SIARAN MEDIA 2021

si

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA SEBAGAI PENYUMBANG UTAMA EKONOMI DI BAWAH
KEPIMPINAN BAHARU

1. Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri baharu yang memulakan tugas beliau hari ini. KPPK juga mengucapkan selamat kembali kepada kedua Timbalan Menteri iaitu Dato' Sri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Willie Anak Mongin yang dilantik semula bagi membantu YB Menteri.

2. Kementerian juga amat berbesar hati menerima seorang lagi Menteri wanita sebagai peneraju yang berketrampilan dan gaya kepimpinan tersendiri dengan pengalaman termasuk di sektor koporat serta gandingan kedua-dua Timbalan Menteri diperkuatkan dengan semangat kerjasama keseluruhan warga MPIC.

3. KPPK akan dipacu bagi mengemudi pembangunan industri agrikomoditi negara malah ke paras yang lebih tinggi sebagai antara sektor yang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi negara.

4. Penghargaan dan terima kasih daripada Pengurusan Tertinggi dan warga KPPK kepada mantan menteri, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas segala panduan dan nasihat sepanjang kejayaan menerajui Kementerian sebelum ini.

5. Warga KPPK akan terus melaksanakan tugasan dengan komitmen yang tinggi, beramanah serta berintegriti pada setiap masa sebagai penjawat awam. YB Menteri sudah pastinya akan membawa idea dan pendekatan baharu yang segar demi manfaat pemegang taruh khususnya kepada lebih 500,000 pekebun kecil dan memulihkan industri agrikomoditi yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

6. Sebagai penyumbang kedua tertinggi selepas sektor elektronik dan elektrikal kepada pendapatan eksport negara, sektor agrikomoditi akan dapat mengekalkan kepentingannya malah dapat dimajukan ke tahap yang lebih tinggi dibawah kepimpinan YB Menteri baharu.

7. KPPK berharap dengan kerjasama yang erat di antara Anggota Pentabiran, Pengurusan Tertinggi, Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Agensi dan Majlis serta warga Kementerian, ia akan menjadi tunjang kejayaan dan kemakmuran bersama.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
1 September 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK SERU LEBIH RAMAI PEKEBUN KECIL PERSENDIRIAN SERTAI KOPERASI PENANAM SAWIT MAMPAN

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Serian, Sarawak anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Pada majlis ini, Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Serian Berhad menerima cek sumbangan sebanyak RM73,950 untuk Skim Bantuan Pembelian Jentera selain seramai 30 wakil pekebun kecil persendirian (PKP) memperoleh sumbangan insentif berupa kelengkapan perlindungan diri (PPE).

2. Sehingga 31 Oktober 2021, terdapat seramai 40,429 PKP berlesen di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan tanaman sawit seluas 232,765.18 hektar di Sarawak. Sebanyak 27,633 daripada PKP ini dengan keluasan tanaman 158,522.34 hektar atau 68 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit PKP berlesen, telah memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) negeri ini.

3. Jumlah itu termasuk sebanyak 559 PKP yang merupakan ahli SPOC Q6 (Tebedu) dan yang berdaftar di bawah SPOC Q5 (Serian) seramai 861 orang. Bagi meringankan beban pekebun kecil untuk memperoleh MSPO, insentif sebanyak RM25 juta disediakan oleh Kerajaan pada tahun ini. Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, pengauditan, PPE, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.

4. Sebanyak 69 KPSM ditubuhkan termasuk di Sabah (27) dan Sarawak (18). Data MPOB merekodkan, daripada 40,429 PKP berlesen di Sarawak, hanyak 3,476 pekebun kecil sahaja yang menjadi ahli KPSM. YB Timbalan Menteri menyeru supaya lebih ramai pekebun kecil menyertai KPSM Daerah Serian Berhad berikutan hanya 543 pekebun kecil yang menjadi ahli daripada seramai 2,086 PKP yang ada.

5. KPPK berharap lebih ramai PKP menyertai KPSM yang dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka dengan lebih tersusun. Para pekebun kecil diminta berhubung dengan Pegawai TUNAS MPOB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPSM.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Serian, Sarawak
10 Disember 2022

Jata

KENYATAAN MEDIA


LAWATAN KERJA
DATO’ SRI DR. WEE JECK SENG
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
KE LEMBAGA KOKO MALAYSIA, NILAI, NEGERI SEMBILAN,
10 MAC 2021


1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia, di Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2021 bagi meninjau pembangunan aktiviti penyelidikan hiliran koko.

2. Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Nilai adalah pusat yang menjalankan aktiviti Penyelidikan & Pembangunan (R&D), menyediakan khidmat analisis, pengeluaran blok coklat dan coklat
Chocolate Royale, aktiviti unit pembangunan usahawan coklat buatantangan, aktiviti unit pelesenan dan kawalan kualiti.


3. Antara penyelidikan hiliran yang sedang dilaksanakan di pusat ini adalah produk penjagaan diri, kosmetik, bahan untuk farmaseutikal, produk ais krim lemak koko, kajian berkaitan perisa koko, bahanwangian daripada koko, tablet minuman koko, kajian mengenai keselamatan produk dan penyelidikan bioteknologi koko. Pada tahunlepas, sebanyak 10 produk hasil kajian LKM telah dikomersialkan.


4. Makmal Khidmat Analisis LKM di PITK Nilai telah diakreditasi di bawah standard ISO/IEC 17025:2017. Sebanyak 32 analisis ditawarkan yang terdiri daripada analisis fiziko-kimia, proksimat, analisis sisa-baki pestisid, kandungan cemaran logam berat, mikrobiologi serta sensori.

