KOPERASI KLUSTER KOKO TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL DAN USAHAWAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada 21 - 22 Ogos 2020 di Hotel Perkasa Mount Kinabalu, Ranau, Sabah yang dihadiri 100 orang pekebun kecil koko dari seluruh negeri ini.
2. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko selaras dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai pengeluar biji koko kering hasil keluaran setempat (single origin) dan berperisa unik (fine flavour) yang menawarkan nilai pasaran sehingga dua kali ganda lebih tinggi daripada harga semasa. Penekanan ke atas kedua-dua jenis pengeluaran ini akan memastikan keunikan aroma biji koko kering mengikut kawasan terpelihara, di samping meningkatkan pendapatan pekebun kecil terbabit.
3. Sepanjang tahun ini, LKM memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keluasan tanaman koko, pengeluaran biji koko kering dan pendapatan pekebun kecil melalui Program Tanaman Baharu Koko Kluster, Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti, melibatkan kawasan tanaman koko di Sabah seluas 2,051 hektar.
4. Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko merupakan salah satu projek pembangunan LKM yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan peruntukan sebanyak RM52 juta. Program kluster koko ini berkonsepkan pembangunan rantaian nilai koko dari kebun ke hidangan (Farm to Table) iaitu coklat dengan penglibatan komuniti atau kluster terpilih secara terbimbing. Melalui usaha ini, LKM akan membangunkan rantaian nilai di sepanjang peringkat pengeluaran koko merangkumi huluan, pertengahan dan hiliran.
5. Kluster koko juga berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana ia mengeluarkan hasil keluaran setempat sehingga ke produk terakhir sebelum dipasarkan. Program ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil serta usahawan koko. Tiga kluster akan dibangunkan di bawah program ini iaitu Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) di Sabah, SARA Cocoa Cluster di Sarawak dan Peninsular Cocoa Belt.
6. RHCC melibatkan 1,015 orang pekebun kecil koko sekitar Ranau yang membekalkan biji koko ke kompleks kluster koko yang akan dibina di Kg. Napong, Ranau. Kompleks ini akan memproses biji koko sehingga terhasilnya produk coklat dan dijenamakan sebagai Highland Single Origin Cocoa. Aktiviti penjualan hasil koko dan coklat akan dipertanggungjawabkan kepada Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad yang dianggotai oleh 148 orang pekebun kecil koko, usahawan koko dan pegawai LKM.
7. YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin turut menyerahkan Bantuan Prihatin Koko 2020 berbentuk insentif input pertanian kepada 2,725 orang pekebun kecil koko di negeri itu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM1.6 juta.
8. Pemberian bantuan input pertanian ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil koko yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 orang pekebun kecil koko di seluruh negara.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 22 Ogos 2020
PRESTASI EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN YANG BAIK DIUNJURKAN SEHINGGA AKHIR 2020
1. Industri perkayuan merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan eksport negara yang juga subsektor ketiga terpenting selepas sawit dan getah. Justeru untuk makluman, pasaran eksport perkayuan Malaysia bagi tempoh Januari-September 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik walaupun di dalam suasana pandemik COVID-19 dengan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 4 peratus. Prestasi eksport bagi tempoh ini telah mencatatkan nilai RM15.7 bilion berbanding RM16.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Peratus penurunan ini adalah rendah dan pasaran kini berada pada fasa pemulihan.
2. Dari segi negara pasaran eksport, pasaran utama kayu dan produk kayu Malaysia yang menunjukan peningkatan positif ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan kedua-dua negara ini mewakili 43 peratus pasaran eksport Malaysia. Bagi tempoh Januari-September 2020, pasaran AS telah meningkatkan pembelian sebanyak 53 peratus kepada RM5.1 bilion.
3. Perang perdagangan antara AS dan China memberi kesan dengan peningkatan permintaan daripada AS terhadap produk perabot negara. Manakala China mencatatkan kenaikan nilai eksport sebanyak 31 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 disebabkan republik berkenaan telah memasuki fasa pemulihan berikutan penularan pandemik COVID-19.
