SIARAN MEDIA 2020

Jata


KENYATAAN MEDIA


KPPK MAHU LAPORAN RASMI YAYASAN PENGGUNA NEGARA
MALAYSIA BERSERTA BUKTI


 


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil berat dan memandang serius dakwaan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) melalui laporan akhbar UtusanMalaysia yang bertajuk ‘Jual beli minyak sawit haram’ pada 19 September 2020. Laporan itu menyebut kononnya ada agensi kerajaan yang mengawal selia industri sawit tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan kegiatan berkenaan.


2. Selain itu agensi berita, Bernama dan portal Malaysia Gazette pada 21 September 2020 turut menerbitkan berita, masing-masing bertajuk ‘YPNM mohon PM atasi ketirisan industri sawit negara’ dan ‘Ada ‘orang dalam’ bantu sindiket jual minyak pasaran gelap’. Keduadua artikel itu melaporkan Presiden YPNM menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri supaya tindakan diambil ke atas sindiket industri sawit yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.


3. Kementerian menegaskan bahawa setiap aduan yang diterima dikategorikan sebagai amat penting dan disiasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta peruntukan perundangan yang berkuat kuasa. Kementerian juga sedia maklum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengguna pakai Sistem Pemantau Sawit (SPS) sejak tahun 2014 bagi mengawal selia setiap pergerakan kenderaan yang membawa minyak sawit untuk mengelakkan daripada terlibat aktiviti salah laku.


4. Justeru, KPPK meminta pihak yang membuat dakwaan supaya melaporkan perkara ini kepada kementerian dengan mengemukakan bukti-bukti agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil. Kementerian juga menggalakkan agensi dan persatuan industri sawit lain seperti FELCRA, FELDA, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan lainlain untuk emberikan maklum balas berkaitan dakwaan yang dibuat.


5. Sekiranya terbukti terdapat salah laku pegawai, maka tindakan tegasmengikut undang-undang akan dilaksanakan. Kementerian sentiasamengutamakan amalan berintegriti dalam semua urusan kerajaan.


YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 September 2020

Jata
KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI

KENYATAAN MEDIA

USAHAWAN AGRO DISERU TEROKA KEUSAHAWANAN HILIRAN
SEBAGAI BIDANG BAHARU KOMODITI LADA


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tuan Willie Mongin, hari ini merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5 Tahun 2020 di Hotel UCSI Kuching. Bengkel yang telah diadakan selama dua hari bermula semalam, dihadiri oleh seramai 46 bakal usahawan dalam kalangan para pekebun, peraih, usahawan huluan dan hiliran yang berpotensi dari Serian, Padawan dan Simunjan.

2. Pada program itu, para peserta telah didedahkan dengan pengetahuan bagi membantu mereka menjadi usahawan lada yang berjaya iaitu pengetahuan mengenai pendaftaran dan pembiayaan perniagaan, persijilan halal, penguatkuasaan dan pelesenan serta potensi pasaran.

3. Bengkel kali ini merupakan sesi kelima yang telah diadakan selepas dilaksanakan di Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu dan Johor. Seterusnya, program ini turut dirancang untuk diadakan di Terengganu, Sarikei, Sri Aman dan Miri pada tahun ini.

4. Usaha mewujudkan lebih ramai usahawan agro atau agropreneur lada bukan sahaja dapat membantu bakal usahawan berkaitan pengetahuan berkenaan perniagaan, tetapi juga sebagai langkah mengukuhkan pasaran tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran eksport selain mengurangkan kesan akibat daripada ketidaktentuan harga komoditi.

5. Para pekebun kecil yang berpotensi diseru untuk meningkatkan nilai tambah tanaman yang mereka usahakan dengan menerokai potensi komoditi tersebut serta menceburkan diri dalam bidang keusahawanan hiliran seterusnya tidak bergantung hanya kepada pengeluaran lada sahaja.

6. Selain itu, kejayaan para usahawan hiliran sedia ada akan dijadikan dorongan dan inspirasi oleh bakal usahawan untuk menjadi lebih kompetitif serta berdaya saing di samping dapat meningkatkan kualiti hidup ke tahap yang lebih baik.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching, Sarawak
22 September 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA

TEKNOLOGI PEMPROSESEN GETAH KRIP TINGKATKAN
PENDAPATAN PENOREH

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan membangunkan model untuk memajukan rantaian nilai sektor huluan getah bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini, melalui pengenalan projek Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok melalui pakej teknologi pemprosesen getah krip dan serum getah bersepadu yang telah dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

2. Pengenalan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok kepada sektor huluan industri getah dilihat dapat membantu pekebun kecil dalam memasarkan hasil pengeluaran getah mereka dengan harga yang berpatutan. Ini merupakan komitmen YB Menteri dan KPPK untuk memastikan pekebun kecil getah memperoleh harga yang sewajarnya dan meraih pendapatan yang setimpal dengan usaha mereka.

3. Melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan (profit-sharing) akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan. Usaha ini akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. Ini seterusnya akan dapat mengekalkan daya saing industri getah sebagai peneraju pengeluar getah dan produk getah berkualiti di peringkat global.

4. Bagi merealisasikan usaha ini, KPPK akan mempertimbangkan dana awal untuk projek ini sebanyak RM6 juta melalui agensi kementerian iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC), yang akan bekerjasama dengan LGM untuk melaksanakan projek tersebut.

5. KPPK menyarankan agar pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing. Ia sebagai persediaan awal seperti mana dirancang untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2021.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
1 November 2020

 

 

 

 

KENYATAAN MEDIA

KPPK LANCAR KEMPEN MENGGALAKKAN PEKERJA TEMPATAN BEKERJA DI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI

1. Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini berada pada gelombang ketiga. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

2. Pada masa yang sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Oleh itu, KPPK berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa. Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan.

3. KPPK akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja di sektor ini. KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

4. Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

5. Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan. KPPK turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut. Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan.

 

YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
1 November 2020

 

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE NEGERI JOHOR BAGI MENINJAU INDUSTRI KOKO

1. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan lawatan kerja ke Johor pada 11 Mei 2020 bagi memantau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lawatan kerja ini juga bagi meninjau isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri koko dengan lebih dekat terutama semasa tempoh PKPB.

2. Terkini Malaysia adalah merupakan negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.14 bilion pada tahun tersebut berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus.

3. Walau bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport daripada koko dan produk-produk berasaskan koko akan menurun sebanyak 18 peratus berikutan pelaksanaan PKP.

4. Antara syarikat yang dikunjungi adalah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia. Syarikat ini merupakan pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun dan merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

5. Selain itu, lawatan turut diadakan ke syarikat HSRICH Chocolate yang merupakan usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia. Pada tahun ini, seramai 224 usahawan coklat termasuk 22 usahawan di Johor dibimbing melalui program ini.

6. Lawatan kerja sehari ini telah memberi peluang kepada YB Menteri mendengar secara terus dari pemain industri tentang permasalahan dan potensi industri koko dan coklat negara. Lawatan tersebut turut berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap yang lebih baik terutama antara Kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di negeri Johor.

7. Kementerian juga komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baru RMK12.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
11 Mei 2020