
KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN GIAT KEMPEN TINGKATKAN EKSPORT PRODUK BULUH KE MERATA DUNIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan perasmian sambutan Hari Buluh Dunia 2021 (WBD 2021), yang ke-10 di Malaysia. Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang September dan sambutan pada kali ini diadakan secara maya mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.
2. Sempena sambutan tersebut, Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara 2021-2030, kesinambungan pelan 2011-2020 turut dilancarkan. Pelan tindakan ini berperanan untuk memperkasakan hala tuju Malaysia sebagai negara pengeluar buluh dan produk berasaskan buluh untuk dieksport ke China, Indonesia, Thailand dan serata dunia.
3. Selain itu, turut diadakan program sepanjang bulan ini sejak 1 September iaitu Pertandingan Mewarna bagi pelajar sekolah rendah dan Program Larian Maya sejauh 5 kilometer. Sempena Hari Malaysia pada 16 September pula, program penanaman 100 buluh secara serentak diadakan di seluruh negara. Ia disiarkan secara langsung menerusi media sosial WBD2021. Forum Pelestarian Industri Buluh Malaysia 2021 dan dua siri webinar berkaitan Penggunaan Buluh dalam Industri Binaan dan Perladangan Buluh juga akan diadakan untuk menarik minat lebih ramai orang awam mengenai potensi tanaman buluh di Malaysia.
4. Buluh merupakan sumber bukan kayu penting yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Di Malaysia, terdapat lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripadanya yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung dengan keluasan 229,123 hektar, Sarawak (45 peratus) dan Sabah (24 peratus). Nilai eksport produk buluh pada tahun 2020 adalah RM8.28 juta. Walaubagaimanapun, jumlah yang direkodkan ini terlalu kecil berbanding saiz pasaran buluh dunia.
5. Pada masa kini, terdapat 577 pengusaha dalam industri berasaskan buluh merangkumi papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Kebanyakannya merupakan industri kecil dan sederhana yang terletak berhampiran dengan kawasan yang mempunyai banyak sumber buluh.
6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan meneruskan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi memastikan bekalan sumber buluh berterusan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), program Bamboo Community Farming juga telah bermula sejak awal tahun ini sehingga 2025.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 September 2021
