Kuala Lumpur: Harga makanan ternakan meningkat di pasaran mencetus keresahan dalam kalangan penternak yang terpaksa menanggung kos operasi tinggi.
Keadaan ini memberi kesan kepada rakyat kerana harga daging dijual di pasaran turut meningkat.
Kenaikan harga ternakan antara 20 hingga 30 peratus sejak kebelakangan ini berpunca daripada import bekalan bahan mentah untuk membuat makanan ternakan berikutan krisis Rusia-Ukraine yang menjejaskan bekalan dan makanan ternakan di pasaran.
Justeru, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging bagi dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah import dengan harga tinggi.
Pelet makanan yang dihasilkan menggunakan formulasi MPOB mengandungi komponen nutrisi lengkap untuk lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien.
Analisis kuantitatif ke atas pelet makanan lembu yang dihasilkan MPOB menunjukkan ia mengandungi 4,769 kalori bagi setiap gram yang terdiri daripada kelembapan (7.35 peratus), abu (3.73 peratus), protein kasar (17.30 peratus) dan serat kasar (14.40 peratus).
Teknologi MPOB menggunakan produk sampingan kelapa sawit sebagai bahan utama formulasi pelet makanan itu.
Formulasi MPOB mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC), tandan buah kosong (EFB) dan minyak sawit mentah (MSM).
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, formulasi MPOB adalah alternatif kepada formulasi berasaskan bahan mentah import.
"Ini kerana bahan mentah berasaskan sawit boleh didapati dalam negara sepanjang tahun," katanya.
Katanya, penggunaan produk dan produk sampingan sawit mengurangkan kos penghasilan pelet makanan lembu pedaging.
Katanya, pelet makanan berkenaan boleh dijual pada harga kompetitif di pasaran.
"Di samping itu, formulasi ini juga menghasilkan pelet makanan dengan keperluan nutrien lengkap bagi pertumbuhan lembu pedaging," katanya.
Penyelidikan MPOB bagi menghasilkan formulasi itu bermula Julai 2019 hingga Jun lalu.
Fokus penyelidikan adalah untuk menggunakan biojisim pertanian seperti hasil sampingan sawit bagi penghasilan pelet makanan berkualiti untuk lembu pedaging.
Formulasi pelet makanan lembu pedaging yang terdapat di pasaran menggunakan bahan tunggal hasil sampingan sawit iaitu dedak isirung sawit.
Ahmad Parveez berkata, terdapat bahan berasaskan sawit lain yang sesuai digunakan sebagai bahan mentah dalam catuan ruminan seperti tandan buah kosong (EFB) dan minyak sawit mentah.
"Penggunaan EFB dalam formulasi makanan haiwan ternakan adalah sesuatu yang baharu di pasaran dan berpotensi untuk mengurangkan kos bahan mentah tanpa menjejaskan nilai nutrisi pelet makanan," katanya.
Percubaan projek ini yang menggunakan lembu pedaging dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan ia berjaya memberikan hasil yang menggalakkan.
https://www.hmetro.com.my/amp/bisnes/2022/08/871631/mpob-hasil-pelet-makanan-ternakan
Sumber: Harian metro
