SIARAN MEDIA 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


JUMLAH DAGANGAN SEKTOR AGRIKOMODITI JAN-JUN 2020
RM82 BILION BERBANDING JAN-JUN 2019


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali bersama delegasi melakukan kunjungan hormat ke atas Yang diPertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Ayer Keroh, Melaka.


2. Kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan kepada TYT Tun mengenai hal ehwal semasa dan hala tuju sektor agrikomoditi negara, khususnya peranan dan penglibatan negeri Melaka dalam sektor ini dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


3. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2020, sektor agrikomoditi menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM63.7 bilion berbanding RM61.1 bilion bagi tempoh sama tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus. Jumlah dagangan sektor itu bagi tempoh sama tahun 2020 ialah sebanyak RM82 bilion berbanding tahun 2019 sebanyak RM79.8 bilion dengan peningkatan sebanyak 2.74 peratus. Imbangan dagangan enam bulan pertama 2020
mencatatkan nilai positif RM45.5 bilion berbanding RM42.3 bilion dalam tempoh sama tahun 2019. Hampir sejuta pekebun kecil orang yang terlibat dalam sektor ini dengan keluasan 2.44 juta hektar atau 34.7 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman agrikomoditi negara.


4. Secara khusus, sektor agrikomoditi di Melaka meliputi kawasan tanaman sawit seluas 57,340 hektar, getah 14,115 hektar, koko 18 hektar, lada 10 hektar dan kenaf 13 hektar dengan penglibatan seramai 12,412 pekebun kecil. Negeri ini mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 110,509 tan, getah 15,400 tan, lada 48 tan dan kenaf 121 tan dengan nilai sumbangan sekitar RM300 juta sepanjang tahun 2019.


5. Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan projek rintis aplikasi telefon pintar RRIMniaga mulai Jun 2018 melibatkan tiga pelesen. Sehingga Julai lalu, 47 peniaga getah telah mengguna pakai aplikasi itu dan memberi manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada 2,690 orang pekebun kecil yang merupakan pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

6. Bagi sektor kayu-kayan, kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Malacensis Sdn Bhd. dalam membangunkan ladang karas di Empangan Jus, Jasin Melaka sedang giat dijalankan bagi menilai kaedah inokulasi terbaik supaya penanam pokok karas dapat memaksimumkan pendapatan melalui penghasilan gaharu yang terbaik.


7. Untuk sektor koko, KPPK dan kerajaan negeri akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan ‘Malacca Chocolate City’ menerusi pembangunan industri hiliran koko berasaskan agropelancongan dan dengan mengeluarkan produk-produk koko beridentitikan Melaka.


8. Selain itu, KPPK juga menyediakan pelbagai insentif dan dana kepada sektor agikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh peladang dan pekebun kecil di Melaka, terutamanya golongan B40, antaranya melalui KPSM, Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40), Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), IPG dan Insentif Tanaman Kenaf Bagi Pengeluaran Batang dan Insentif Belian Batang Kenaf.


9. Justeru, KPPK berharap kerjasama erat dicapai bersama kerajaan negeri untuk membantu menghebahkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat kepada pekebun kecil di Melaka. Dana dan insentif yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan mereka.


YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
27 Ogos 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


PROGRAM JOM MSPO NEGERI, PERAK


1. Majlis JOM MSPO pada hari ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada pekebun kecil persendirian (PKP) yang mengusahakan tanaman sawit mengenai pensijilan MSPO.


2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit seperti pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria pensijilan mampan MSPO.


3. Sawit adalah Anugerah Tuhan. Penanaman sawit yang mampan dapat memastikan peningkatan pendapatan untuk para pengusaha sawit, terutamanya PKP.


4. Oleh itu, usaha sedang giat dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).


5. Pelaksanaan MSPO oleh pekebun kecil akan membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sawit yang akan memberi pulangan yang baik. Selain itu, Kerajaan akan membantu pekebun kecil persendirian menanggung kos pensijilan MSPO yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

6. Seperti yang umum ketahui, pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan penting bagi menangani cabaran perdagangan minyak sawit global.


7. Bagi Negeri Perak, sebanyak 23 SPOC telah disijilkan MSPO yang melibatkan sebanyak 9,904 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 22,831.74 hektar. Namun, masih ramai pekebun kecil persendirian (PKP) yang belum berdaftar untuk dipersijilkan MSPO.


