KOMITMEN TINGGI KERAJAAN MERINGANKAN BEBAN PEKEBUN KECIL GETAH MELALUI INSENTIF PENGELUARAN GETAH DAN RRIMNIAGA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) terus komited di dalam usaha meringankan beban lebih 450,000 pekebun kecil getah terutama semasa keadaan ekonomi yang mencabar pada tahun lalu dan impak wabak COVID-19 yang masih menular sehingga kini.
2. Program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan penggunaan aplikasi RRIMniaga adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah serta memastikan aktiviti pengeluaran produk komoditi itu diteruskan, di samping menstabilkan pendapatan pekebun kecil. Untuk itu, Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta bagi IPG pada tahun 2021 iaitu pertambahan sebanyak 100 peratus berbanding peruntukan pada tahun lalu (RM150 juta).
3. Sepanjang tahun 2020, sebanyak 30.16 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menuntut IPG. Peratusan menuntut IPG dijangka akan meningkat pada tahun ini dengan penggunaan aplikasi RRIMniaga oleh peraih/pembeli getah yang telah diwajibkan mulai 1 Januari 2021. Aplikasi ini membolehkan IPG disalurkan terus kepada pekebun kecil tanpa proses permohonan manual.
4. Peratusan pekebun yang aktif mengemukakan tuntutan adalah seramai 135,632 dari keseluruhan 495,296 pemegang kad PAT-G. Jumlah itu membabitkan kebun getah seluas 294,095.79 hektar. Dengan bantuan IPG, anggaran pendapatan pekebun kecil diunjur meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM933 kepada RM1,167 sebulan. Ini berdasarkan kepada purata pemilikan kebun seluas 2 hektar dan harga getah cuplump di ladang sebanyak RM2 sekilogram. Kerajaan tidak pernah berhenti malah akan terus membantu golongan pekebun kecil ini khususnya dalam keadaan harga pasaran getah rendah.
5. Diharapkan dengan usaha Kerajaan ini, kesan ekonomi semasa dan wabak COVID-19 kepada pendapatan pekebun kecil getah dapat dikurangkan, sekaligus menjaga kesejahteraan mereka yang merupakan akar umbi industri getah Malaysia.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 31 Januari 2021
KENYATAAN MEDIA MTC SEDIA DANA PEMBANGUNAN RM28.3 JUTA UNTUK INDUSTRI KAYU-KAYAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini meluangkan masa bertemu dengan para pemain industri kayu-kayan pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar di Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) ini diadakan bersempena program Jerayawara MTC 2021 untuk memberi penerangan tentang perkembangan pasaran terkini di samping langkah dan usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.
2. Program ini merupakan acara tahunan MTC untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan industri kayu-kayan di peringkat negeri. YB Menteri juga dijadual bertemu dengan pemain industri kayu-kayan di peringkat negeri di dalam sesi yang sama bermula dengan Melaka (6 Mei), Seberang Jaya, Pulau Pinang (7 Mei) dan Johor Bahru, Johor (10 Mei).
3. Sebagai agensi berkaitan perkayuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), MTC telah memperuntukkan sebanyak RM28.3 juta bagi dana pembangunan agar industri kayu-kayan lebih berdaya saing. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara sehingga Februari 2021 mencatatkan nilai sebanyak RM3.78 bilion, penurunan sebanyak 3.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 berikutan kesan pandemik COVID-19.
4. MTC telah mengambil beberapa initiatif baru bagi membantu para pemain industri iaitu: (a) Young Entrepreneur Society (YES), sebuah program yang direka untuk membantu peralihan kepimpinan pengasas kepada pengganti dalam industri perkayuan. (b) Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah dalam Industri Kayu Kayan 2021 (EPIP). (c) TimbeReality, sebuah program khusus untuk mempromosikan produk kayu Malaysia di platform maya. (d) Program Inkubator Reka Bentuk 2.0, program yang menghubungkan pereka/arkitek tempatan dengan syarikat berasaskan kayu dan perabot untuk menghasilkan produk kayu dan perabot bernilai tinggi buatan Malaysia; (e) Program Keusahawanan Pemasaran Digital (f) Program Bantuan Eksport (EAP).
5. Sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, YB Menteri turut menyampaikan sumbangan MTC kepada Pertubuhan Pendidikan dan Kebajikan Al-Munir Malaysia serta Pertubuhan Kebajikan Nur Hati Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. KPPK berharap program seperti ini dapat mengeratkan kerjasama MTC dengan pemain industri perkayuan di seluruh negara di samping merancakkan lagi sektor kayu-kayan negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuala Lumpur 3 Mei 2021
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik gesaan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta semalam untuk terus mengukuhkan kerjasama Malaysia dengan Indonesia bagi menentang diskriminasi ke atas minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain.
YAB Perdana Menteri dalam sidang media bersama Presiden Indonesia telah menzahirkan kebimbangan kedua-dua negara berikutan kempen antiminyak sawit. Kempen berkenaan adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit yang sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara. Kempen itu juga adalah bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri juga telah memaklumkan bahawa Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang ke atas EU melalui WTO pada 15 Januari 2021. Pemakluman ini adalah seiring dengan kenyataan saya yang dikeluarkan pada 15 Jan 2021 sejurus penfailan tersebut dilakukan. Tindakan sama juga telah diambil oleh Indonesia ke atas EU pada Disember 2019.
Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia untuk menentang diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak. Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan industri sawit. Indonesia dan Malaysia yang masing-masing merupakan negara pengeluar pertama dan kedua terbesar di dunia, juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan dan memelihara industri sawit di kedua-dua negara.
Selaku Menteri, saya yang bertanggungjawab menjaga kepentingan industri sawit, akan berusaha sehabis baik bagi melindungi industri komoditi negara ini. Selaras dengan gesaan YAB Perdana Menteri supaya kerangka CPOPC diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutamanya Malaysia dan Indonesia, saya akan berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya
KERAJAAN SEDIA DANA RM500 JUTA UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN LADANG HUTAN (PPLH 2.0) DALAM RMK-12
1. Tahun 2020 adalah sangat mencabar bagi rakyat dan negara. Penularan COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa malahan turut menjerut ekonomi negara-negara sedunia. Kesan ini juga turut dirasai oleh pemain-pemain industri kayu-kayan di seluruh negara, justeru Kementerian telah merangka pelbagai insentif sebagai menyokong pertumbuhan sektor komoditi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
2. Bagi memastikan sektor perkayuan terus disokong, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0). Ini membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan berterusan pada masa hadapan.
3. PPLH 2.0 kali ini berbeza dengan program sebelum ini, di mana kaedahnya adalah berlandaskan kepada pembiayaan patuh syariah. Kelebihannya ialah segala urusan pelanggan dilaksanakan secara telus dan pelanggan dapat melihat segala proses aliran kewangan yang terlibat. Pelanggan juga dibekalkan maklumat dengan jelas jumlah keseluruhan pembiayaan tanpa sebarang caj tambahan dan tersembunyi serta dilindungi takaful.
4. Lebih menarik lagi pembiayaan ini adalah satu-satunya pinjaman mudah bagi pembangunan ladang hutan yang ditawarkan di dalam negara ini. Malah kadar dan tempoh keseluruhan pembiayaan serta tempoh penangguhan kelak memberikan keuntungan kepada para pelanggan. Kementerian bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) sentiasa komited dalam menambah baik program ini dari semasa ke semasa.
5. Pelaksanaan PPLH terdahulu yang dimulakan sejak tahun 2007 telah pun berakhir pada tahun lalu. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 126,457.99 hektar ladang hutan telah dibangunkan dan melibatkan 82 perjanjian daripada 70 buah syarikat dari seluruh Malaysia. Syarikat-syarikat peminjam akan mula membuat pembayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai.
6. Kementerian berharap syarikat-syarikat peminjam dapat membuat perancangan bayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian terutamanya peminjam yang akan membuat pembayaran mulai tahun 2022. Kelancaran pembayaran balik ini penting bagi memastikan kelangsungan program pembangunan ladang hutan bagi memenuhi jaminan kelestarian dan daya saing industri perkayuan Malaysia di pasaran tempatan serta antarabangsa.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 6 Februari 2021
KENYATAAN MEDIA RM2.8 JUTA DANA UNTUK TRANSFORMASI OPERASI DAN PENDIGITALAN INDUSTRI KAYU-KAYAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menghadiri perjumpaan dengan para pemain industri kayukayan pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar Ramadan di Hotel La Crista, Melaka. Majlis ini turut dihadiri EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, YB Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mewakili Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali.
2. Sesi kali ini adalah yang kedua dalam siri Jerayawara Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) 2021 selepas YB Menteri berdialog dengan pemain industri kayu-kayan di Kuala Lumpur pada 3 Mei 2021. Sesi berkenaan adalah untuk memberi taklimat tentang perkembangan pasaran terkini di samping langkah dan usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan di persada dunia.
3. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, industri kayu-kayan berdepan dengan pelbagai cabaran baharu termasuk cabaran Revolusi Industri 4.0. MTC telah memperuntukkan RM2.8 juta dari dana pembangunan RM28.3 juta untuk membantu industri mentransformasikan operasi mereka ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan.
4. Ini bagi mengurangkan kebergantungan industri kepada tenaga buruh asing dan membuka peluang pekerjaan yang lebih kepada tenaga tempatan. Sehingga kini, sektor perkayuan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 140,000 pekerja yang berkhidmat di 3,500 kilang berasaskan kayu di seluruh negara.
5. Selain itu, MTC turut menyediakan Program Bantuan Eksport (EAP) dengan dana RM1 juta kepada pengeksport produk kayu Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengurangkan beban kos pengangkutan laut yang melambung tinggi akibat kesan pandemik COVID-19. 1
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkarap dengan wujudnya program serta insentif pembangunan MTC, ia dapat membantu lebih 30 pengusaha dan pengilang kayu di Melaka bagi meningkatkan lagi prestasi pengeluaran produk kayu yang bernilai tinggi demi kelangsungan perniagaan dan ekonomi negara. KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Melaka 6 Mei 2021