SIARAN MEDIA 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


INDUSTRI BULUH NEGARA MASUKI FASA BAHARU,
TRANSFORMASI KOMODITI MAMPU TINGKATKAN
UNJURAN EKONOMI


 


1. Industri buluh negara memasuki fasa baharu dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad bagi pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini. Pemeteraian MoA berkenaan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.


2. Pada majlis menandatangani MoA itu, Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani mewakili agensi itu manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Manual itu akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.


3. Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyempurnakan program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan anjuran MTIB itu. Rakyat kini semakin cakna dengan perkembangan komoditi negara dan seiring bersama YB Menteri khususnya dalam usaha untuk membantu meneruskan agenda memperkasakan ekonomi golongan B40.


4. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif untuk pembangunan industri buluh terus dipertingkatkan serta menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara yang lebih mampan.


5. Penggunaan buluh dalam industri tradisonal perlu ditransformasikan ke arah penggunaan untuk penghasilan produk bernilai tambah seperti papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan produk biomass seperti pembuatan arang yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan pasaran domestik malahan juga untuk pengeksportan secara komersial.


6. Malaysia mengeksport sebanyak RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini. Amerika Syarikat adalah pengimport terbesar produk kayu negara dengan nilai sebanyak RM2.87 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Kesan pandemik wabak COVID-19 mengakibatkan penurunan eksport negara sebanyak 9.7 peratus. Daripada jumlah tersebut, eksport buluh dan produk berasaskan buluh adalah sebanyak RM3 juta.


7. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan KPPK serta pemain industri buluh di sekitar negeri ini hadir. Sebanyak empat kertas kerja mengenai industri buluh dibentangkan iaitu Status Industri Buluh Malaysia, Penggunaan Buluh Untuk Bangunan Resort, Penggunaan Buluh Global Dalam Industri Pembinaan dan Rekabentuk Konsep Buluh Kuala Nerus.


8. Bersempena dengan majlis berkenaan, sebuah buku bertajuk ‘Kaedah Rawatan & Teknik Pengawetan Buluh’ terbitan MTIB dengan kolaborasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut dilancarkan. Mengetahui kaedah rawatan dan teknik pengawetan buluh amat penting supaya buluh terselamat daripada serangan agen perosak apabila diaplikasikan untuk kegunaan struktur dan bukan struktur. Buku itu boleh dijadikan rujukan kepada pemain industri yang ingin menceburi industri yang masih baru di negara ini.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
29 Ogos 2020

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KABINET SETUJU PENGGUNAAN BITUMEN TERUBAH SUAI GETAH BEKUAN DIPERLUAS KE RANGKAIAN JALAN RAYA MARRIS BANTU TINGKAT PENDAPATAN 500,000 PEKEBUN KECIL


 

1. Pada 18 Januari 2017, Kabinet telah dimaklumkan hasil kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bahawa hasil kajian mengenai penggunaan getah bekuan dalam bitumen dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen. Kejayaan itu dihebahkan kepada negara-negara lain bertujuan membantu meningkatkan permintaan terhadap getah asli dan menstabilkan harganya.

2. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan bitumen terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Bitumen (CMB) ini. Pada masa yang sama, dalam pasaran serantau seperti Thailand telah meningkatkan penggunaan getah tempatan mereka untuk pembinaan jalan raya dengan tujuan yang sama membantu pekebun kecil getah bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.

3. Bagi merealisasikan projek terbabit, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB dan siap sepenuhnya pada Mei 2020 yang merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi.

4. Usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diteruskan dan Kabinet pada Jumaat lalu bersetuju dengan cadangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memperluaskan penggunaan CMB bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negeri yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

5. Penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan asfalt terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA) dapat menambahkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya. Penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba. Ini memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang. Perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti yang disyorkan KPPK, dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik kejayaan aplikasi teknologi CMB sebelum ia dapat diperluas di peringkat antarabangsa.

