SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA CATAT NILAI DAGANGAN RM169.2 BILION SEHINGGA NOVEMBER 2020
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan Prestasi Perdagangan Sektor Agrikomoditi 2020 sehingga November lalu telah mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM169.2 bilion, meningkat sebanyak 10.6 peratus berbanding RM153 bilion yang direkodkan pada tahun 2019.
2. Sehingga November 2020, pendapatan eksport produk agrikomoditi adalah sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara, berkembang positif sepanjang tempoh Januari hingga November 2020. Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM) serta peningkatan yang ketara pada permintaan produk-produk berasaskan getah.
3. Produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 10.7 peratus kepada 23.9 juta tan.
4. Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan komoditi itu.
5. Pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan oleh Kerajaan pada 5 Jun tahun lalu, telah mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk-produknya.
6. Selain itu, kesan pengurangan duti import sebanyak 5 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020 merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India.
7. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 32 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi telah meningkat sebanyak 50.5 peratus kepada RM42.6 bilion bagi tempoh yang sama. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan kenaikan ketara iaitu sebanyak 92.4 peratus kepada RM30.6 bilion berbanding RM15.9 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 28 peratus kepada 914,000 tan berbanding 714,000 tan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
8. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 14.9 peratus kepada eksport barangan komoditi. Nilai eksportnya menurun sebanyak 3.3 peratus kepada RM19.8 bilion.
9. Eksport produk koko turut mencatatkan penurunan kepada RM5.6 bilion iaitu pengurangan sebanyak 6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Senario itu turut membabitkan produk lada yang mengalami situasi sama iaitu menurun sebanyak 18.5 peratus kepada RM109 juta berbanding tahun 2019.
10. Antara pasaran utama bagi eksport produk agrikomoditi negara seperti Amerika Syarikat (AS), ia menunjukkan peningkatan sebanyak 46.9 peratus kepada RM21.8 bilion dengan sarung tangan getah mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 73.6 peratus kepada RM10.2 bilion.
11. Eksport produk-produk agrikomoditi ke China pula meningkat sebanyak 18.1 peratus kepada RM18.3 bilion. Nilai dan kuantiti eksport minyak sawit mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 49.2 peratus dan 17.8 peratus kepada RM6.4 bilion dan 2.4 juta tan.
12. Justeru, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi sehingga November 2020, KPPK yakin prestasi perdagangan sepanjang tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun 2019 dan percaya momentum ini akan berterusan serta kekal positif bagi tahun 2021.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 7 Januari 2021
KENYATAAN MEDIA PULAU PINANG SUMBANG RM1.16 BILION EKSPORT PRODUK KAYU-KAYAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini berdialog dengan pemain industri kayu-kayan di utara tanahair pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar Ramadan yang dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
2. Sesi berkenaan adalah yang ketiga YB Menteri berdialog dengan pemain industri kayu-kayan selepas perjumpaan di Kuala Lumpur (3 Mei) dan Melaka (6 Mei) bersempena program Jerayawara MTC 2021 untuk memberi taklimat tentang perkembangan pasaran terkini di samping langkah dan usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan di persada dunia.
3. Industri kayu-kayan tidak terkecuali dari mendepani norma baharu ini akibat wabak COVID-19. Justeru, beberapa program telah dibangunkan oleh MTC bagi memastikan kelangsungan industri kayu-kayan. Salah satunya adalah Program Inkubator Reka Bentuk (DIP) yang menghubungkan pereka/arkitek tempatan dengan syarikat berasaskan kayu dan perabot untuk menghasilkan produk kayu dan perabot bernilai tinggi buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa. Sehingga kini, terdapat 14 pengusaha produk kayu dan perabot yang dipadankan dengan pereka/arkitek dan akan mempamerkan produk keluaran mereka buat julung kalinya di Pameran EFE (Export Furniture Exhibition) pada Ogos ini.
4. Selain itu, MTC juga telah mewujudkan sebuah program dikenali sebagai TimbeReality khusus untuk para pemain industri mempromosikan produk kayu-kayan mereka melalui saluran Realiti Maya atau Virtual Reality (VR).
5. Bagi menggalakkan syarikat perkayuan mentransformasikan perniagaan mereka sejajar dengan keperluan semasa, MTC telah menyediakan program Young Entrepreneur Society (YES). Program ini direka untuk membantu industri di dalam perancangan peralihan pengurusan perniagaan kepada generasi muda,
6. Sebagai salah satu penyumbang utama kepada pendapatan nilai eksport negara, Pulau Pinang dilihat mampu untuk meningkatkan lagi prestasi prengeluaran produk kayu bernilai tinggi. Dengan lebih 100 pengusaha berasaskan kayu-kayan, Pulau Pinang telah mencatatkan sumbangan sebanyak 5.3 peratus atau RM1.16 bilion nilai eksport pada tahun 2020.
7. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan sesi dialog ini, semua pihak berkepentingan dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran dalam industri sekaligus dapat merancakkan lagi ekonomi negara pada tahun ini dan masa akan datang.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Pulau Pinang 7 Mei 2021
PENGKOMERSIALAN TEKNOLOGI MPOB SUMBANG PENDAPATAN LEBIH RM5 BILION
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Webinar Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). TOT 2021 diadakan secara dalam talian bertepatan dengan norma baharu dan pematuhan prosedur standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membendung penularan COVID-19. Ia adalah acara tahunan MPOB bagi memperkenalkan teknologi baharu yang dibangunkan oleh para penyelidik agensi berkenaan bagi tujuan pengkomersialan dan diguna pakai dalam industri sawit.
