
KENYATAAN MEDIA
KPPK YAKIN UNJURAN PENDAPATAN KOKO RM6.5 BILION
TAHUN INI MAMPU DICAPAI
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke tapak lokasi cadangan pembangunan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor. Di samping itu beliau mengadakan pertemuan dengan pengisar dan pengilang coklat selain taklimat berkaitan projek pembangunan industri koko oleh PTP dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
2. Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, pendapatan eksport telah mencecah RM4.5 bilion, justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin unjuran pendapatan keseluruhan bagi tahun 2021 sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai.
3. Perkembangan ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam pasaran eksport dan produk-produk koko yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.2 peratus sejak tahun 2014. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa.
4. Pada tahun lepas juga, Malaysia adalah negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia yang menyumbang sebanyak 7 peratus jumlah pengisaran dunia. Dalam tempoh 5 tahun hingga 2020, nilai eksport coklat telah meningkat sebanyak 98.7 peratus, peningkatan juga membabitkan serbuk koko dan lemak koko, masing-masing sebanyak 31.4 peratus dan 16 peratus.
5. Kementerian menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam perancangan untuk membangunkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP. Kedua-dua pelabuhan tersebut telah tersedia infrastruktur, tenaga kerja dan jaringan domestik yang sangat baik.
6. KPPK berharap dengan lawatan yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi kerjasama di antara Kementerian, agensi kerajaan tempatan dan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko khususnya di Johor.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Gelang Patah, Johor
10 Oktober 2021
