
KENYATAAN MEDIA
RMK-12: PAHANG BERPOTENSI DIKENALI SEBAGAI
JELAPANG KENAF MALAYSIA
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini mengadakan lawatan kerja ke kawasan tanaman kenaf di Pekan, Pahang dan Pusat Industri Kenaf (PIK), Tebu Hitam, Rompin, Pahang.
2. Sebagai usaha menyokong pembangunan industri kenaf, Kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada kumpulan sasar. Antaranya adalah insentif tanaman, bantuan sokongan bahan mentah, fasiliti, teknologi pemprosesan, khidmat nasihat dan sebagainya. Pada masa ini, tanaman kenaf di Pahang adalah seluas 641 hektar melibatkan 509 penanam. Negeri ini juga merupakan pengeluar utama bahan mentah kenaf di Malaysia dengan anggaran pengeluaran pada tahun 2021 sebanyak 6,000 tan kenaf kering bernilai RM3 juta semusim.
3. Di samping itu, Pusat Industri Kenaf (PIK) di Tebu Hitam merupakan pusat yang diwujudkan bagi menjalankan aktiviti pemprosesan kenaf bagi industri ini. PIK mampu mengeluarkan sebanyak 350 tan fiber setahun dengan nilai RM0.7 juta. Pusat Pemprosesan ini juga boleh menyokong pembangunan tanaman kenaf sehingga 700 hektar di kawasan sekitar dan merupakan pusat bekalan bahan mentah separa siap untuk keperluan industri di Pahang.
4. LKTN Negeri Pahang sedang mengembangkan pembangunan ladang kluster dan komersial berskala besar untuk menyokong keperluan bahan mentah bagi industri sedia ada seperti industri pulpa dan kertas, bahan penyerap bunyi, papan serpai dan makanan ternakan. Pembangunan industri ini akan melibatkan pembangunan industri huluan dengan sasaran tanaman seluas 2,500 hektar menjelang tahun 2025.
5. Antara produk berasaskan kenaf yang telah dibangunkan adalah bahan penyerap bunyi akustik oleh sebuah syarikat di Pahang. Produk ini mendapat pengiktirafan dan mematuhi syarat-syarat serta ketetapan oleh SIRIM Berhad, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Beberapa projek JKR iaitu sekolah, dewan orang ramai dan masjid sudah menggunakan bahan binaan ini. Produk ini berpotensi untuk memenuhi permintaan dalam industri pembinaan tempatan dianggarkan bernilai RM10 juta setahun. Produk ini juga berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara antaranya ASEAN dan Timur Tengah. Usaha pemain industri di Pahang ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada industri kenaf sejajar dengan hasrat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk menjadikan Pahang sebagai negeri “Jelapang Kenaf Malaysia” dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12
.
6. KPPK akan terus memberi perhatian dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri kenaf diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan industri ini dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Rompin, Pahang
18 Oktober 2021
