Jata

KENYATAAN MEDIA

PENGKOMERSIALAN TEKNOLOGI MPOB SUMBANG PENDAPATAN LEBIH RM5 BILION

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Webinar Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). TOT 2021 diadakan secara dalam talian bertepatan dengan norma baharu dan pematuhan prosedur standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membendung penularan COVID-19. Ia adalah acara tahunan MPOB bagi memperkenalkan teknologi baharu yang dibangunkan oleh para penyelidik agensi berkenaan bagi tujuan pengkomersialan dan diguna pakai dalam industri sawit.

2. Sehingga kini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan kepada pihak industri dan usahawan tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 221 atau 31.17% teknologi dan inovasi MPOB telah berjaya dikomersialkan termasuk dalam kalangan usahawan kecil sederhana.

3. Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan dan formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit. Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion.

4. Pada TOT 2021, MPOB melancarkan empat teknologi baharu merangkumi teknologi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim sawit bagi rawatan efluen kilang kelapa sawit dan kejenteraan ladang bagi pengangkutan buah tandan segar. Empat teknologi tersebut adalah seperti berikut:

i. Teknologi menggunakan bakteria endofitik sebagai agen kawalan biologi yang berkesan bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) disebabkan oleh kulat Ganoderma.

ii. Teknologi bagi mengawal penyakit reput batang atas (USR) pada pokok sawit dengan pengesanan simptom awal menggunakan racun sistemik, hexaconazole.

iii. Inovasi sistem rawatan bahan buangan sawit atau efluen kilang kelapa sawit (POME).

iv. Pembangunan jentera untuk membantu memunggah buah tandan segar (BTS) di ladang.

5. Pada TOT 2021 juga, tiga produk dilancarkan hasil kerjasama pengkomersialan dengan syarikat tempatan iaitu pengkomersialan teknologi kawalan penyakit Ganoderma, produk poliol berasaskan sawit bagi kegunaan sektor industri dan alat pemotong buah sawit berkuasa elektrik dikenali Cantas Elektro.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB memberi penekanan kepada penyelidikan dalam bidang mekanisasi dan automasi seperti pembangunan jentera ladang khususnya bagi kerja-kerja penuaian buah sawit yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang. Penggunaan mekanisasi juga adalah strategi kerajaan bagi mengurangkan kerbergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam perladangan sawit sekaligus menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Bangi
1 Julai 2021