8. Melalui penempatan pegawai TUNAS MPOB di Hilir Perak, Tapah, Seri Iskandar dan Taiping, Kerajaan dan MPOB menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.


9. Penglibatan pihak terutama pekebun kecil dan pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman sawit secara kemampanan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha sawit.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
28 Ogos 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


KERJASAMA STRATEGIK PEMEGANG TARUH LONJAKKAN
PASARAN LADA MALAYSIA DI PERINGKAT ANTARABANGSA


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini bertemu dan menyampaikan amanat kepada warga kerja MPB sempena lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) Kuching, Sarawak.


2. Sebagai sebuah agensi di bawah kementerian, MPB bertanggungjawab untuk melaksanakan program dan aktiviti bersama pemegang taruh industri lada. Pelaksanaan aktiviti seperti promosi, seminar bengkel dan sebagainya adalah penting agar golongan sasar dapat diberi pendedahan mengenai potensi pasaran komoditi lada.


3. Pembangunan industri lada sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran akan digandakan bagi membolehkan industri ini terus bersaing dan Malaysia sebagai pasaran penting. Peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa akan dipergiat dengan menjalin kerjasama strategik dengan agensi-agensi yang berkaitan.


4. Malaysia adalah negara pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 35,539 tan metrik. Berdasarkan rekod melalui Sistem E-Pekebun MPB sehingga 5 September 2020, jumlah pekebun lada di negara ini sudah mencecah seramai 36,682 orang dengan keluasan tanaman seluas 7,659 hektar. Sebagai makluman, 98 peratus komoditi ini adalah ditanam di Bumi Kenyalang.


5. Bersempena dengan lawatan, YB Menteri turut menyampaikan baucar kepada enam penerima Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN serta surat kelulusan kepada enam penerima bantuan Skim Tanaman Baru Lada di Kuching.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching, Sarawak
28 September 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


NILAI EKSPORT BIJI DAN PRODUK KOKO MALAYSIA CATAT
PENINGKATAN SEHINGGA RM2.6 BILION



1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melakukan lawatan kerja ke Chocolate Museum@Kota Damansara milik DR Group Holdings.


2. Di samping itu, perbincangan susulan untuk merealisasikan Muzium Coklat Langkawi oleh syarikat yang sama sebagai sebagai salah satu tarikan pelancongan berasaskan coklat yang tersohor di Asia Tenggara turut diadakan. Ia selari dengan hasrat Kementerian untuk membangunkan hab coklat di pulau pelancongan itu seterusnya menjadikan Malaysia sebagai King of Chocolate di rantau Asia. Lawatan itu juga berjaya meningkatkan kerjasama antara pihak kedua-dua pihak bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko.


3. Sektor koko telah mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion. Sektor pembuatan coklat khususnya, mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3% daripada jumlah pendapatan eksport dan produk-produk koko pada tahun yang sama dengan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding tahun sebelumnya.


4. Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi lima (5) bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion iaitu meningkat sebanyak 0.5% bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Namun dijangkakan sumbangan pendapatan eksport produk-produk coklat akan menurun sebanyak 18% pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.


5. Kini terdapat sebanyak 53 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko terdiri daripada empat syarikat multinasional dan 49 syarikat tempatan di seluruh negara. Di samping itu, bagi memperkasa industri pembuatan coklat, KPPK telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Lembaga Koko pada tahun 2013. Sehingga 29 Julai 2020, sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut.


6. Kementerian bercadang melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan melalui Pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Coklat. Seramai 23 bakal usahawan coklat yang telah mengikuti Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan pada 10 dan 11 Julai 2020 di Kuala Nerus, Terengganu. Kursus ini akan diteruskan pada 14-16 Ogos 2020 di Langkawi, Kedah dengan penyertaan seramai 30 bakal usahawan coklat buatan tangan.


7. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seperti mewujudkan hab perdagangan koko dan memperkenalkan kluster industri hiliran koko. Usaha mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan terus diberi keutamaan.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
29 Julai 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

USAHA MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU PENUTUPAN KILANG MARDEC PROCESSING SDN BHD, KUALA BERANG, TERENGGANU

 

1. Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu. Penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktivti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.

2. LGM sebagai agensi di bawah Kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan Kilang MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.

3. Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu.

4. Kementerian menerusi LGM bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak Pengurusan MARDEC Berhad untuk membuat kajian menyeluruh dengan maklumat berkaitan bagi mengenalpasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi. Ini adalah bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan juga di seluruh Negeri Terengganu.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
29 Jun 2020