4. Walau bagaimanapun, pasaran kedua terbesar negara iaitu Jepun telah mengalami penurunan sebanyak 22 peratus kepada RM2 bilion. Situasi ini didorong oleh penurunan eksport papan lapis ke negara berkenaan. Manakala pasaran keempat dan kelima terbesar iaitu Australia dan Singapura, masing-masing mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM633 juta dan RM574 juta iaitu penurunan sebanyak 17 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
5. Dalam pada itu, prestasi eksport bagi produk utama bernilai tambah tinggi seperti perabot kayu, tanggam dan kayu kumai secara keseluruhannya merekodkan peningkatan 8 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM8.4 bilion berbanding RM7.8 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala prestasi eksport produk primer utama seperti papan lapis dan kayu gergaji secara keseluruhannya merekodkan penurunan 24 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM3.92 bilion berbanding RM5.18 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Secara keseluruhannya, walaupun negara dan pasaran global sedang berdepan dengan situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, prestasi eksport semasa ini menunjukkan industri kayu negara berada pada fasa pemulihan dan masih berdaya saing. Kementerian berkeyakinan prestasi perdagangan ini akan kembali positif pada hujung tahun ini. Aktiviti perdagangan juga diharapkan dapat dijalankan dengan lebih rancak pada tahun hadapan sebaik pandemik ini berakhir bagi meningkatkan semula prestasi eksport produk perkayuan negara.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 24 November 2020
KIT DIAGNOSTIK KOKOCORRECTTM DAN KOKOSELECTTM BANTU HASILKAN BAKA, AGRONOMI KOKO BERKUALITI TINGGI
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan prapelancaran dua hasil penyelidikan bioteknologi Lembaga Koko Malaysia (LKM) iaitu Kit Diagnostik KokoCorrectTM dan KokoSelectTM di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah.
2. Kedua-dua kit diagnostik ini dibangunkan untuk membantu pembiak baka koko mengenal pasti baka dan ciri agronomi pokok seperti hasil dan lemak koko yang tinggi selain tahan serangan perosak serta penyakit pada peringkat anak pokok. Ini akan mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan pemilihan bahan tanaman koko.
3. YB Menteri juga melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, LKM KKIP yang turut dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) Genom Koko bagi memantau pencapaian projek-projek penyelidikan LKM khususnya dalam bidang bioteknologi.
4. Penyelidikan bioteknologi koko oleh LKM meliputi tiga program utama iaitu agro, makanan serta farmaseutikal dan industri. Kajian bioteknologi koko ini merangkumi beberapa projek seperti Cocoa Genome, Genotyping of Cocoa Clones, kultur tisu, serta kawalan penyakit dan perosak koko secara biologi.
5. Antara produk akhir hasil penyelidikan adalah coklat probiotik, coklat antioksidan serta ekstrak antibakteria dan agen antikanser dari daun koko.
6. Melalui semua kajian serta dapatan hasil pembangunan dan penyelidikan bioteknologi ini, kementerian berharap akan dapat membantu pembiak baka koko seterusnya para pekebun untuk meningkatkan hasil tanaman dalam usaha merancakkan ekonomi selain meningkatkan pendapatan mereka.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kota Kinabalu, Sabah 24 September 2020
APLIKASI RRIMNIAGA TINGKATKAN AGIHAN IPG DAN PEMBUKAAN PANEL TOREHAN PESERTA GETAH UNTUK PRIBUMI (GUP)
1. RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar untuk merekodkan urus niaga getah yang digunakan oleh pelesen/pembeli/peraih yang dibangunkan secara dalaman oleh Lembaga Getah Malaysia.
2. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2015, adalah inisiatif jangka masa panjang untuk menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pekebun kecil getah. Sejak diperkenalkan, sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak RM368.8 juta telah dibelanjakan untuk bayaran tuntutan IPG. Manakala, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020, LGM telah memproses sejumlah 597,086 permohonan tuntutan IPG di seluruh negara dan sebanyak RM125.6 juta telah dibayar.
3. Bagaimanapun hanya sekitar 130,000 pekebun kecil getah yang aktif membuat tuntutan IPG daripada lebih 450,000 pekebun kecil berdaftar. Menyedari jumlah peratusan pemohon IPG adalah rendah, pihak LGM telah menjalankan kajian untuk melihat sebab-sebab mengapa perkara ini berlaku antaranya, didapati proses permohonan IPG adalah agak rumit dan ramai yang layak memohon, tidak mengemukakan tuntutan.
