SISTEM BAMBOO STICK DAN DRIPPING KAEDAH INOKULASI TERBAIK PENGHASILAN GAHARU
1. Lawatan kerja YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ke Ladang Karas, Jasin di Melaka adalah untuk melihat kaedah inokulasi terbaik berdasarkan sample kajian yang dilakukan ladang ini sejak November 2017. Kajian telah dilakukan ke atas 100 batang pokok oleh dua penyelidik dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM100,000. Kos yang dibelanjakan untuk inokulasi adalah RM210 per pokok.
2. Berdasarkan kajian tersebut, kaedah inokulasi terbaik adalah menggunakan sistem Bamboo Stick dan Dripping berbanding beberapa kaedah inokulasi lain seperti:- i. Direct Induce menggunakan chemjet ii. Bag Dripping System iii. Bottle Inducement Kedua-dua kaedah tersebut dilihat paling berkesan dan menghasilkan kuantiti Gaharu paling optimum dengan kos yang efektif. Ini dapat dilihat dengan penghasilan Gaharu teras secara purata sebanyak 5kg bagi setiap pokok dengan nilai jualan pasaran RM800/kg. 3. Setelah dua tahun MTIB dengan kerjasama UPEN Melaka melakukan kajian inokulasi itu mulai 2017, kini hasil yang komprehensif berkaitan penghasilan Gaharu dan pati minyak Gaharu (PMG) bagi setiap kaedah tersebut. Langkah ini seterusnya akan memanfaatkan penanam-penanam Karas bagi menjalankan proses inokulasi terbaik bagi penghasilan Gaharu.
4. Diharapkan perkembangan ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan Gaharu yang aktif di Malaysia. Jumlah pengeksport/pengimport Gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat, 22 syarikat/individu telah direkodkan sebagai PMG dan lebih 50 syarikat telah dikenal pasti sebagai pengusaha produk Gaharu di seluruh Malaysia.
5. Hasil kajian ini akan dijadikan penanda aras serta rujukan bagi MTIB dan Kementerian untuk merangsang pertumbuhan industri Gaharu di Malaysia khususnya menerusi Projek Bantuan Inokulasi yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang mana jika diluluskan akan memanfaatkan hampir 500 pengusaha Karas dan Gaharu di negara ini kelak.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Jasin, Melaka 15 Julai 2020
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
BANTUAN KEPADA PENANAM KENAF DAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) UNTUK PEKEBUN KECIL NEGERI KEDAH
SEMPENA LAWATAN KERJA MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KEDAH
1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyampaikan Bantuan Prihatin Kenaf 2020 berjumlah RM47,950 kepada 54 penanam kenaf yang mengusahakan seluas 95.5 hektar tanaman di negeri ini.
2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperuntukkan sebanyak RM968,680 bantuan prihatin khusus kepada penanam-penanam kenaf di seluruh negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Jumlah ini melibatkan 1,357 penanam dengan keluasan tanaman 1,937.36 hektar.
3. Peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 bagi setiap hektar tanaman.
4. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin turut melawat pejabat LKTN Kedah dan telah diberi taklimat mengenai operasi Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf serta demonstrasi pemprosesan biji benih kenaf.
5. Pada majlis berasingan pagi tadi, seramai 20 pekebun kecil menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berjumlah hampir RM6,000. Ia adalah insentif yang disediakan oleh kerajaan bertujuan untuk menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil.
6. IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang berada pada paras RM2.50 sekilogram ke bawah. Tuntutan IPG di negeri Kedah sehingga 30 April 2020 adalah sebanyak 35,284 pekebun kecil membabitkan sejumlah RM6.5 juta.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 JUN 2020
Kuala Lumpur, 15 Ogos: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersetuju untuk memberikan tumpuan kepada empat komoditi utama di Kelantan iaitu karas, buluh, koko dan lada bagi memajukan ekonomi negeri seterusnya negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sehubungan itu pihaknya sedia untuk berbincang dengan lebih terperinci seperti memfokuskan kepada penanaman karas berkaitan penyediaan kaedah inokulasi bagi memastikan pokok itu menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi.
Katanya, KPPK bercadang menawarkan geran bahan inokulasi mulai tahun hadapan dan kerajaan negeri boleh menyediakan dana untuk proses tanaman semula menggunakan benih yang dibekalkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk tujuan terbabit.
"Bagi prospek buluh pula, cadangan Bandar Baru Dabong sebagai lokasi Hab Buluh Negara kita amat alu-alukan dan kementerian sedia memberikan bantuan kerana buluh ini mesti ditanam secara perladangan untuk memastikan bekalan yang konsisten.
