KENYATAAN MEDIA
PERTEMUAN BILATERAL BERSAMA MENTERI PERDAGANGAN THAILAND, HON. MR. SONTIRAT SONTIJIRAWONG
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Perdangangan Thailand, Hon. Mr. Sontirat Sontijirawong di Kuala Lumpur.
2. Pertemuan tertutup tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi kementerian daripada kedua-dua negara dan telah membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan industri berasaskan komoditi seperti sawit dan getah.
3. Berkenaan komoditi sawit, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Thailand untuk berkerjasama bersama Malaysia dan Indonesia dalam menentang Kesatuan Eropah (EU), sekiranya badan eksekutif EU berkeras untuk mengadaptasi sekatan perdagangan terhadap minyak sawit sebagai sebahagian daripada perundangan rasmi EU.
4. Kesediaan Thailand untuk berkerjasama juga menggambarkan kesepakatan serta ketegasan negara-negara pengeluar utama minyak sawit untuk menentang ketidakadilan dan penindasan berterusan Parlimen EU terhadap komoditi sawit.
5. Oleh yang demikian, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa komitmen Thailand juga membuktikan bahawa Malaysia tidak bersendirian dalam memperjuangkan nasib lebih 3 juta
2
pekebun kecil sawit di rantau ASEAN dan usaha penentangan ini mendapat sokongan padu daripada negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain.
6. Selain daripada itu, Datuk Seri Mah Siew Keong juga telah menyifatkan kenyataan bersama selepas pertemuan Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini di Singapura untuk terus menyokong perkembangan industri sawit mapan adalah sebuah pendirian konsisten yang bertepatan dengan semangat kebersamaan negara-negara angota ASEAN.
7. Negara-negara pengeluar utama sawit di rantau ASEAN seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand akan menggunakan semua ruang yang ada bagi menentang sekatan yang diusulkan parlimen EU, termasuklah melalui kerangka ASEAN.
8. Pada sidang ASEAN tahun lalu (2017) di Manila, ketua-ketua negara ASEAN juga telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyokong perkembangan industri sawit mampan dan perkara ini turut dibawa kepada perhatian President EU, Donald Tusk oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato‘ Seri Muhammad Najib Tun Razak bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
9. Bagi komoditi getah pula, perbincangan kedua-dua belah pihak telah tertumpu berkenaan langkah-langkah untuk menstabilkan harga pasaran getah dunia.
10. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong telah memberikan jaminan bahawa Malaysia akan patuh terhadap kouta eksport getah asli seperti yang telah dipersetujui melalui skim AETS (Agreed Export Tonnage Scheme) pada Mesyuarat Khas ITRC (International Rubber Tripartite Countries) pada 22hb Disember 2017.
11. Pada mesyuarat tersebut, ketiga-tiga negara ITRC telah bersetuju untuk mengehadkan eksport getah asli kepada 350,000 tan untuk tempoh 3 bulan pertama tahun 2018 dan kesediaan negara-negara ITRC untuk mematuhi kouta yang diperuntukkan adalah
3
penting bagi memastikan mekanisme ini dapat memberikan impak positif terhadap harga pasaran getah asli global.
12. Selain merupakan negara pengeluar serta pengeksport getah asli terbesar dunia, Thailand juga merupakan negara ke-tiga terbesar pengeluar minyak sawit dunia dengan anggaran pengeluaran hampir 2.5 juta tan minyak sawit pada tahun 2017.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
10hb Februari 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyerahkan Syiling Peringatan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100 Tahun kepada Menteri Perdagangan Thailand, Hon. Mr. Sontirat Sontijirawong.
