SIARAN MEDIA 2020

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

BERHUBUNG PELAKSANAAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) KEPADA PEKEBUN KECIL GETAH SEHINGGA MAC 2020

1. Pada hari ini, 20 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil getah sehingga Mac 2020.


2. IPG merupakan salah satu bentuk bantuan khas yang diberikan oleh Kerajaan bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil getah supaya mereka terus menjalankan aktiviti penorehan bagi menyokong industri getah negara.


3. IPG mula dilaksana sejak September 2015 dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG terkini pada harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 sebanyak RM6.10 sekilogram atau harga getah sekerap (cuplump) sebanyak RM2.50 sekilogram. IPG akan teraktif apabila harga purata bulanan SMR20 atau cuplump di bawah PHP tersebut. Pekebun kecil akan dibayar IPG berdasarkan perbezaan harga PHP dan harga semasa cuplump.


4. Bagi tempoh September 2015 sehingga Mac 2020, Kerajaan telah membuat pembayaran IPG sebanyak RM282.3 juta bagi 462.7 juta kilogram getah merangkumi 2.0 juta tuntutan di seluruh Malaysia. Pekebun kecil yang layak menuntut IPG perlu memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang mana sehingga bulan Mac 2020, sebanyak 456,421 kad PAT-G telah didaftarkan di seluruh Malaysia.


5. Walau bagaimanapun, Kementerian mendapati bahawa pekebun kecil yang menuntut IPG adalah rendah dan dianggarkan secara purata hanya 12.4% sahaja. Sehubungan itu, Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperkasa dan menambahbaik mekanisme IPG agar hasrat Kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil lebih terbela di bawah Kerajaan yang prihatin.


6. Dalam hal ini, LGM sedang giat mempromosikan penggunaan RRIMNIAGA di kalangan pembeli getah berlesen bagi memudahkan pekebun kecil. Mereka tidak perlu lagi menuntut IPG kerana semua transaksi penjualan dan pembelian getah akan direkodkan di dalam pangkalan data LGM. Rekod tersebut akan disemak oleh LGM dan sekiranya layak, IPG akan terus disalurkan ke dalam akaun pekebun kecil.


7. Dengan adanya penggunaan teknologi seperti ini secara meluas, adalah dijangkakan pekebun kecil akan banyak menerima manfaat sejajar dengan hasrat Kementerian untuk memperkasa pekebun kecil dan membangunkan industri getah negara ke tahap yang lebih tinggi.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MEI 2020
PUTRAJAYA

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK PERUNTUKAN RM23.85 JUTA UNTUK MENINGKATKAN SISTEM PENYAMPAIAN KEPADA RAKYAT

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan usaha meningkatkan produktiviti dan prestasi penjawat awam. Dalam hubungan ini, sebanyak RM200,000 diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia di bawah ibu pejabat untuk meningkatkan kepakaran pegawai-pegawai di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Latihan pembangunan pegawai yang berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan bagi selaras dengan Teras RMK-12: Menginstitusi Reformasi Sektor Awam untuk Memastikan Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Berkesan.

2. Berkaitan perbelanjaan tahun 2021, KPPK menolak dakwaan tidak berasas serta kurang cermat oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini bahawa kementerian tidak meletakkan keutamaan apabila memperuntukkan sebanyak RM23.85 juta untuk tujuan menaik taraf pejabat berbanding hanya RM200,000 untuk Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia. Pada hakikatnya, peruntukan berkenaan adalah untuk pelaksanaan khidmat sokongan ibu pejabat termasuk sewaan bangunan kementerian di Putrajaya yang wajib dibayar berdasarkan kontrak berjumlah RM13.75 juta bermula pada tahun 2005.

3. Selain itu, sebanyak RM1.1 juta pula adalah untuk pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk Pembangunan Sistem Aplikasi Pengurusan Perlesenan Biobahan Api dan Platform Perkongsian Data Komoditi. Kedua-dua sistem terbabit bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian serta agensi-agensi di bawah KPPK.

4. Peruntukan tersebut juga adalah untuk keperluan pelaksanaan projek sambung RMK-11 iaitu Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK) berjumlah RM9 juta. Projek itu dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi kemudahan dan sokongan infrastruktur kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kementerian ini membabitkan sektor sawit, getah, lada, koko dan kenaf.

5. Sehubungan itu, keseluruhan sumber kewangan tersebut bukanlah untuk kerja-kerja menaik taraf pejabat kementerian, sebaliknya bertujuan membiayai bayaran sewaan, pembangunan ICT dan penyediaan infrastruktur pekebun kecil yang diperlukan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian kepada rakyat.

6. KPPK menegaskan segala perancangan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang berkesan dalam menjayakan pelaksanaannya demi merancakkan perancangan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.

 

YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahana Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
21 Disember 2020

Jata
KENYATAAN MEDIA


LKM KOMITED BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN
DENGAN PENGHASILAN BIJI KOKO BERKUALITI TINGGI


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tuan Willie Mongin hari ini merasmikan Kursus Peningkatan Kualiti Koko Sarawak dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Kota Samarahan, Sarawak.