5. Chocolate Royale Plant adalah satu entiti untuk menguruskan penghasilan dan penjualan blok coklat susu, pahit, kompaun coklat susu, praline dan produk siap panned. Produk blok coklat susu, pahit, kompaun coklat susu, praline dan produk siap panned yang dihasilkan setiap hari bagi memenuhi permintaan harian dan tempahan.

6. Unit Pembangunan Usahawan Coklat (UPUC) di pusat ini menyediakan perkhidmatan kursus asas dan kursus lanjutan pembuatan coklat buatan tangan kepada sesiapa yag berminat serta klinik usahawan untuk pembangunan para usahawan coklat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
10 MAC 2021

 Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI SAWIT LABUH TIRAI 2020 DENGAN CEMERLANG, UNJURAN LEBIH BAIK PADA 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook (R&O) Virtual Conference 2021. Persidangan anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ini memberi tumpuan kepada kemajuan industri minyak sawit sepanjang tahun 2020 dan sasaran pencapaian tahun 2021 serta perkembangan perdagangan di peringkat global.

2. Pencapaian industri sawit pada tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 khususnya prestasi eksport dan harga minyak sawit. Harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) bagi tahun 2020 meningkat dengan ketara kepada RM2,685.50 per tan berbanding RM2,079 per tan pada tahun 2019. Harga MSM berada di paras tertinggi, RM3,835.50 per tan pada 24 Disember 2020 berbanding paras terendah RM2,021.50 per tan pada 12 Mei 2020, iaitu peningkatan sebanyak 89.7 peratus. Bagi tahun 2021, harga MSM dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik berdasarkan kepada perkembangan terkini.

3. Pengeluaran MSM pada tahun 2021 diunjurkan sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.

4. Pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) secara mandatori sejak 1 Januari 2020 meliputi sektor ladang, pekebun kecil dan kilang kelapa sawit bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan dan penjenamaan minyak sawit Malaysia yang menyumbang peningkatan daya saing industri itu di peringkat global. Pematuhan Pensijilan MSPO membuktikan pengeluaran minyak sawit Malaysia memenuhi pelbagai keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk amalan perburuhan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

5. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO. Sejumlah 434 kilang atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.

6. Bagi pekebun kecil, seluas 311,739.51 hektar (31.61 peratus) kawasan tanaman sawit persendirian telah dipersijilkan MSPO, manakala pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi kerajaan negeri telah mencapai 98.54 peratus atau seluas 671,583.90 hektar disijilkan.

7. Kesemua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah memperoleh sijil MSPO yang melibatkan penyertaan 94,328 orang pekebun kecil persendirian (37.74 peratus) dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 369,369 hektar (38.87 peratus).

8. Kementerian melalui Agensi dan Majlis di bawahnya akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan penglibatan pemain industri dan pekebun kecil dalam pelaksanaan pensijilan MSPO. MPOB telah menyediakan kemudahan pendaftaran MSPO secara dalam talian di mspo.mpob.gov.my dan di 53 pejabat cawangan MPOB di seluruh negara. MPOB juga memperkenalkan kaunter bergerak MSPO yang akan berada di kawasan-kawasan strategik untuk pekebun kecil mendaftar.

9. Pada tahun 2021, KPPK optimis prestasi perdagangan minyak sawit akan lebih baik berikutan ramalan positif ekonomi negara selain produktiviti yang dijangka meningkat berikutan amalan pertanian baik yang menjadi asas kepada Pensijilan MSPO.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kajang
11 Januari 2021

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SYARIKAT ANTARABANGSA TURKI JALIN KERJASAMA PERNIAGAAN BERSAMA MPOC BERKAITAN INDUSTRI DEDAK ISIRUNG SAWIT MALAYSIA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan BRB Holding (BRB), sebuah syarikat Turki bertaraf multinasional yang terlibat dengan pelbagai projek antarabangsa di lebih 100 buah negara merangkumi bidang penternakan.

2. Melalui memorandum persefahaman ini, BRB yang ditubuhkan pada tahun 1994 akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran makanan haiwan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan pasaran Eropah terpilih. Dalam hal ini, kedua-dua pihak akan memperincikan kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan seperti mana dipersetujui.

3. Selain itu, MPOC juga akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai faedah tekno-ekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui penganjuran seminar serta kesedaran mengenai kelebihan produk PKC kepada sektor ruminan Turki.

4. Pada majlis berkenaan, MPOC diwakili Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasaran, Encik Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRB oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Harun Macit. Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, YM Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Encik Mad Zaidi Mohd Karli.

5. PKC mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos. Berdasarkan kajian, penyediaan makanan haiwan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding rumusan konvensional. Kelebihan dari sudut penjimatan kos dijangka akan melonjakkan industri ini. Dari Januari hingga Mei 2021, eksport PKC ialah sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000. Berdasarkan kajian, purata eksport PKC adalah dianggarkan 2.4 juta tan setahun. Namun, pada tahun 2020, Malaysia telah mengeksport sebanyak 2.6 juta tan. Manakala, pasaran tempatan memerlukan bekalan sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara.

6. KPPK berharap agar usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPOC dengan kerjasama agensi berkaitan dapat membantu perkembangan industri PKC negara dan seterusnya melonjakkan industri tersebut.

DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Istanbul, Turki
11 Julai 2021