Jata

LEMBAGA KOKO MALAYSIA PERGIAT USAHA PENGKOMERSIALAN
HASIL PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN KOKO


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Bengkel Tahunan Saintis LKM (MASW) 2021. Bengkel tersebut merupakan satu usaha kolaborasi strategik di antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).


2. MASW 2021 bertemakan Transforming R&D Culture Towards MarketDriven Research bertujuan meningkatkan keupayaan penyelidik LKM di samping menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) LKM. Bengkel yang bermula 26 hingga 28 Julai 2021 itu dihadiri oleh 72 pegawai penyelidik LKM secara maya.


3. Projek R&D LKM bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) dan sehingga kini sebanyak 105 projek dengan peruntukan berjumlah RM75.3 juta telah dijalankan. Sebanyak 17 projek R&D bernilai RM42.7 juta telah dilaksanakan serta 630 penerbitan berimpak tinggi dan laporan teknikal telah berjaya dihasilkan sepanjang tempoh RMK-11. Manakala, sembilan projek R&D bernilai RM14.1 juta sedang dilaksanakan di bawah RMKe-12.


4. LKM telah menerima 60 pengiktirafan di dalam dan luar negara bagi inovasi serta teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti R&D. Selain itu, 38 inovasi dan teknologi yang dihasilkan di bawah RMKe-11 telah memperoleh Hak Harta Intelek (IPR).


5. Selaras dengan hala tuju LKM sebagai agensi unggul dalam R&D berkaitan koko, penyelidikan berasaskan permintaan pasaran telah diberi tumpuan mulai tahun 2014. Dalam hal ini, 63 teknologi dan produk dibangunkan bagi menghasilkan klon koko baharu, teknologi pengurusan kebun, kawalan penyakit dan pemprosesan komdofiti itu serta penghasilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko. Selain itu, sebanyak 17 produk dan teknologi seperti produk kecantikan dan penjagaan diri telah dikomersialkan dengan kadar pengkomersialan 27 peratus.


6. Kolaborasi di antara LKM dan rakan strategik MTDC yang terjalin sejak tahun 2019 di bawah program Innovation to Market (I2M) akan diteruskan agar usaha pengkomersialan produk R&D LKM dapat direalisasikan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap usaha pengkomersialan ini juga dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan dalam mengeluarkan produk berasaskan koko yang lebih berkualiti dan mempunyai potensi pasaran yang besar.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
26 Julai 2021