PROGRAM BIODIESEL NEGARA PEROLEH SOKONGAN SYARIKAT SWASTA DI WILAYAH SELATAN
1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini mengadakan lawatan kerja ke terminal simpanan dan pengagihan bahan api milik ATT Tanjung Bin Sdn. Bhd. (ATB) yang bertempat di Tanjung Bin, Pontian, Johor. Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau persiapan adunan biodiesel milik ATB dalam menyokong pelaksanaan Program Biodiesel Negara terutamanya bagi kawasan liputan di Wilayah Selatan, Semenanjung. Lawatan kerja ini turut disertai Setiausaha Bahagian BioBahan Api KPPK, Dr Sang Yew Ngin dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
2. Pelaksanaan Program Biodiesel Negara iaitu Program Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri dijangka menggunakan sebanyak 1.3 juta tan minyak sawit tempatan dan seterusnya menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.9 juta tan CO2 setara setahun, apabila program berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.
3. ATB merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan pengagihan bahan api petroleum yang terletak di Pusat Petroleum Tanjung Bin, Pontian, Johor. ATB telah memulakan operasinya sejak tahun 2012 dengan jumlah pelaburan terkini melebihi RM2 bilion. Jumlah kakitangan di terminal ATB ini adalah seramai 100 orang, dengan 94 peratus terdiri daripada warga tempatan yang berpengalaman luas dalam bidang minyak dan gas.
4. ATB mempunyai keupayaan kapasiti penyimpanan melebihi 1.3 juta meter padu atau bersamaan 1.3 bilion liter bahan petroleum dari pelbagai jenis dan gred. Secara purata, ATB mengendalikan lebih kurang 700 hingga 900 buah lori tangki petrol dan diesel sebulan atau lebih daripada 400 juta liter/tahun untuk syarikat BHP dan Petron khususnya bagi pasaran di Wilayah Selatan, Semenanjung. Terminal ini juga mengendalikan adunan biodiesel dengan jumlah pengendalian biodiesel sawit (Palm Methyl Ester – PME) terkini kira-kira sebanyak 13 juta liter yang melebihi nilai RM36 juta sepanjang tahun 2019.
5. Sehubungan itu, KPPK berharap semua pihak berkepentingan akan memberikan sokongan penuh dalam menjayakan pelaksanaan Program Biodiesel Negara yang merangkumi Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 di sektor industri.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 16 Ogos 2020
TEKNOLOGI RRIM HYDROBEST™ DAN PEMPROSESAN GETAH KRIP TINGKATKAN PRODUKTIVITI KEBUN GETAH
YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi kelmarin mengadakan lawatan kerja ke Ladang Bukit Ibam, Muadzam Shah di Pahang. Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Encik Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Pengarah LGM, Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor dan Pengerusi LGM Properties Corporation (LGMPC), Muhammad Ismi Mat Taib.
Ladang Bukit Ibam ditubuhkan pada tahun 1977 dengan keluasan 2,050.20 hektar dan diuruskan oleh LGMPC, sebuah perbadanan di bawah LGM. Ladang ini mengandungi model pemprosesan getah krip serta serum pekat dan penggunaan teknologi RRIM HYDROBEST™.
Teknologi RRIM HYDROBEST™ ialah bahan rangsangan lateks berasaskan air dengan dua fungsi, iaitu meningkatkan pengeluaran lateks dan pada masa yang sama meminimumkan panel torehan menjadi kering. Ia merupakan formulasi berasaskan etefon dan telah diuji kepada pelbagai klon siri 2000 dan juga klon RRIM 3001. Diharapkan teknologi ini digunakan oleh pekebun kecil seluruh Malaysia bagi meningkatkan produktiviti kebun getah.
Dalam usaha meningkatkan peranan dan taraf ekonomi pekebun kecil getah di samping terlibat secara langsung dalam rantaian pasaran getah, LGM memperkenalkan model pemprosesan getah krip. Model ini memberi peluang kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti di sektor huluan, pengawalan kualiti bahan mentah serta pemprosesan getah.