2. Pada majlis yang sama, beliau turut menyaksikan penyerahan sijil projek siap Fasa 1 Pusat Pengumpulan Biji Koko bagi Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) kepada LKM.

3. PPBKC merupakan sebahagian komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak. Program berupa game changer peringkat huluan koko ini dilaksanakan mengikut konsep farm to table dengan peruntukan sebanyak RM14 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

4. Program SARA Cocoa Cluster ini melibatkan pembangunan tanaman koko di Sebuyau, Padawan, Asajaya, Kota Samarahan, Tebedu dan Serian dengan keluasan sebanyak 525 hektar melibatkan 526 petani, serta pembangunan kompleks pemprosesan dan pembuatan coklat di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, LKM, Kota Samarahan.

5. SARA Cocoa Cluster juga telah mewujudkan koperasi yang akan menjalankan sebahagian aktiviti kluster dengan keahlian dibuka kepada pengusaha tanaman, usahawan coklat dan individu-individu yang terlibat dengan industri koko di Sarawak. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan kewujudan koperasi, ia akan mencapai matlamatnya iaitu untuk memastikan ahli- ahlinya menerima ganjaran hasil keuntungan khususnya daripada penjualan biji koko dan coklat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kota Samarahan, Sarawak
21 Disember 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA

 PEMBANGUNAN PERUSAHAAN PRODUK KARAS/GAHARU AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN DENGAN NILAI EKSPORT RM8.8 JUTA

1. Lawatan kerja ke kilang pemprosesan Pati Minyak Gaharu (PMG) adalah yang kali pertama sejak YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertujuan untuk melihat pembangunan perusahaan pembuatan PMG di negara ini.

2. Selain itu, menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat di dalam sektor industri gaharu bermula dengan fasa perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan PMG dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

3. Industri penanaman karas terus berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang di Malaysia. Sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat/individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta. Jumlah pengeksport/pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat/individu adalah pengilang PMG manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia.

4. YB Menteri turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri gaharu untuk mendengar pandangan mereka dalam usaha memperluaskan lagi potensi industri ini sehingga ke peringkat hiliran seperti usahawan wangian berasaskan gaharu dan lain-lain.
5. Penjualan hasil karas/gaharu masih banyak bergantung kepada pokok karas hutan dan tertakluk dengan kuota tahunan berdasarkan garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES). Sepanjang tahun 2018 dan 2019, KPPK melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas/gaharu adalah sebanyak 150,000 kilogram (kg).

6. Nilai eksport produk karas/gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), PMG (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta). Manakala, sebanyak 3,742.40 kg PMG telah dieskport pada tahun yang sama.

7. Bagi meningkatkan pengeluaran dan jualan hasil karas, penekanan perlu diberi kepada pengeluaran ladang yang memerlukan proses inokulasi yang tepat supaya dapat menghasilkan gaharu. Pokok karas yang berjumlah lebih 2.3 juta di ladang negara ini, perlu dipastikan mampu menghasilkan gaharu dan penanam tidak terbeban untuk menggunakan kaedah inokulasi yang tepat.

8. Kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas/gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain. MTIB juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menyokong industri ini.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kuala Balah, Jeli, Kelantan
21 Jun 2020

 

 

 

KENYATAAN MEDIA 

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

BERHUBUNG PENGIMPORTAN SEMULA MINYAK SAWIT MENTAH MALAYSIA OLEH INDIA

 

  1. India merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam sektor agrikomoditi. Perkara ini terbukti di mana India telah menjadi pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada tahun 2019 dengan jumlah sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion. Jumlah eksport ini meningkat kira-kira 67% berbanding tahun 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan. 
  2. Namun begitu, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Sepanjang suku pertama tahun 2020, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah dari negara pengeluar lain. Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada bulan Januari – April 2020 telah menunjukkan penurunan drastik hampir 94% kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu 1.6 juta tan. 
  3. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia. 
  4. Perubahan pendirian Kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis juga telah membantu peningkatan import oleh negara berkenaan. Kerajaan Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020. Di samping itu, kesediaan Kerajaan Malaysia untuk memastikan jurang dagangan yang sebelum ini menjadi isu juga merupakan faktor penting peningkatan tersebut. 
  5. Selain itu, salah satu sebab peningkatan import adalah kerana harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras percukaian duti eksport Malaysia. MPOC sentiasa memantau pasaran dan mendapati terdapat peningkatan signifikan sebanyak 47% minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia dengan peningkatan 66,427 lot semalam berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lalu. 
  6. Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi bulan Jun dan Julai 2020. Kerajaan menjangkakan situasi ini akan memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara. Industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500 ribu pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian. 
  7. Kerajaan juga menjangkakan perkembangan baik ini akan mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran dengan kembalinya pengimport India membeli minyak sawit daripada Malaysia. Semoga dengan perkembangan terbaharu ini, India akan terus mengimport minyak sawit Malaysia bagi memenuhi keperluan minyak sayuran dan lelemak negara tersebut. 
  8. Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia komited untuk menjaga hubungan baik dengan Kerajaan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan kedua-dua negara. Hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya. 

 

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

MENTERI PERUSHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

PUTRAJAYA

21 MEI 2020