CADANGAN INISIATIF BELANJAWAN 2021 BAGI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI
1. Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bagi sektor perladangan dan komoditi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi tumpuan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.
2. Antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G). Namun, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar. Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.
3. Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan. Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan.
4. KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan. Oleh itu, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump. Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan. KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.
5. Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya
HOSPITAL SELAYANG TERIMA SUMBANGAN MESIN VENTILATOR DAN KIT UJIAN (TEST KIT) COVID-19 BERNILAI RM334,000
1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.
2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.
3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.
4. Untuk rekod, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.
5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.
6. Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA berharap ia dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Selayang, Selangor 4 Ogos 2020
MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH DAN PENGGALAKAN RAKYAT MALAYSIA BEKERJA DI SEKTOR HILIRAN GETAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan negara akibat penularan wabak COVID-19.
2. Sebagai usaha mengembalikan kerancakan ekonomi negara, KPPK yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.
3. Dalam pada itu, selaras dengan tanggungjawab mempromosi barangan getah negara di pasaran domestik dan global, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), iaitu agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Ia mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.
4. Sejajar dengan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
5. Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.
6. Kementerian terus komited dalam memperkasakan industri getah negara dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Kuala Lumpur 4 Ogos 2020
LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KOTA SAMARAHAN, SARAWAK BAGI MENINJAU KEMAJUAN PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO
1. Pada hari ini, 5 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak bagi meninjau perkembangan dan kemajuan terkini pembangunan kompleks SARA Cocoa Cluster.
2. SARA Cocoa Cluster merupakan kawasan penanaman koko yang tertumpu di Sebuyau, Asajaya, Kota Samarahan dan Padawan yang turut melibatkan kawasan parlimen Puncak Borneo. SARA Cocoa Cluster ini dicadangkan untuk diperluaskan lagi sehingga merangkumi kawasan Tebedu dan Serian. Di negeri Sarawak, keluasan tanaman koko adalah seluas 860 hektar dengan seramai 1,138 orang pekebun kecil koko.
3. Program Pembangunan Rantaian Cocoa Cluster merupakan game changer di peringkat huluan koko yang telah dirangka oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan dilaksanakan mengikut konsep Farm to Table iaitu model beans to chocolate.
4. Melalui pelaksanaan program ini, pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko serta komuniti setempat dapat ditingkatkan. Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi bagi tanaman baru yang berpotensi untuk dimajukan. Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pekebun kecil yang hendak meluaskan kebun atau menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggarakan. Sebanyak RM12.8 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tujuan ini.
5. Di bawah Pakej Rangsangan PRE PRIHATIN 2020, Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta bagi 3,895 hektar kebun koko dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,943 pekebun kecil koko yang layak. Pemberian bantuan ini diharap dapat membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19 bagi tujuan penyelenggaraan kebun.
6. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program-program bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko dan seterusnya pembangunan industri koko negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 6 Jun 2020
Kebelakangan ini isu pencemaran daripada kilang-kilang produk berasaskan getah telah mendapat perhatian umum berikutan beberapa aduan telah dilaporkan. Pencemaran yang tidak terkawal ini boleh menjejaskan alam sekitar dan membahayakan kesihatan dan kehidupan air khususnya yang melibatkan pencemaran sungai. Maka pengurusan efluen perlu diuruskan secara efektif dan efisyen oleh semua kilang melalui peraturan berkaitan yang berkuatkuasa.
Kementerian memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan pengilang yang melanggar peraturan yang ditetapkan terutama syarikat yang telah diberi kelonggaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum ini, terdapat syarikat berkaitan dengan industri getah di Sungai Meru, Kawasan Perindustrian Jelapang, Perak didapati menyebabkan insiden pencemaran alam sekitar disebabkan pekerjanya telah cuai dan melepaskan lateks ke dalam sungai berhampiran.
Terkini, pada 3 Mei 2020, Kementerian menerusi pasukan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah bertindak segera turun ke kilang produk getah di Bukit Beruntung yang dipercayai melepaskan efluen berbuih ke longkang awam melalui aduan yang diterima pada 2 Mei 2020. Secara ringkasnya, pemeriksaan tersebut mendapati efluen berbuih terhasil daripada proses pembuatan produk getah yang menggunakan lateks. Walaupun sistem rawatan pelepasan efluen berfungsi, namun bahan surfaktan yang terkandung di dalamnya dengan isipadu air berkelajuan tinggi semasa proses pelepasan telah menyebabkan buih terhasil. Tindakan penambahbaikan serta merta telah diambil oleh kilang semasa proses pelepasan efluen untuk mengurangkan penghasilan buih. Pihak JAS telah mengambil sampel pelepasan efluen untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia dan laporan siasatan penuh sedang disediakan.
Sekiranya terbukti bahawa syarikat berkenaan melanggar peraturan dan menyalahi undang-undang, Kementerian melalui LGM akan menggantung atau membatalkan lesen syarikat serta premis yang berdaftar dengan agensi berkenaan.
Kementerian amat menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar dan komited untuk mengawalselia kilang-kilang yang beroperasi secara berterusan khususnya dalam tempoh PKP. Kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi usaha-usaha pemantauan serta siasatan. Sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline LGM di 1-800-888-474 atau hotline Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di 03-8880-3498 dalam tempoh PKP.