan pejabat ini. Muar yang merupakan Bandar Perabot Malaysia, menjadi lokasi kepada 700 syarikat pengusaha perabot dengan 80 peratus daripadanya adalah kilang sederhana kecil. Pada tahun 2020, nilai eksport perabot kayu Malaysia mencatatkan sebanyak RM10.6 bilion dengan sumbangan daripada Johor adalah sebanyak 69 peratus dengan Muar merupakan penyumbang sebanyak 46 peratus kepada negeri ini.
5. Industri perkayuan Muar khususnya sektor perabot mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan dan infrastruktur yang mampan. KPPK akan terus memperkasa peranan sektor perkayuan dan perabot sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara yang signifikan dengan memberikan tumpuan terhadap peningkatan tahap produktiviti.
6. Kementerian berharap pihak industri di daerah Muar dapat mengambil manfaat secara maksimum penubuhan pejabat satelit ini dengan menyertai pelbagai program berkaitan penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti yang akan diatur oleh MTIB dan MTC kelak.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 11 Oktober 2021
PPVIN SEKTOR PERLADANGAN DAN AGRIKOMODITI MULA VAKSIN LEBIH 50,000 PEKERJA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperoleh kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Julai 2021 untuk melaksanakan program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi sektor ekonomi keempat iaitu perladangan dan agrikomoditi dikenali sebagai Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS).
2. Program VACOMS amat penting dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi khususnya kepada sektor agrikomoditi yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
3. Sebanyak tiga PPVIN sektor agrikomoditi sudah beroperasi dengan dua di bawah Program VACOMS iaitu di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya yang dikendalikan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bersama Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) menumpukan kepada sektor perladangan sawit dan getah manakala PPVIN MTC@Olak Lempit di Banting adalah melibatkan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) disediakan untuk industri perkayuan dan perabot.
4. PPVIN Ladang Tennamaram yang dibuka pada 26 Julai 2021 menyasarkan vaksinasi untuk 6,500 pekerja manakala PPVIN MTC@Olak Lempit yang mula beroperasi pada 28 Julai 2021 akan melibatkan seramai 10,000 pekerja. PPVIN Persatuan Perabot Muar (MFA) di Muar, Johor di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mula beroperasi pada 2 Ogos 2021 pula, adalah program vaksinasi melibatkan 30,000 pekerja. Sementara untuk subsektor getah, KPPK sudah mengemukakan permohonan Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada CITF untuk membuka PPVIN membabitkan 30,000 pekerja industri berkenaan sebagai permulaan.
5. Sehingga 11 Ogos 2021 jumlah pekerja yang sudah menerima vaksin dos pertama ialah seramai 11,048 orang di PPVIN PIKAS Muar, PPVIN Ladang Tennamaram (3,749 orang) dan PPVIN MTC@Olak Lempit (6,906 orang). KPPK menyasarkan semua pekerja akan melengkapkan proses vaksinasi mengikut tempoh yang ditetapkan. Sebagai sokongan kepada usaha pemberian vaksin ini oleh industri, MTC sedang mempertimbangkan subsidi sebanyak RM30 daripada kos keseluruhan iaitu RM85 untuk dua dos bagi setiap pekerja.
6. KPPK berharap lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat termasuk PPVIN bergerak. Ia pasti dapat menyumbang kepada proses peralihan fasa PPN dengan lebih pantas selaras dengan perubahan penetapan indikator dan nilai ambang yang baharu bagi menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi serta sosial. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Muar, Johor Darul Takzim 12 Ogos 2021
RUBBER FORUM 2021: MANFAATKAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEKTOR GETAH TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL
1. Industri getah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2020, industri getah telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sebanyak RM48.54 bilion, iaitu meningkat RM17.6 bilion atau 57 peratus lebih tinggi berbanding RM30.92 bilion pada tahun 2019. Menyedari kepentingannya kepada ekonomi negara, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah merancang pelbagai program serta inisiatif bagi meneruskan agenda pemerkasaan industri getah negara melalui pelbagai platform.
2. Terkini, KPPK melalui LGM menganjurkan Rubber Forum 2021 pada 9 Mac lalu. Lebih 200 peserta dalam kalangan wakil industri, persatuan getah dan agensi berkaitan telah menyertai program tersebut secara maya. Program ini dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan turut disertai oleh Pengerusi LGM YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris.
