KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan penurunan minggu depan berikutan pasaran minyak kacang soya yang lemah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) yang terus menjejaskan sentimen dalam pasaran minyak sawit.

Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu bahawa harga minyak kacang soya merosot sejak dua hari lepas berikutan Amerika Syarikat (AS) mencadangkan mandat bio-bahan api baharu untuk 2023 hingga 2025 dan ia mungkin mempengaruhi prestasi pasaran minyak sawit minggu depan.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS mencadangkan untuk menaikkan jumlah bahan api boleh baharu yang perlu dicampurkan dalam petrol dan diesel untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pada asas mingguan, niaga hadapan MSM untuk bulan semerta Disember 2022 merosot RM60 kepada RM4,000 satu tan, Januari 2023 berkurangan RM89 kepada RM4,025 satu tan dan Februari 2023 susut RM55 kepada RM4,085 satu tan.

Sementara itu, Mac 2023 merosot RM50 kepada RM4,102 satu tan, April 2023 jatuh RM53 kepada RM4,076 satu tan dan Mei 2023 berkurangan RM44 kepada RM4,042 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 308,528 lot daripada 289,353 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 292,073 kontrak daripada 207,880 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan merosot RM150 kepada RM4,000 satu tan.

– Bernama

https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2022/12/1034712/harga-sawit-dijangka-turun-minggu-depan
Sumber: Berita Harian