SIARAN MEDIA 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


KERAJAAN MAHU PERSATUAN INDUSTRI BERPERANAN PASTIKAN
SYARIKAT SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI JAGA
KEBAJIKAN PEKERJA



1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dan memandang serius terhadap insiden yang berlaku ke atas kebajikan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah seperti yang dilaporkan pada 21 Disember 2020 (Isnin).

2. KPPK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang dan peraturan sebaliknya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira faktor keselesaan serta keselamatan pekerja yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat. Ini kerana tanpa pekerja-pekerja terbabit, syarikat dan industri tidak mungkin memperoleh keuntungan berlipat ganda lebih-lebih lagi semasa musim pandemik COVID-19 ini.

3. Sebagai majikan yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan bagi pihak syarikat untuk menjaga kebajikan para pekerja mereka dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada pekerja tempatan atau pun pekerja asing.

4. Dalam hal ini, KPPK ingin menggesa pihak industri di semua sektor termasuklah sektor perladangan dan industri komoditi yang lain supaya sentiasa patuh kepada undang-undang perburuhan dan juga peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pekerja sentiasa terpelihara.

5. Kementerian turut berharap agar persatuan industri mengambil tanggungjawab mengingatkan semua ahli di bawah naungan masingmasing supaya sentiasa patuh kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlarutan pada masa akan datang.

 


DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 Disember 2020

KEMENTERIAN PERTIMBANG TINDAKAN BERSESUAIAN BAGI MENANGANI ISU SEKATAN OLEH AMERIKA SYARIKAT TERHADAP PRODUK AGRIKOMODITI NEGARA 

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali telah menerima kunjungan pegawai kanan pengurusan FGV Holdings Bhd (FGV) diketuai oleh Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan, Dato’ Najmuddin Abdullah. Pertemuan tersebut membincangkan isu membabitkan dakwaan Amerika Syarikat (AS) ke atas FGV yang dikatakan mengamalkan buruh paksa selain perkembangan terkini pembangunan industri sawit negara .

2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan memandang serius susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS kebelakangan ini. KPPK berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan AS berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

3. KPPK dimaklumkan bahawa FGV telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu dalam usaha membatalkan WRO sejak petisyen dikemukakan. FGV juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia.

4. Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Bagi tempoh Januari-Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion. Walau bagaimanapun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut.

5. Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia. Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif. Kajian ini telah dibentangkan dan diterima oleh Kabinet dan akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan. Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

6. Kementerian menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik COVID-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya.

7. Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini. Oleh yang demikian, isu buruh paksa yang dibangkitkan dan dilaporkan oleh DOL merupakan isu lama dan telah pun diambil tindakan oleh pihak industri.

8. KPPK dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian mengenai pembangunan industri sawit negara dan mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi demi menjamin kemakmuran sejagat dan kemaslahatan bersama.

 

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
22 Oktober 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


KPPK KOMITED TERUSKAN KEMPEN GOLONGAN MUDA
BEKERJA DALAM SEKTOR PERLADANGAN SAWIT


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semalam melawat ladang sawit milik TDM Plantation Sdn Bhd di Sungai Tong, Setiu, Terengganu untuk meninjau kerja-kerja perladangan yang dilakukan oleh pekerja di ladang terbabit.


2. TDM Plantation Sdn Bhd memiliki estet seluas 3,000 hektar dengan pengeluaransebanyak 7,000 tan sebulan dan menghasilkan minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 2,000 tan sebulan. Estet ini memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan
Malaysia (MSPO) dan pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).


3. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) komited akan meneruskan kempen dalam usaha menggalakkan golongan muda untuk bekerja di ladang sawit kerana ia adalah sektor yang amat menguntungkan selain menjamin masa hadapan. Pada masa ini terdapat 35,000 lagi peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan, yang menjanjikan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selain turut disediakan tempat tinggal serta fasiliti terbaik oleh syarikat-syarikat perladangan di seluruh negara.


4. Kerajaan berpendirian pentingnya warga tempatan diberikan peluang untuk bekerja di ladang menggantikan warga asing seiring dengan polisi terkini yangtidak membenarkan lagi kemasukkan pekerja asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.


5. Syarikat itu turut mengalami penyusutan pekerja mahir hampir 40 peratus, kerana itu YB Menteri menyeru golongan muda supaya menceburi bidang perladangan sawit yang lebih menguntungkan kerana sektor lain yang lebih sukar,
membebankan dan rumit tidak membawa pulangan yang setimpal dengan hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sahaja. Pembabitan golongan muda akan menambahkan lagi perolehan hasil ladang sawit di negara ini.

