KUNJUNGAN HORMAT OLEH SEKRETARIAT COUNCIL OF PALM OIL PRODUCING COUNTRIES (CPOPC) KE ATAS
YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Pada 19 Mei 2020, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menerima kunjungan hormat oleh YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron, Pengarah Eksekutif, Council Of Palm Oil Producing Countries(CPOPC).
CPOPC yang merupakan organisasi pengeluar sawit telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri sawit. Sebagai negara pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia berusaha untuk mencari kesepakatan dalam membangunkan industri sawit dan menjaga kepentingan industri berkenaan kepada kedua-dua negara. Dalam tempoh terdekat, Columbia dan Ghana dijangka akan menyertai CPOPC secara rasmi. Beberapa negara lagi telah menunjukkan minat untuk menganggotai CPOPC yang kini dipengerusikan oleh Malaysia sehingga 31 Disember 2020.
Semasa sesi kunjungan hormat, pelbagai isu berkaitan dengan industri sawit telah dibincangkan yang antara lain seperti:
usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dengan CPOPC;
komitmen dan tindakan Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kempen anti-minyak sawit bagi menjaga kepentingan industri sawit; dan
cadangan mengatasi isu berkaitan harga minyak sawit mentah rendah yang memberi kesan kepada pihak berkepentingan terutama pekebun-pekebun kecil dan pihak industri.
KPPK turut menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat CPOPC dan berharap ia akan menjadi jambatan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
PRAPELANCARAN KEMPEN SAWIT ANUGERAH TUHAN HARGAI SUMBANGAN BESAR INDUSTRI SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.
2. KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi. Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.
3. Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform. Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan. Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
4. Sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan. Ia dizahirkan melalui pengenalan Logo Rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik. Warna merah melambangkan pelbagai khasiat minyak sawit kepada kesihatan, melalui sumber kandungan beta-karotena dan Vitamin E tokotrienol yang tinggi. Warna tersebut juga menandakan kelebihan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai produk makanan dan bukan makanan. Daun sawit yang menghijau melambangkan kelestarian alam sekitar dan lingkaran kuning keemasan di sekeliling logo menggambarkan pengeluaran minyak sawit mampan. Buah sawit pula melambangkan keuntungan berterusan dan berkekalan yang amat bernilai bukan sahaja kepada negara, bahkan kepada seluruh dunia.
5. Moto ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari aspek halalan-thoyyiban. Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini.
6. Sempena pra-pelancaran kempen hari ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 19 November 2020
INDUSTRI HARGAI INISIATIF KERAJAAN UNTUK PERTIMBANG PEMBERIAN PERMIT SEMENTARA KEPADA PENDATANG ASING TANPA DOKUMEN SAH BAGI MEMENUHI KEPERLUAN TENAGA KERJA DI SEKTOR PERLADANGAN.
Pihak Industri amat berterima kasih dan menghargai inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk mempertimbangkan pemberian permit sementara kepada pendatang asing yang berada di dalam negara dan tiada memiliki dokumen sah untuk bekerja di sektor perladangan kelapa sawit dan getah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
Keputusan ini amat dialu-alukan dan sewajarnya akan dapat membantu pemain industri dan pekebun-pekebun kecil bagi mengurangkan tekanan ke atas isu yang membelungi sektor ini yang telah meyebabkan kehilangan potensi pengeluaran sebanyak 20% ke 30% pada masa ini. Penyelesaian isu ini akan membolehkan industri meraih pengeluaran seoptima mungkin mengambil kira keadaan harga pasaran semasa yang baik yang seterusnya akan memberikan peningkatan hasil pulangan cukai kepada kerajaan.
Pihak industri telah melaksana langkah-langkah perlu dan komprehensif dalam usaha menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di sektor perladangan tetapi maklum balas yang diterima sehingga kini adalah amat minima. Pemain industri juga secara serius melihat ke arah mengadaptasi penggunaan automasi dan mekanisasi penjenteraan operasi perladangan dalam tempoh masa sederhana bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Kami berasa lega dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang berusaha untuk menyelesaikan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri dan pekebun-pekebun kecil serta mengambil kira kepentingan dan sumbangan industri minyak sawit terhadap ekonomi negara. Kami berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pihak industri juga berharap agar pekerja asing yang telah pulang bercuti ke negara asal diberikan kebenaran untuk pulang semula bekerja di Malaysia dan membatalkan pembekuan pekerja asing di sektor perladangan dengan kadar segera.
Pihak industri telah melaksana dan akan terus mengamalkan pematuhan prosidur operasi yang ketat dan bersiap siaga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta akan sentiasa menyokong usaha Kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Terima kasih.
Datuk Mohamad Nageeb Wahab Ketua Eksekutif 02 November 2020
PENANGGUHAN PROGRAM BERIKUTAN PENINGKATAN KES COVID-19
1. Merujuk kepada situasi COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara ketika ini dan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menangguhkan semua program yang membabitkan perkumpulan serta himpunan orang ramai.
2. Semua program yang dirancang KPPK hanya akan diteruskan sebaik sahaja situasi pandemik COVID-19 negara pulih seperti sediakala dengan syor daripada KKM kelak. Manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau maya akan dilaksanakan seperti biasa.
3. KPPK amat prihatin dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua pemegang taruh serta orang ramai. Kita berdoa semoga Allah melindungi negara kita dan menghapuskan wabak COVID-19 ini.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 2 Oktober 2020
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BIODIESEL B20 DI SEKTOR PENGANGKUTAN
20 FEBRUARI 2020 DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
1. Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula di Langkawi serta Labuan dan akan diperluaskan ke Sarawak (April 2020), Sabah (Ogos 2020) dan seterusnya seluruh Semenanjung Malaysia pada Jun 2021.
2. Sebelum ini, Kerajaan telah melaksanakan secara mandatori Program Biodiesel B10 (adunan 10% PME dan 90% diesel petroleum) di sektor pengangkutan pada 1 Februari 2019 dan Program Biodiesel B7 (adunan 7% PME dan 93% diesel petroleum) di sektor industri pada 1 Julai 2019.
3. Dengan usahasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh Malaysia mengikut pelan pelaksanaan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program B20 dijangkakan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021.
4. Sebagai pilihan kepada pengguna, Euro5 B7 masih dijual di stesen-stesen minyak tertentu manakala stesen-stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, dan Kundasang di Sabah akan terus membekalkan B7.
5. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun. Menerusi pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan and pengekalan Program Biodiesel B7 di sektor industri pada masa ini, kira-kira 1,300,000 tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun.
6. Pelaksanaan program biodiesel menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan kebergantungan tenaga bahan api fosil serta menggerakkan Malaysia ke arah pembangunan tenaga mapan untuk generasi akan datang.