IBS TASBLOCK BERASASKAN KENAF MAMPU MENJIMATKAN KOS PEMBINAAN BANGUNAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pejabat Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock di Lot 1099, Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf, Setiu Terengganu. Lawatan berkenaan bagi meninjau perkembangan proses pembinaan pejabat serta ruang pameran menggunakan teknologi IBS Tasblock berasaskan kenaf.
2. Industri kenaf negara telah mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan bahan binaan berasaskan kenaf hasil kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Tasblock (M) Sdn. Bhd. Kos pembinaan projek adalah dianggarkan sebanyak RM81,000 dengan keluasan 700 kaki persegi menggunakan 600 kilogram gentian kenaf, dilengkapi dengan ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas.
3. Penggunaan kenaf dalam sistem Tasblock ini mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi sekali gus merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan berasaskan kenaf. Teknologi baharu itu juga mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa. Tempoh masa untuk menyiapkan pejabat dan ruang pameran itu hanya mengambil masa selama 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan dengan menggunakan kaedah secara konvensional.
4. Inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta ini adalah selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran. Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.
5. Kementerian melalui LKTN akan terus memberi perhatian dan usaha-usaha serta melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dan sosioekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Setiu, Terengganu 12 Disember 2020
UCAPAN TAKZIAH PEMERGIAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF INSTITUT PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA (IMPAC)
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komodti (MPIC) ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Encik Mohd Solah bin Deraman, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) yang kembali ke Rahmatullah pada petang Rabu, 10hb Mac 2020 akibat kemalangan jalan raya.
2. Saya akan pastikan segala bentuk bantuan yang bersesuaian dan sewajarnya diberikan kepada keluarga daripada semasa ke semasa untuk meringankan beban balu dan keluarga Allahyarham.
Al-Fatihah YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 11 Mac 2020, Putrajaya
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
LAWATAN KERJA KE MPOB
12 MAC 2020
1. Saya melafazkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan lawatan pertama ke agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
2. Pada hari ini, saya telah diberi taklimat mengenai MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan menyediakan perkhidmatan kepada pihak terlibat dalam industri sawit negara.
3. Pencapaian bidang penyelidikan dalam industri sawit yang diterajui oleh MPOB turut menyumbang kemajuan pesat industri sawit negara yang merupakan tunggak komoditi pertanian negara. Sehingga 2019, keluasan tanaman sawit sebanyak 5.9 juta hektar menghasilkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 19.86 juta tan dan menjana pendapatan eksport berjumlah RM64.45 billion. Kemajuan industri sawit di sepanjang rantaian pengeluaran menyedia peluang ekonomi dan pekerjaan kepada lebih 4 juta penduduk termasuk 500,000 pekebun kecil sawit.
4. Penyelidikan MPOB telah menghasilkan 672 teknologi dan inovasi dalam semua aspek sawit yang ditawarkan untuk pengkomersialan dan digunapakai oleh pihak industri. Penggunaan teknologi baharu penting bagi peningkatan daya saing industri di peringkat global dan menyumbang dari segi peningkatan produktiviti pengeluaran dan kualiti produk sawit, kegunaan minyak sawit dalam makanan dan bukan makanan.
5. Sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan industri sawit mampan, MPOB memberi tumpuan penting kepada pembangunan pekebun kecil persendirian termasuk pelaksanaan pensijilan MSPO melibatkan keluasan kawasan tanaman sawit berjumlah 986,331 hektar. Usaha ini dilaksanakan melalui penubuhan 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara. Sehingga kini, sebanyak 107,966.47 hektar atau 11% telah berjaya dipersijilkan. Usaha giat dilaksanakan untuk mencapai matlamat pensijilan pekebun kecil sepenuhnya menjelang tahun 2023.
6. Aspek kemampanan dan jaminan keselamatan produk sawit diberi tumpuan penting bagi bekalan minyak sawit ke luar negara. Maklumat saintifik yang dihasilkan melalui penyelidikan MPOB dan pihak industri dapat menangkis tohmahan negatif dan usaha memburukkan industri sawit yang dikaitkan dengan alam sekitar, biodiversiti dan perlindungan hidupan liar, jaminan keselamatan dan khasiat pemakanan minyak sawit.
7. Penyelidikan MPOB dan institusi penyelidikan luar negara membuktikan minyak sawit mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi (vitamin A dan E) yang baik untuk kesihatan manusia, kegunaan yang pelbagai ‘versatile’ bagi sektor makanan dan bukan makanan.
