SIARAN MEDIA 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA
SUMBANGAN DANA BANTUAN KEMANUSIAAN COVID-19  DARI SEKTOR PERKAYUAN


VIP di gambar YBM 2 : Dari kiri, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Low Kian Chuan, Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Goh Chee Yew, Presiden Malaysian Timber Association (MTA)

 

1. Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah melancarkan Dana Bantuan Kemanusiaan COVID-19 dengan kerjasama 7 persatuan dan lebih 100 syarikat perkayuan seiring dengan usaha tindak balas kemanusiaan di dalam memerangi COVID-19. Ini adalah sebagai langkah untuk meringankan beban kerajaan bagi membendung penularan wabak penyakit COVID-19.

2. MTC mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dan setakat hari ini telah berjaya mengumpul sebanyak RM895,550.00

3. Sumbangan ini akan disalurkan untuk membekalkan keperluan Kementerian Kesihatan, badan-badan barisan hadapan yang memerlukan untuk memerangi gejala COVID-19 dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk disampaikan terus kepada rakyat yang sedang kesusahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

4. MTC akan teruskan dengan kempen kutipan dana ini sehingga mencapai sasaran RM1 juta. Lebih daripada 100 syarikat perkayuan dan 7 persatuan menunjukkan sikap prihatin membantu barisan hadapan dan golongan terjejas walaupun perniagaan mereka terutama industri kecil dan sederhana (IKS) turut terkesan dengan wabak COVID-19 ini. Manakala, 30 syarikat lain yang menyumbang adalah dari sektor perabot dan 71 syarikat dari sektor perkayuan yang lain.

5. Pengerusi MTC, YBhg. Dato’ Low Kian Chuan menyerahkan mock cek bernilai RM895,550.00 yang dikumpul setakat hari ini kepada Menteri Perusahaan Peladangandan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Sungai Tong, Terengganu.

6. Turut hadir ke majlis ini adalah Encik Goh Chee Yew, Presiden Persatuan Kayu Malaysia (MTA) yang juga Presiden Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA).

7. Jumlah kutipan dari persatuan-persatuan perkayuan berjumlah RM 521,700.00 adalah seperti berikut:

• Majlis Kayu Kumai & Tanggam Malaysia (MWMJC) RM150,000.00 Majlis Perabot Malaysia (MFC) RM121,700.00;
• Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA) RM100,000.00;
• Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) RM50,000;
• Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM) RM50,000.00 Persatuan Kayu Malaysia (MTA) RM50,000.00.

8. Seterusnya baki disumbangkan oleh lebih dari 100 syarikat perkayuan telah memberi sumbangan kepada tabung tersebut berjumlah RM123,850.00. Manakala, MTC telah menyumbang baki selebihnya sebanyak RM250,000.00 Kesemuanya ini menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM895,500.00.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
30 Mac 2020

 

 

Jata

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA SEDIA BANTU NIGERIA KEMBANGKAN
PASARAN PRODUK HALAL AGRIKOMODITI
________________________________________

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semalam menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ekspo Maya Halal Dunia dan Siri Webinar 2020 yang antara lain memfokuskan kepada industri halal dunia yang kini bernilai kira-kira AS$2.3 trilion (RM9.57 trilion) dan kaitannya dengan produk-produk agrikomoditi.

2. Industri halal bukan sekadar membabitkan segmen makanan dan minuman dalam masyarakat malah meliputi produk hiliran komoditi seperti coklat, sarung tangan getah, produk minyak sawit, kosmetik dan pelbagai lagi.

3. Pasaran halal telah muncul sebagai komponen progresif dalam ekonomi global hari ini dengan peningkatan pengguna Muslim dan bukan Muslim setiap tahun. Industri ini akan menjadi amat berdaya saing dalam dunia perniagaan antarabangsa selain memiliki tahap standard kualiti yang tinggi atau elemen 'thoyyiban' yang menjadi unsur penting dalam Islam.

4. Kadar pertumbuhan tahunan industri berkenaan adalah sebanyak 20 peratus menjadikan ia adalah perniagaan yang berkembang pesat di dunia. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana pembangunan industri halal disokong oleh kerajaan selain menggalakkan sinergi kerjasama antara sektor swasta dan sektor awam.

5. Pasaran halal tidak hanya berkembang di negara-negara majoriti umat Islam, tetapi juga di negara-negara majoriti bukan Islam termasuk China, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Nigeria yang merupakan antara negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia selepas Indonesia, sememangnya memiliki pasaran halal yang kian berkembang dari segmen makanan meneroka ke bidang baharu seperti logistik, fesyen, kosmetik, perbankan Islam, rantaian bekalan dan banyak lagi.

6. Lebih banyak syarikat kini memenuhi pasaran Muslim dengan menghasilkan barangan halal. Kini masa yang tepat untuk Malaysia bekerjasama dengan Nigeria bagi membangunkan Hab Perniagaan Halal di negara itu untuk menghasilkan produk halal, pensijilan makanan halal, pengurusan makanan halal dan banyak lagi. Ini adalah contoh terbaik untuk menjalinkan hubungan global dalam perkembangan industri halal di seluruh dunia dan ummah secara keseluruhan.

7. Dalam konteks kerjasama Malaysia dan Nigeria, negara dari Afrika itu akan dapat mengambil perspektif yang berbeza mengenai trend semasa industri halal global terutama membabitkan produk berasaskan agrikomoditi. Dengan 50 peratus penduduk Islam di negara itu, Nigeria bertanggungjawab untuk menjaga sebilangan besar pengguna halal tempatan mereka.

8. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia untuk membantu Nigeria khususnya membabitkan produk-produk halal berasaskan agrikomoditi keluaran tempatan bagi mengembangkan lagi pasaran produk halal di negara itu.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
1 Oktober 2020

 

Jata

KENYATAAN MEDIA


SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN
UNTUK MEMERANGI COVID-19


 


1. Industri getah merupakan antara 6 sektor komoditi utama di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang telah menyumbang eksport negara sebanyak RM30.9 billion pada tahun 2019.


2. Antara produk yang dihasilkan adalah sarung tangan (gloves), justeru seiring dengan usaha kerajaan, KPPK turut bersama meringankan beban petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sumbangan sebanyak 2.5 juta sarung tangan getah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diagihkan kepada semua agensi di bawahnya.


3. Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga bersetuju memperuntukan sejumlah sejuta sarung tangan kepada petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


4. Tidak ketinggalan juga Angkatan Tentera Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan akan menerima sumbangan sejuta sarung tangan getah yang akan diserahkan pada 2hb April 2020.


5. KPPK berharap sumbangan berkenaan mampu melancarkan lagi tugas penguatkuasaan anggota keselamatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.


Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
PUTRAJAYA
1 April 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


SEKTOR PERKAYUAN AKAN TERUS BERPERANAN MEMACU
EKONOMI NEGARA 2021


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis KayuKayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd Noor dan Ahli Pemegang Amanah serta Pengurusan Tertinggi di Ibu Pejabat MTC, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2020.

2. Pertemuan ini amat bermakna memandangkan ia merupakan kali pertama diadakan secara rasmi bersama semua Ahli Pemegang Amanah MTC dan pihak pengurusan di bawah kepimpinan baharu. Perbincangan tertumpu kepada langkah dan usaha MTC untuk terus mengukuhkan kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.

3. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara sehingga Oktober 2020 mencatatkan nilai sebanyak RM17.8 bilion dan dijangka dapat melepasi RM20 bilion sebagai sumbangan sektor ini kepada pendapatan eksport negara bagi tahun ini.

4. Bagi memastikan sektor perkayuan terus kekal pada masa hadapan, kerajaan melalui KPPK telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Usaha membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan.

5. Sebagai agensi berkaitan, MTC akan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Bantuan Import dan sebanyak RM2.8 juta bagi Insentif Kewangan Untuk Pembelian Mesin (FIPM) pada tahun hadapan berbanding RM2.56 juta yang disalurkan kepada 81 syarikat pada tahun ini.

6. Usaha merancakkan penglibatan Bumiputera untuk lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam sektor perkayuan di bawah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera akan dilaksanakan dengan MTC bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri sedang merancang program pembangunan untuk meningkatkan keupayaan mereka.

7. KPPK yakin bahawa industri perkayuan akan terus berkembang dan memberi kemakmuran kepada negara dengan pelbagai insentif dan peruntukan yang disediakan Kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya. KPPK juga berharap agar penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat Kerajaan untuk memastikan industri ini terus dipacu demi kesinambungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
10 Disember 2020

 

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

1. Bismillahhirahmanirrahim, kita mulakan langkah dengan BISMILLAH. Amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Namun, dengan doa kepada Allah agar sentiasa diberikan petunjuk dan ilham, dengan bantuan semua pihak yang bekerja secara kolektif dan mengamalkan konsep syura, berbincang dan berunding, dengan merujuk kepada pakar-pakar bidang dan pemain industri, InsyaAllah secara bersama, kita mampu lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

2. Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia di atas kepercayaan beliau menyerahkan amanah ini kepada saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama kedua-dua Timbalan Menteri I, YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng serta Timbalan Menteri II, YB Willie anak Mongin.

3. Selaras dengan fungsi dan peranan Kementerian ini, saya bersama-sama YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng dan YB Willie anak Mongin akan berusaha sedaya upaya menggalas tanggungajawab serta amanah ini dengan komited dan berintegriti.

4. Saya percaya terhadap keupayaan dan kemahiran pegawai-pegawai MPIC untuk membantu saya dalam merealisasikan visi MPIC untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pasaran global bagi industri utama melalui kemajuan industri secara mampan untuk kesejahteraan negara.

5. Bagi mencapai hasrat ini Kementerian akan memperkasakan amalan urus tadbir yang baik (good governance) dengan penekanan pada dua paksi utama iaitu integriti dan kualiti dengan menguruskan sumber awam secara berkesan.

6. Saya juga akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran samada pada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti mahupun juga pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.

7. Saya juga mahu Kementerian terus meneroka potensi pasaran-pasaran baru yang masih belum kita kuasai sepenuhnya di samping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.

8. Menerusi gerak kerja yang baik dan cekap, menggunakan konsep memanfaatkan kepakaran dan pengalaman serta memperkasakan perbincangan dan rundingan, saya yakin Kementerian ini akan terus menjadi antara agensi peneraju kepada pembangunan negara terutamanya ketika Kerajaan berusaha gigih untuk memulihkan ekonomi negara dan sekaligus menjaga kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

Kepada Allah, kami memohon petunjuk dan ilham serta taufik dalam melaksanakan segala gerak kerja.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
10 Mac 2020
Putrajaya