BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa pengilang minyak sawit kembali beroperasi atau kemungkinan berdepan tindakan berkaitan pelesenan, demikian tegas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Beliau berkata, alasan pemberhentian sementara pengeluaran disebabkan terpaksa membeli buah tandan segar (BTS) berdasarkan harga purata bulan, namun menjual minyak yang diekstrak berdasarkan harga pasaran harian yang lebih rendah, adalah tidak boleh diterima.
"Kami menggesa mereka beroperasi semula dalam minggu ini. MPOB telah dan cuba menghubungi pihak pengilang untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
"Adalah tidak adil untuk menghentikan operasi sedangkan kebanyakan pekebun kecil dan persendirian tidak dapat menjual disebabkan keengganan pengilang membeli.
"Mereka telah meraih keuntungan sejak lebih setahun berikutan harga minyak sawit yang tinggi. Jadi, alasan menghentikan operasi sebab untuk mengurangkan kerugian ketika harga jatuh adalah mengecewakan," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Webinar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2022 di sini, hari ini.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Beberapa pengilang sawit dilaporkan menghentikan pengeluaran buat sementara waktu berikutan kejatuhan mengejut harga minyak boleh dimakan.
Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia mencatat penurunan bulanan terbesar dalam tempoh lebih 13 tahun pada Jun kepada RM4,922 satu tan.
Ia susut 22 peratus daripada paras tertingginya RM6,632.
Ketika ini, 464 kilang sawit diberikan lesen oleh MPOB.
Ahmad Parveez berkata, MPOB akan menggunakan pendekatan diplomasi untuk menggesa pengilang kembali beroperasi, sebelum tindakan berdasarkan undang-undang pelesenan digunakan.
"Kami minta mereka bersikap adil dengan semua pihak kerana tindakan menghentikan operasi akan menjejaskan banyak pihak, bukan hanya pekebun, malah jika berterusan kepada pengguna akhir.
"Sudahlah industri perladangan sawit terjejas dengan kekurangan pengeluaran dan tenaga kerja asing. Apabila perkara ini (henti operasi) berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Beliau menjelaskan, pengilang terbabit sepatutnya mengadakan rundingan dengan pembekal atau pekebun yang menjual BTS dari aspek harga jika mereka tidak mahu menanggung kerugian lebih besar.
"Jika mereka hentikan operasi sudah pasti aspek pengeluaran akan terjejas, pendapatan pekebun kecil dan persendirian juga terkesan," katanya.
Ahmad Parveez berkata, semua pihak perlu bersedia dengan penurunan harga MSM pada masa depan susulan langkah Indonesia tidak lagi menyekat eksport dengan bekalan kembali 'membanjiri' pasaran.
"Harga MSM mencecah lebih RM8,000 satu tan ketika dulu adalah amat luar biasa. Ia dijangka kembali normal pada masa depan. Cuma kami berharap ia berlegar pada paras RM4,000 satu tan yang dilihat sangat munasabah kepada semua pihak.
"Jika turun sehingga paras RM3,000 satu tan, ia akan memberi kesan kepada seluruh ekosistem selepas berdepan dengan pelbagai cabaran dari aspek kos pengeluaran yang kekal tinggi akibat pandemik," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/06/970839/pengilang-sawit-henti-operasi-berdepan-tindakan
Sumber: Berita Harian