8. Hasil penyelidikan MPOB menghasilkan teknologi dan formulasi bagi pengeluaran produk oleokimia sawit sebagai pengganti sumber petroleum untuk penghasilan produk pencuci, produk kosmetik dan penjagaan diri serta produk industri. Penyelidikan MPOB juga menghasilkan teknologi penggunaan produk biojisim sawit bagi penghasilan papan lapis, produk ketumpatan sederhana (MDF) bagi penghasilan perabot dan komponen kenderaan dan biodiesel sawit yang diadun sebanyak 20 peratus bersama diesel petroleum.
9. Seperti saya maklumkan dalam sidang akhbar pertama, kementerian dan agensi melalui pemuafakatan bersama pihak industri akan mengembleng tenaga dan kepakaran bagi memaju sektor komoditi termasuk industri sawit dan menangani cabaran bagi kesejahteraan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
10. Saya akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran sama ada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti ataupun pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.
11. Kementerian akan terus meneroka pasaran-pasaran baharu yang masih belum kita kuasai sepenuhnya disamping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.
12. Saya akan memastikan matlamat yang dicapai oleh Kementerian adalah menerusi amalan tadbir yang baik, berintegriti dan kualiti yang tinggi.
INDUSTRI UKIRAN KAYU DAN POTENSINYA UNTUK DIMAJUKAN DI BAWAH PEMBANGUNAN INDUSTRI KAYU KAYAN NEGARA
1. Pada hari ini, 13 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai industri ukiran kayu dan potensinya untuk dibangunkan di bawah industri kayu-kayan negara.
2. Ukiran kayu mempunyai nilai estetika yang tinggi dan mempunyai potensi untuk dikembangkan. Industri ini mampu untuk mencapai nilai pasaran tempatan yang dianggarkan di antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun. Selain daripada produk ukiran yang mempunyai nilai tinggi, komponen ukiran juga boleh dimanfaatkan sebagai produk nilai tambah kepada produk-produk lain terutamanya dalam pembuatan perabot, kapal mahupun produk panel. Kombinasi perabot yang ditambah nilai dengan seni ukiran mampu memberi pulangan harga yang lebih baik kerana mempunyai identiti tersendiri, unik dan mempunyai potensi untuk dimajukan.
3. Pada masa ini, terdapat seramai 500 orang usahawan ukiran kayu di seluruh Malaysia. Pengukir-pengukir yang masih aktif beroperasi di beberapa buah negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Daerah Besut di Terengganu merupakan kawasan termasyhur bagi industri ukiran kayu negara. Ramai pengukir-pengukir tersohor negara dalam industri ukiran kayu dilahirkan di daerah Besut, Terengganu.
4. Dalam hal ini, Kementerian sedang menyediakan Pelan Strategi Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara bagi tempoh 2021-2030. Pelan ini merangkumi pelbagai aspek seperti latihan dan kemahiran modal insan, promosi seni ukiran, keusahawanan dan penggunaan mesin serta peralatan. Pelan tersebut dirangka bagi memartabatkan industri ini yang bakal menjadi kebanggaan Malaysia pada masa hadapan.
5. Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pengukir iaitu sebuah persatuan yang dianggotai oleh para pengukir tempatan akan mempromosikan seni ukiran kayu Malaysia di peringkat negeri dan nasional. Selain itu, Kementerian juga berhasrat menjadikan Besut sebagai Hub Ukiran Kayu Negara di mana pelbagai program berkaitan pembangunan seni ukiran akan dilaksanakan.
6. Sehubungan itu, bagi meneruskan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan bangsa dan negara berkekalan, pembangunan industri ini adalah perlu supaya hasil seni ukiran oleh pengukir dapat diteruskan dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 13 MEI 2020
1. Pada hari ini, 15 April 2020, YB Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah memaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai status pembangunan industri buluh negara dan akan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi.
2. Saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah USD68 bilion pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara adalah masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada tahun 2019. Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini.
3. Pokok buluh merupakan pokok mudah ditanam dan dijaga. Tempoh matang pokok buluh adalah singkat iaitu di antara tiga (3) hingga empat (4) tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.
4. Pada masa kini terdapat lebih kurang 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dibawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) juga menyediakan insentif pinjaman mudah (soft loan) bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh. Pinjaman sejumlah RM10,000 sehektar disediakan untuk pembangunan ladang skala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41–2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas). Lima (5) spesies buluh yang telah dikenalpasti di bawah PPLH adalah spesies Buluh Betung, Buluh Semantan, Buluh Beting, Buluh Beti dan Buluh Hitam.
6. Bagi menyokong pembangunan industri buluh, kementerian akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Negeri Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti. Makmal tisu kultur tersebut berupaya menghasilkan sehingga 100,000 anak benih buluh sebulan apabila beroperasi sepenuhnya kelak.
7. Kementerian akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri Buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12). Disamping itu, Kementerian juga sedang menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh, 2021-2025 yang dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun ini.
YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 15 April 2020