Model ini juga boleh digunakan sebagai rujukan kepada koperasi atau usahawan pekebun kecil bagi menghasilkan getah krip sebagai getah separa siap yang mempunyai ciri-ciri keseragaman dan kualiti baik di samping penghasilan serum pekat sebagai bahan tambah nilai.
Ia menekankan konsep zero waste yang mana bahan buangan daripada aktiviti pemprosesan diguna semula dan diproses bagi menghasilkan bahan nilai tambah yang berpotensi untuk digunakan dalam sektor tertentu. Koperasi atau usahawan yang berminat untuk menerajui bidang pemprosesan getah krip serta serum pekat ini akan dibimbing oleh LGM.
PELANGGARAN AKTA 446 MELIBATKAN INDUSTRI SARUNG TANGAN GETAH DAN INDUSTRI PERABOT
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius terhadap pelanggaran Akta 446 yang melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing oleh beberapa beberapa syarikat industri sarung tangan getah dan industri perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) adalah bertujuan untuk menambahbaik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan.
Pematuhan terhadap Akta 446 juga adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi bagi memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia adalah serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.
Dalam hal ini, Kementerian ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat di sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuklah yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititik beratkan.
KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik.
DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 17 Disember 2020
PROJEK MODEL LADANG BULUH KUALA BERANG, TERENGGANU BAKAL TARIK MINAT PENGUSAHA BAHARU INDUSTRI BULUH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyaksikan pemeteraian perjanjian pembangunan projek model ladang buluh di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di Kuala Berang, Terengganu.
2. Projek ini akan dilaksanakan di atas tanah milik TTITC seluas 15 hektar di Kampung Teris, Kuala Berang, Terengganu. Komponen utama pelaksanaan projek ini meliputi pembangunan model ladang buluh termasuk pembangunan plot kajian dan penyelidikan tumbesaran buluh serta pembangunan dewan latihan.
3. Buluh adalah komoditi yang mempunyai kadar pertumbuhan pantas dengan hasil yang tinggi dan berpanjangan serta boleh dituai setelah berumur di antara empat hingga lima tahun. Kajian mendapati, buluh boleh dijadikan sumber alternatif kepada kayu khususnya bagi penghasilan produk bermutu tinggi seperti panel dan laminasi untuk digunakan sektor seperti pembinaan, pembuatan perabot dan sebagainya.
4. Penghasilan anak benih berkualiti dan kadar pertumbuhan pokok yang baik, amat penting bagi penghasilan tanaman buluh terbaik. Melalui penubuhan model ladang buluh ini, sumber anak benih yang berkualiti dapat dipastikan dan dihasilkan bagi menjamin ketersediaan bahan mentah untuk kegunaan industri buluh negara.
5. Projek ini bakal menjadi pemangkin dan contoh kepada ladang-ladang buluh yang ingin dibangunkan oleh pengusaha yang berminat. Ia juga mampu dijadikan sebagai pusat ekopelancongan buluh di Malaysia.
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan agar industri buluh terus berdaya maju. KPPK berharap industri ini boleh menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuala Berang, Terengganu 19 Disember 2020
MESYUARAT BERSAMA SYARIKAT PETROLEUM BAGI MEMBINCANGKAN ISU SEMASA DAN PELAN PELAKSANAAN BAGI PROGRAM BIODIESEL B20 SEKTOR PENGANGKUTAN
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula dengan Langkawi pada 1 Jan 2020 dan Labuan 15 Jan 2020.
Pelaksanaan Program Biodisesel B20 adalah merupakan inisiatif Kerajaan di bawah KPPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik. Adalah dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan.
Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun. Ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar.
Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara, telah menyebabkan Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah ini telah memberi pelbagai kekangan dan cabaran, khususnya dalam melaksanakan projek naik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20.
Oleh itu pada hari ini, KPPK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
Mesyuarat telah bersetuju akan perubahan tarikh yang telah dirancang bagi pelaksanaan untuk diperluaskan secara berfasa iaitu ke Sarawak pada 1 September 2020, Sabah pada 1 Januari 2021 dan mengekalkan tarikh asal pelaksanaannya iaitu 15 Jun 2021 bagi Semenanjung Malaysia.
Adalah diharapkan dengan tarikh baru yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.