2. Sehingga kini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan kepada pihak industri dan usahawan tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 221 atau 31.17% teknologi dan inovasi MPOB telah berjaya dikomersialkan termasuk dalam kalangan usahawan kecil sederhana.
3. Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan dan formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit. Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion.
4. Pada TOT 2021, MPOB melancarkan empat teknologi baharu merangkumi teknologi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim sawit bagi rawatan efluen kilang kelapa sawit dan kejenteraan ladang bagi pengangkutan buah tandan segar. Empat teknologi tersebut adalah seperti berikut:
i. Teknologi menggunakan bakteria endofitik sebagai agen kawalan biologi yang berkesan bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) disebabkan oleh kulat Ganoderma.
ii. Teknologi bagi mengawal penyakit reput batang atas (USR) pada pokok sawit dengan pengesanan simptom awal menggunakan racun sistemik, hexaconazole.
iii. Inovasi sistem rawatan bahan buangan sawit atau efluen kilang kelapa sawit (POME).
iv. Pembangunan jentera untuk membantu memunggah buah tandan segar (BTS) di ladang.
5. Pada TOT 2021 juga, tiga produk dilancarkan hasil kerjasama pengkomersialan dengan syarikat tempatan iaitu pengkomersialan teknologi kawalan penyakit Ganoderma, produk poliol berasaskan sawit bagi kegunaan sektor industri dan alat pemotong buah sawit berkuasa elektrik dikenali Cantas Elektro.
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB memberi penekanan kepada penyelidikan dalam bidang mekanisasi dan automasi seperti pembangunan jentera ladang khususnya bagi kerja-kerja penuaian buah sawit yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang. Penggunaan mekanisasi juga adalah strategi kerajaan bagi mengurangkan kerbergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam perladangan sawit sekaligus menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Bangi 1 Julai 2021
SEKTOR AGRIKOMODITI TERPILIH DIBENARKAN BEROPERASI SEPANJANG PENUTUPAN PENUH PKP
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius kepada pelaksanaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 hingga 14 Jun 2021. Penutupan penuh aktiviti dan operasi bagi sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara melainkan perkhidmatan perlu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berikutan kenaikan mendadak kes harian COVID-19 mutakhir ini.
2. Sebagai perkhidmatan perlu di bawah perladangan dan komoditi, subsektor sawit, getah, koko dan lada serta rantaiannya adalah dibenarkan untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh berkenaan. Aktiviti melibatkan penuaian, pengumpulan, pengangkutan dan penyelenggaraan pada peringkat ladang, kebun serta tapak semaian boleh dilaksanakan dengan kehadiran pekerja pada tahap optimum. Begitu juga bagi aktiviti dagangan subsektor agrikomoditi tersebut seperti jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian termasuk penyemaian anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin turut dibenarkan.
3. Selain daripada itu, sebagai menyokong sektor tenaga sebagai salah satu perkhidmatan perlu, subsektor biodiesel dan rantaiannya juga dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, kehadiran pekerja di kilang atau premis pemprosesan bagi subsektor yang dibenarkan iaitu sawit, getah, koko, lada dan biodiesel adalah tertakluk kepada had maksima sehingga 60 peratus.
4. Bagi subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan itu dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan COVID-19. Bagaimanapun, KPPK mengingatkan bahawa bagi aktiviti subsektor kayu-kayan dan kenaf adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan penuh PKP ini.
5. Sehubungan itu untuk kemudahan sementara, semua syarikat, estet dan pekebun kecil agrikomoditi bagi subsektor yang diluluskan, dibenarkan menggunakan surat kelulusan oleh KPPK dan Agensi secara bersekali untuk beroperasi sebelum pendaftaran COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan.
6. Justeru, semua pemain industri terutama kepada majikan dan pekerja hendaklah memastikan SOP baharu yang telah ditetapkan dipatuhi. Pemantauan yang lebih kerap oleh majikan kepada pematuhan oleh pekerja hendaklah dilaksanakan. Antaranya penggunaan aplikasi MySejahtera, suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan tidak bergejala. Sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.
7. Majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi terkini yang dikemas kini oleh KPPK. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-88803498, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui emel: hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my. KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 1 Jun 2021
KENYATAAN MEDIA R&D LEMBAGA GETAH MALAYSIA BANTU TINGKATKAN UNJURAN EKSPORT PRODUK PERKAYUAN NEGARA
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng hari ini mengadakan lawatan kerja ke stesen penyelidikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Kota Tinggi dan Penawar, Johor Darul Takzim.
2. Pada lawatan kerja ini, beliau melihat sendiri operasi Kompleks Integrasi Pemprosesan Getah (IPC) yang berperanan meningkatkan industri getah melalui pembangunan teknologi pemprosesan produkproduk bahan termaju dan mesra alam berasaskan getah, selain diberikan taklimat berkenaan penyelidikan LGM berkaitan klon getah, pokok transgenik dan teknologi penorehan.
3. Sementara di Penawar, YB Timbalan Menteri melawat ladang bertujuan melihat penyelidikan ladang hutan getah yang dijalankan oleh LGM. Penyelidikan berkenaan khusus untuk klon lateks balak dan klon balak ini mampu membantu meningkatkan produktiviti serta eksport produk kayu-kayan.
4. Ladang hutan getah disasarkan akan menjadi alternatif bekalan bahan mentah dalam bentuk kayu getah bermutu dalam usaha mengembangkan lagi potensi industri perabot negara.
5. Kementerian berharap dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh LGM ini, berupaya meningkatkan pengeluaran serta hasil getah negara di samping dapat menokok pendapatan negara melalui eksport perkayuan negara khususnya perabot.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Penawar, Johor Darul Takzim 1 November 2021