4. Oleh itu, LGM telah mengambil inisiatif dengan membangunkan aplikasi yang dinamakan RRIMniaga, yang dapat mempercepatkan proses permohonan IPG daripada LGM. Kelebihan aplikasi itu ialah, ia berhubung terus dengan sistem IPG apabila urus niaga getah antara pekebun kecil dengan pembeli berlaku. Pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG kerana sistem RRIMniaga akan merekod transaksi pembelian dan terus menjanakan resit pembelian secara elektronik. Bayaran IPG akan dimasukkan terus ke akaun bank pemohon yang layak.
5. Penggunaan RRIMniaga telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan pada peringkat percubaan selama tempoh hampir 24 bulan. Bermula di Melaka pada tahun Jun 2018, ia kini telah berkembang ke Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Selangor.
6. Melihat kepada kejayaan penggunaan RRIMniaga pada peringkat percubaan tersebut, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengarahkan supaya semua pelesen getah menggunakan aplikasi ini untuk semua transaksi jual beli getah dan penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2021. Ini akan melibatkan sekitar 2,600 peraih getah di seluruh negara.
7. Di Perak, pengenalan RRIMniaga bermula di Hulu Perak dengan taklimat pengenalan melibatkan 10 pelesen yang aktif pada Jun 2020. Sehingga 1 September 2020, seramai 40 pelesen di negeri ini telah menggunakan RRIMNiaga. Sasaran LGM ialah supaya semua 466 peruncit getah negeri ini mahir menggunakan sistem berkenaan menjelang tempoh wajib guna tahun hadapan.
8. Dengan usaha ini proses jual/beli getah akan dipermudahkan dan proses tuntutan IPG bagi semua pihak yang berkelayakan akan dilakukan secara automatik dan atas talian. Penggunaan sistem RRIMniaga dilihat dapat meningkatkan bilangan pekebun kecil getah yang akan menerima manfaat IPG dari kerajaan, sekali gus membantu menjaga kebajikan dan menjamin pendapatan mereka di kala harga getah yang rendah.
Projek Getah Untuk Pribumi (GUP) Sg Perah, Parit, Perak.
9. Kampung Sungai Perah terletak di Daerah Perak Tengah. Komuniti Orang Aslidi Sungai Perah terdiri dari suku Semai. Projek GUP Sungai Perah bermula padatahun 2012. Sehingga Ogos 2020, jumlah peserta ialah seramai 11 orang dan sem ua peserta GUP telah menjalani operasi torehan dengan baki empat peserta terakhir memulakan torehan pada tahun 2020.
10. Projek GUP Sungai Perah adalah projek contoh kepada pekebun kecil sekitar dengan pemantauan sepenuhnya oleh LGM bermula dari peringkat penyediaan ladang.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 4 September 2020
SEKTOR AGRIKOMODITI BEROPERASI PENUH DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi termasuk agrikomoditi beroperasi mulai 4 Mei 2020 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sektor agrikomoditi yang dibenarkan beroperasi merangkumi aktiviti perladangan dan perkilangan sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf dan biodiesel. Selain daripada aktiviti huluan yang dibenarkan beroperasi, aktiviti hiliran juga turut mendapat kelulusan yang merangkumi dagangan agrikomoditi termasuk jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian melibatkan anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin.
Sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah ini, sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil sektor agrikomoditi akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan individu juga akan terjejas. Malahan, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup.
Keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi yang merangkumi agrikomoditi adalah diharapkan akan berupaya untuk memberi impak positif kepada ekonomi negara tanpa mengenepikan kesejahteraan rakyat khususnya hampir 1 juta orang pekebun kecil agrikomoditi. Sektor agrikomoditi telah menyumbang sebanyak RM125.6 bilion dari segi pendapatan eksport negara pada tahun 2019. Demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin, semua sektor agrikomoditi yang telah diluluskan untuk pengoperasian penuh wajib memenuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan. Soalan lazim (FAQ) berkenaan PKPB sektor agrikomoditi telah disediakan dan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MPIC. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut juga boleh dikemukakan kepada MPIC melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.
Sehubungan itu, sektor-sektor agrikomoditi yang beroperasi mulai 4 Mei 2020 WAJIB mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak ladang dan kilang berkenaan. Perlu ditegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti dibenarkan bagi kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta kemampanan ekonomi, Kementerian berharap semua pihak termasuk pengusaha dan majikan yang dibenarkan untuk beroperasi dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Selasa, 5 Mei 2020