Harga getah berkemungkinan meningkat antara tiga hingga lima peratus lagi tahun ini - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Harga getah SMR 20 dan lateks boleh meningkat tiga hingga lima peratus daripada paras semasa jika keadaan cuaca terus tidak menentu akan menjejaskan pengeluaran komoditi itu, sekali gus menjadikan bekalan terhad.

Peserta industri yang juga bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low, berkata harga semasa getah lebih cenderung ke arah aliran meningkat berbanding aliran menurun berikutan situasi bekalan terhad yang dicetuskan perubahan cuaca.

Beliau berkata, hujan sporadik tidak dapat dijangkakan berikutan perubahan iklim dan keadaan cuaca yang drastik dilihat mungkin berlaku sepanjang tahun.

Katanya, cuaca tidak menentu dan senario terburuk selalunya membabitkan hujan yang tidak henti-henti dan berterusan selama beberapa hari, justeru, akan menjejaskan produktiviti getah basah dan kering pada bulan-bulan akan datang.

"Bagi tahun ini, kami melihat harga getah yang baik pada masa ini dan kami menjangkakan jika cuaca terus tidak menentu, mungkin terdapat kenaikan harga sebanyak tiga hingga lima peratus lagi kerana pengeluaran akan kekal sempit.

"Kami menjangkakan harga akan kekal di sekitar paras semasa dengan kecenderungan tinggi untuk meningkat jika permintaan menjadi lebih kukuh memandangkan banyak negara ingin memulakan program pemulihan ekonominya," katanya kepada BH.

Low berkata, pemangkin kepada permintaan dan harga menjadi tidak menentu adalah apabila pandemik COVID-19 menjadi endemik dan beliau

melihat faktor kebimbangan yang besar hilang dengan peredaran masa serta pelancaran vaksin.

Oleh itu, katanya, pemulihan daripada pandemik itu tidak dapat dielakkan dan ia akan menjadi petanda baik untuk getah.

"Perlu diingat bahawa industri sarung tangan mengalami sedikit penurunan dalam permintaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutama disebabkan oleh kedudukan terlebih beli semasa kemuncak pandemik dan apabila stok susut dalam beberapa bulan atau lebih, pembeli akan menambah inventori mereka.

"Ini adalah satu lagi pemangkin pertumbuhan untuk lateks getah pukal," katanya.

Bagi 2022, Low menjangkakan Malaysia mengeluarkan kira-kira 460,000 hingga 490,000 tan getah.

Setakat 28 Januari 2022, harga rujukan getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 ketika ini adalah RM7.19 sekilogram, manakala susu getah pukal RM5.895 sekilogram.

Sementara itu, pasaran getah Malaysia mengakhiri dagangan minggu lalu lebih rendah di tengah-tengah petunjuk bercampur-campur dari pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata, kejatuhan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah penanda aras dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.

"Niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Jumaat, pulih daripada kerugian terdahulu, dipacu oleh pasaran saham Tokyo yang lebih kukuh dan kejatuhan yen berbanding dolar AS yang mendorong pembelian segera.

"Harga minyak melonjak pada Jumaat berikutan kebimbangan terhadap bekalan yang terhad selepas pengeluar utama, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dilihat meneruskan dasarnya untuk mengehadkan peningkatan pengeluaran di tengah-tengah permintaan yang meningkat untuk bahan api. Pasaran turut memberi tumpuan pada mesyuarat (OPEC+) pada 2 Februari," menurutnya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/02/918496/harga-getah-cenderung-terus-meningkat

Sumber: Berita Harian