"Kelantan boleh ambil peluang ini kerana industri buluh, pasaran antarabangsanya bernilai AS$65 bilion (RM273 bilion)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Parlimen, kelmarin.
Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian juga berhasrat melanjutkan perbincangan secara lebih terperinci dengan kerajaan negeri untuk mengembangkan tanaman koko dan lada di negeri berkenaan.
Bagi tanaman koko, beliau sendiri amat berminat dengan industri penghasilan coklat yang merupakan sektor hiliran komoditi itu berikutan prospeknya yang amat baik selain memberikan peluang kepada usahawan tempatan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.
"Ia memang menjadi fokus saya untuk menjadikan Malaysia ini 'Raja Coklat Asia', dan untuk itu kita akan isytihar Langkawi sebagai Hab Coklat Malaysia," katanya.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 15 Ogos 2020
KPPK, MPOA SUMBANG PERALATAN DAN BARANGAN KESIHATAN BERNILAI LEBIH RM5 JUTA KEPADA BARISAN HADAPAN KKM
1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dalam usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.
2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan seunit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM120,000 dan pelitup muka sebanyak 20,000 helai menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM140,000.
3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan disaksikan oleh Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, MPOA, YBrs. Encik Ramzuz Mohd Rashid kepada Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), YBhg. Dr. Zaleha binti Md. Noor.
4. MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.
5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA melalui KPPK telah menyumbang berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020), Hospital Serdang (26 Mac 2020), Hospital Selayang (4 Ogos 2020) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu Kelantan (13 September 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.234 juta.
6. KPPK, MPOA dan NGO berharap akan lebih banyak lagi sumbangan dapat disalurkan kepada organisasi-organisasi yang lebih memerlukan dan seterusnya dapat membantu pihak hospital membendung penularan serta merawat pesakit COVID-19 di negara ini.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Seremban, Negeri Sembilan 15 Oktober 2020
HAB COKLAT MALAYSIA PEMANGKIN PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO DAN COKLAT TEMPATAN
1. Pulau Langkawi hari ini secara rasminya diisytiharkan sebagai Hab Coklat Malaysia. Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
2. Cadangan mewujudkan hab coklat berkenaan sejajar dengan perkembangan Langkawi sebagai pusat peranginan tersohor negara dengan jumlah kemasukan pelancong melebihi 3.6 juta orang sejak tahun 2014 dan yang terkini hampir 4 juta orang sepanjang tahun 2019 seperti yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Cadangan ini juga adalah selari dengan hasrat kementerian menjadikan Malaysia sebagai King of Chocolate di rantau Asia.
3. Pewujudan hab ini akan merancakkan lagi pembangunan sektor hiliran koko di pulau ini. Di samping itu, ia juga akan menjadi pemangkin untuk mempromosikan produk coklat khususnya coklat buatan tempatan yang seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan aktiviti pengeluaran produk-produk coklat.
4. Sektor koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah RM1.6 bilion. Sektor pembuatan coklat dan produk koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3 peratus pada tahun yang sama dengan peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
5. Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi lima bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion, meningkat sebanyak 0.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Bagi memperkasa industri pembuatan coklat, kementerian telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Bimbingan Lembaga Koko Malaysia pada tahun 2013. Sehingga 16 Ogos 2020, seramai 224 orang usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut dengan hasil jualan produk usahawan coklat bagi tempoh lima bulan pertama 2020 (Januari hingga April) adalah sebanyak RM2.06 juta.
7. YB Menteri turut merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan yang diadakan pada 14-16 Ogos 2020. Seramai 11 usahawan coklat berjaya dilahirkan di Kedah setakat ini, dua daripadanya mencapai tahap PKS. Program Pembangunan Usahawan Coklat akan terus dipergiatkan bagi menambah usahawan coklat di seluruh negeri ini dan dijadikan medium untuk meningkatkan pendapatan khususnya golongan B40. Seramai 25 bakal usahawan coklat buatan tangan telah mengikuti kursus kali ini.
8. Di samping itu, bantuan insentif input pertanian turut disampaikan kepada 46 pekebun kecil koko Zon Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM13,000. Bantuan tersebut bertujuan membantu golongan terbabit yang terkesan berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
9. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 pekebun kecil koko di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak RM276,500 diperuntukkan kepada 768 pekebun kecil kokodi Semenanjung.
10. KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seterusnya mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan seterusnya pembangunan akan terus diberi keutamaan.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 16 Ogos 2020