
KENYATAAN MEDIA
SEKTOR AGRIKOMODITI TERUS DIPERKASA SEBAGAI PENYUMBANG UTAMA EKONOMI DI BAWAH
KEPIMPINAN BAHARU
1. Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri baharu yang memulakan tugas beliau hari ini. KPPK juga mengucapkan selamat kembali kepada kedua Timbalan Menteri iaitu Dato' Sri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Willie Anak Mongin yang dilantik semula bagi membantu YB Menteri.
2. Kementerian juga amat berbesar hati menerima seorang lagi Menteri wanita sebagai peneraju yang berketrampilan dan gaya kepimpinan tersendiri dengan pengalaman termasuk di sektor koporat serta gandingan kedua-dua Timbalan Menteri diperkuatkan dengan semangat kerjasama keseluruhan warga MPIC.
3. KPPK akan dipacu bagi mengemudi pembangunan industri agrikomoditi negara malah ke paras yang lebih tinggi sebagai antara sektor yang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi negara.
4. Penghargaan dan terima kasih daripada Pengurusan Tertinggi dan warga KPPK kepada mantan menteri, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas segala panduan dan nasihat sepanjang kejayaan menerajui Kementerian sebelum ini.
5. Warga KPPK akan terus melaksanakan tugasan dengan komitmen yang tinggi, beramanah serta berintegriti pada setiap masa sebagai penjawat awam. YB Menteri sudah pastinya akan membawa idea dan pendekatan baharu yang segar demi manfaat pemegang taruh khususnya kepada lebih 500,000 pekebun kecil dan memulihkan industri agrikomoditi yang terjejas kesan pandemik COVID-19.
6. Sebagai penyumbang kedua tertinggi selepas sektor elektronik dan elektrikal kepada pendapatan eksport negara, sektor agrikomoditi akan dapat mengekalkan kepentingannya malah dapat dimajukan ke tahap yang lebih tinggi dibawah kepimpinan YB Menteri baharu.
7. KPPK berharap dengan kerjasama yang erat di antara Anggota Pentabiran, Pengurusan Tertinggi, Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Agensi dan Majlis serta warga Kementerian, ia akan menjadi tunjang kejayaan dan kemakmuran bersama.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
1 September 2021