3. Rubber Forum merupakan platform bagi perkongsian maklumat dan sesi interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Isu-isu dan masalah terkini dibincangkan untuk mengukuhkan industri getah negara di sektor huluan dan hiliran. Antara perancangan Kerajaan yang telah dikongsikan dengan peserta adalah berkaitan Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) membabitkan pengeluaran getah krip berbanding getah sekerap yang akan memberikan nilai tambah pendapatan kepada pekebun kecil. Pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini boleh menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal bagi menyertainya. Bagi menjayakan pelaksanaan projek, sejumlah RM6 juta telah diperuntukkan.
4. Di samping itu, turut dimaklumkan kepada peserta ialah pembangunan Koridor Lateks Pantai Timur yang akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM16 juta pada tahun ini. Melalui pelaksanaan projek ini, KPPK mensasarkan peningkatan 5,000 hingga 10,000 tan lateks setahun dengan sumbangan kepada pendapatan bulanan pekebun kecil sehingga 30 peratus.
5. Selain itu, beberapa topik perbincangan telah diwacanakan merangkumi pencapaian industri getah, prospek bagi tahun 2021, perakuan klon benih getah bagi tahun 2021 dan lain-lain. Dialog dan sesi bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa sektor getah merupakan proses penting dalam membantu KPPK dan LGM menambahbaik perancangan bagi membangunkan industri getah negara.
6. Antara pencapaian terbaik tahun 2020 bagi LGM seperti yang dimaklumkan semasa forum berkenaan adalah kejayaan memenangi 10 anugerah peringkat nasional dan antarabangsa. Ini termasuk anugerah berprestij di International, Invention, Innovation & Technology Award (ITEX) 2020, Lawrence D'Eicher Award (LDE Award) 2020, Anugerah Keseluruhan Bersempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2020 dan kedudukan ditangga ke-13 oleh LGM bagi pemohon paten tertinggi di Malaysia pada tahun 2020.
7. Adalah diharapkan Rubber Forum 2021 dapat memberi manfaat dengan sebaiknya kepada semua pihak dan menjadikannya antara forum yang dinanti-nantikan setiap tahun.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 13 Mac 2021
PEMBUKAAN PEJABAT SERANTAU AGRIKOMODITI MALAYSIA SEBAGAI HUB KOMODITI DI JEDDAH PERTINGKAT PASARAN KE TIMUR TENGAH DAN AFRIKA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kejayaan rundingan di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai perkara termasuk mempromosi industri sawit negara terutamanya untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.
2. Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat negara ini untuk mengeksport minyak sawit dengan kuantiti yang lebih besar. Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta pada tahun lalu kepada 500,000 tan bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi tahun 2021.
3. Susulan kepada potensi pasaran yang tinggi, KPPK sedang dalam usaha untuk membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Jeddah, Arab Saudi. Pejabat serantau ini akan dijadikan Hub Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah yang masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang. Pembukaan pejabat ini merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau berkenaan termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa hadapan.
4. Hubungan antarabangsa melalui strategi pembukaan pejabat serantau seperti ini adalah penting bagi meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia di pasaran global. Ia juga selaras dengan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan pada 10 Februari 2021 yang lalu bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada dunia dengan menggunakan elemen pendidikan dan pada masa sama menangkis kempen antiminyak sawit.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 14 Mac 2021
MALAYSIA MULAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS KESATUAN EROPAH BERIKUTAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT
1. Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada hari ini bertarikh 15 Januari 2021 dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta negaranegara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
2. Tindakan undang-undang ini adalah susulan dari langkah-langkah yang dikenakan oleh EU dan negara-negara anggota EU tersebut berkaitan pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II) yang memberi kesan kepada industri sawit negara. Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II. Namun begitu, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tersebut tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia.
3. Pelaksanaan EU RED II ini telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung atau Indirect Land Use Change (ILUC) yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui (renewable energy target) dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak wajar terhadap industri sawit negara. Tindakan EU ini juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO.
4. Tindakan undang-undang ini menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit Negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU tersebut. Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian (Dispute Settlement Body) dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO. Malaysia akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO yang akan diadakan kelak.
5. Pada masa yang sama, Malaysia juga akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia (Kes No. DS 593: European Union – Certain measures concerning palm oil and oil palm cropbased biofuels) melalui DSM di WTO. Penglibatan Malaysia ini adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.
6. Kerajaan Malaysia melalui KPPK akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 15 Januari 2021