Jata

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA, INDONESIA SEPAKAT KUKUHKAN

KERJASAMA LINDUNGI INDUSTRI SAWIT

  1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jakarta, Indonesia hari ini. Pada lawatan rasmi ke luar negara yang pertama dilakukan sejak menerajui Kementerian ini, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan tiga (3) anggota Kabinet Indonesia iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto; Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi dan Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah. Perbincangan pada pertemuan tersebut berkisar industri sawit dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara.
  1. Malaysia memaklumkan kesediaan untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja ladang termasuk dari Indonesia. Namun ia bergantung kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang akan dipersetujui dalam masa terdekat. Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) telah siap dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia dan akan menjadi perintis kepada sektor lain. SOP berkenaan dirangka dengan mengambil kira keperluan pematuhan kesihatan dan keselamatan negara.
  1. Bagi Indonesia, penghantaran pekerja ke Malaysia memberikan manfaat kepada kedua-dua negara. Keputusan itu dianggap sebagai situasi menang-menang apabila bagi rakyat Indonesia, mereka akan mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan sementara Malaysia pula dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja yang mengakibatkan kerugian besar kepada industri sawit.
  1. Selain itu, YB Menteri turut melawat loji biodiesel di Jakarta untuk memahami dengan lebih dekat kaedah yang digunakan Indonesia dalam pelaksanaan program bahan berkenaan. Negara itu berjaya melaksanakan Program Biodiesel B30 dan Malaysia pula pada masa ini sedang melaksanakan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri melibatkan penggunaan kira-kira 1.3 juta tan biodiesel sawit setahun yang boleh menyumbang kepada permintaan minyak sawit mentah (MSM) dan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 3.88 juta tan CO2eq setahun. Peningkatan permintaan dalaman MSM juga adalah alat untuk mengimbangi harga pasaran dunia minyak sawit.
  1. Malaysia dan Indonesia turut menzahirkan kebimbangan berikutan kempen antiminyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Oceania. Dalam hal ini, kedua-dua negara menerusi Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan berusaha untuk menggembleng usaha memerangi kempen berkenaan. Kempen itu tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri minyak sawit sebenar. Kempen itu juga adalah bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengamalkan amalan perdagangan bebas.
  1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan industri sawit akan berusaha sehabis baik bagi melindungi industri sawit negara bagi memastikan industri ini terus berkembang dan memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara dan rakyat.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Putrajaya

25 Oktober 2021