KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini, diseret oleh pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan keadaan harga minyak yang bercampur-campur disebabkan kemelesetan ekonomi Eropah dan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang dijangka mengalami kenaikan mendadak.

Menurut seorang peniaga, kerugian selanjutnya, bagaimanapun, dihadkan oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS dan ikrar China yang mahu melaksanakan pembaharuan dalam meningkatkan ekonominya.

Niaga hadapan getah Jepun susut sedikit hari ini, menjejaki kerugian di pasaran Shanghai berikutan harga minyak mentah yang agak lemah.

Harga Lembaga Getah Malaysia (MRB) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 9.5 sen kepada RM5.855 sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 3.5 sen kepada RM4.78 sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup MRB untuk SMR 20 adalah RM5.785 sekilogram manakala lateks pukal pada RM4.75 sekilogram.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/09/997269/pasaran-getah-ditutup-rendah
Sumber: Berita Harian