6. Anggaran penjimatan menyeluruh daripada aspek penyenggaraan bagi 1,000 kilometer (km) adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun. Perluasan penggunaan CMB adalah antara usaha mengurangkan impak kejatuhan harga ke atas pendapatan pekebun kecil di negara ini khususnya, berikutan wabak COVID-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

7. Menjadi harapan KPPK dengan penggunaan CMB dapat mencapai matlamat berkenaan di samping menggalakkan golongan penoreh getah untuk terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah secara berterusan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
3 Disember 2020

 


KENYATAAN MEDIA

USAHA BERTERUSAN MEMASARKAN PRODUK SAWIT MALAYSIA

 

1. Pada hari ini, 30 April 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai Prestasi Eksport Sawit serta usaha berterusan Kementerian dalam memasarkan minyak dan produk sawit Malaysia.

2. Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, telah mencatatkan penurunan signifikan sebanyak 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama tahun 2019. Eksport minyak sawit (minyak sawit mentah dan minyak sawit proses) telah menurun sebanyak 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

3. Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sawit dunia selepas Indonesia dengan pasaran minyak sawit di lebih 160 buah negara. KPPK melalui agensinya, terutama MPOB dan MPOC akan meneruskan usaha menempatkan minyak sawit Malaysia sebagai ‘solution provider’ bagi industri makanan dan bukan makanan.

4. Selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama. Di antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan). Anggaran pasaran bagi rantau ini adalah sebanyak 2 juta tan setahun.

5. Sebilangan besar negara yang dinyatakan di atas telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka.

6. KPPK akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan. Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit.

 

YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
30 April 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


KPPK SUMBANG 200,000 HELAI SARUNG TANGAN
GETAH UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN


 


1. Gelombang pandemik wabak COVID-19 terus melanda negara dengan Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes positif iaitu mencecah seramai 14,053 orang daripada kumulatif kes seramai 30,090 orang di seluruh negara sehingga semalam.


2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat memahami kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini khususnya petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


3. KPPK sentiasa peka dan prihatin dengan situasi yang mendesak dalam kalangan para petugas barisan hadapan. Sehubungan itu Majlis Getah Malaysia (MRC) iaitu agensi di bawah KPPK telah menyelaraskan sumbangan sebanyak 200,000 helai sarung tangan getah perubatan. Sebanyak 150,000 helai sarung tangan getah telah disumbangkan oleh syarikat YTY dan Top Glove akan diagihkan kepada hospital di Sabah, manakala 50,000 helai lagi daripada MRC adalah untuk hospital di Lembah Klang. Bekalan untuk hospital di Sabah akan diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


4. Sejak wabak COVID-19 melanda negara, KPPK sudah menyumbang sebanyak 21 juta helai sarung tangan getah perubatan yang diselaraskan oleh MRC dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bagi memenuhi keperluan semua petugas barisan hadapan.


5. KPPK amat menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada MRC serta ahli-ahli MARGMA atas sumbangan berkenaan. Diharapkan usaha seperti ini diteruskan malah dapat disertai oleh lebih banyak syarikat-syarikat korporat sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa negara dilanda musibah.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
30 Oktober 2020

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN MALAYSIA KESAL TINDAKAN AS SEKAT KEMASUKAN MINYAK SAWIT SIME DARBY

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum tentang langkah drastik diambil oleh pentadbiran Donald Trump semalam yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit negara ke pasaran Amerika Syarikat (AS) tanpa merujuk kepada Kerajaan Malaysia kesahihan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.

2. Insiden ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan Kerajaan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd (FGV) atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan. Ia tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, Kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV.

3. Dalam isu terbaru yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin mereka juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.

4. KPPK berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

5. Walau bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali.

6. KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara bagaimanapun kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.

7. Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu. Berdasarkan kajian tersebut juga, Kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.

8. Bagaimanapun Kerajaan Malaysia melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini.

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
31 Disember 2020