6. Slogan 'Sawit Anugerah Tuhan' diperkenalkan YB Dato’ Dr Khairuddin kerana komoditi nombor satu negara itu adalah kurniaan Tuhan yang memiliki segala kelebihan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara serta hasilnya yang berkhasiat yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia.


7. KPPK berharap sektor ini mampu menarik minat golongan muda untukmemajukannya kerana ia berupaya menjamin masa hadapan, apatah lagi dengan harga minyak sawit dunia yang stabil di peringkat antarabangsa.


YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 September 2020

KENYATAAN MEDIA

SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN NEGERI PAHANG UNTUK MEMERANGI COVID-19

ISTANA ABDUL AZIZ, KUANTAN, PAHANG

23 APRIL 2020

1. YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengangkat sembah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

2. Baginda mencemar duli menerima sumbangan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)bagi Tabung Amal COVID-19 yang diwujudkan oleh negeri Pahang.

3. Sumbangan tersebut adalah 100,000 sarung tangan getah perubatan yang disalurkan Baginda sebahagian kemudiannya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang serta pihak lain yang memerlukan. Sarung tangan getah perubatan merupakan antara produk keluaran negara yang dibekalkan bagi memenuhi 65% keperluan dunia.

4. Sumbangan ini adalah demi menyatakan komitmen dan keprihatinan YB Dato' Dr Mohd Khairudin serta kementerian betapa pentingnya semua rakyat menjaga diri dan mematuhi perintah PKP. Kumpulan Petugas Barisan Hadapan Frontliners di negeri Pahang tetap menjadi perhatian dan menjadi keutamaan agihan bantuan tersebut.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
23 April 2020

 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
SESI DIALOG YB MENTERI INDUSTRI UTAMA BERSAMA THE EAST MALAYSIA PLANTERS’ ASSOCIATION (EMPA)

1. Industri perladangan sawit merupakan sub sektor yang banyak bergantung kepada guna tenaga termasuklah pekerja asing. Dalam memastikan pekerja asing dapat bekerja dalam persekitaran yang selesa dan terjamin kebajikan mereka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan dalam menguatkuasakan Akta Kerja 1955 dan bagi mengelakkan berlakunya amalan perburuhan yang tidak sihat. Di samping itu, kebajikan pekerja merupakan salah satu kriteria bagi persijilan minyak sawit mampan melalui Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang telah diwajibkan pada akhir tahun 2019.

2. Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) telah mengeluarkan Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2019 di Washington, Amerika Syarikat (U.S.) pada 20 Jun 2019. Penilaian oleh JNAS ini dibuat terhadap 187 buah Negara termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan. Laporan tersebut telah mengekalkan tahap Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) bagi tahun 2019.

3. Diharapkan usaha berterusan yang telah dilakukan oleh Kerajaan bagi sepanjang waktu penilaian daripada April 2019 sehingga Mac 2020 akan dapat menaikkan Malaysia ke satu tahap yang lebih baik dan memberikan impak positif terhadap perkembangan industri perladangan sawit Malaysia.
 

4. Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian dalam usaha untuk mengeluarkan sektor sawit Malaysia daripada dianggap mengamalkan buruh paksa dan buruh kanak-kanak di bawah Trafficking Victim Protection Reauthorization Act (TVRPA) list yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat. Antaranya ialah melalui kajian situasi buruh di sektor perladangan sawit di Malaysia.

5. Amerika Syarikat adalah merupakan antara pengimport terbesar produk-produk sawit Malaysia. Pada tahun 2019, eksport produk-produk sawit Malaysia ke AS bernilai RM3.1 billion (1.1 juta tan). Industri sawit (sektor huluan dan hiliran) menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih dua juta rakyat. Justeru, hasil kajian ini dapat membantu Malaysia dalam menangani keraguan pihak AS mengenai industri sawit Malaysia secara keseluruhannya.

6. Sebagai way forward, Kementerian turut menyeru pihak persatuan dan industri untuk menggiatkan usaha dalam mengamalkan good labour practice dan melaksanakan program-program kesedaran mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak di semua peringkat. Selain itu, pihak industri juga digalakkan untuk meningkatkan daya tarikan terhadap prospek kerjaya di sektor perladangan bagi menarik minat generasi muda negara untuk bekerja di sektor ini sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain beralih kepada mekanisasi.

Kementerian Industri Utama
Malaysia
23 Februari 2020